Penggunaan puting tiruan atau pacifier menjadi pilihan kebanyakan mama dan papa akhir-akhir ini. Tapi pastikan anda fikir dua kali sebelum memberikannya kepada bayi.
Ramai mama papa yang memilih puting tiruan untuk menenangkan bayi. Diharapkan keputusan itu diambil setelah berfikir semasak-masaknya akan kesan yang mungkin akan berlaku.
PERTIMBANGKAN DAHULU
Kebanyakan bayi mempunyai refleks menghisap yang kuat. Ada bayi yang sudah pandai menghisap jari dan ibu jari sejak lahir lagi. Selain ia mimik hisapan kepada payudara, ia memberikan bayi keselesaan dan kelegaan. Sebab itu kebanyakan ibu bapa memilih untuk puting tiruan untuk bayi, malah ia menjadi barang wajib ada seperti mana lampin.
Adakah puting OK untuk bayi anda? Memang ia memudahkan anda dalam menenangkan bayi, mama papa perlu fahami risiko yang bakal dihadapi sekiranya bayi diberikan puting tiruan serta faktor keselamatan.
Mama papa perlu memahami kesan negatif menggunakan puting tiruan kepada bayi. Ia seharusya diberikan pertimbangan wajar kerana berkemungkinan memberikan pelbagai kesan negatif kepada bayi.
#1 MENGGANGGU PENYUSUAN SUSU IBU
Memperkenalkan puting tiruan pada awal selepas kelahiran boleh mengganggu penyusuan susu ibu. Hisapan pada payudara, botol dan puting tiruan adalah berbeza.
Beberapa kajian yang dilakukan mendapati ada sesetengah bayi yang diberikan puting pada awal usia, penyusuan susu ibu mereka menjadi kurang kerap dengan sela masa yang lama antara setiap penyusuan. Ini menyebabkan penyusuan susu ibu tidak dapat bertahan lama.
Bagaimanapun, kajian terhadap penggunaan puting yang tidak terhad dalam bayi yang sihat dan lahir cukup bulan mendapati bahawa ia tidak memberi kesan kepada penyusuan.
#2 KEBERGANTUNGAN KEPADA PUTING
Bayi anda mungkin akan menghadapi masalah kebergantungan kepada puting. Bayi akan kurang selesa atau menangis jika puting tiada atau terjatuh. Bayangkan jika putingnya tertinggal atau hilang, tentu suasana jadi haru biru! Mood bayi juga akan terganggu.
#3 MENINGKATKAN RISIKO JANGKITAN TELINGA
Jangkitan telinga tengah kebanyakannya akan terjadi apabila bayi berumur enam bulan ke atas di mana kuman yang mungkin terdapat pada puting. Ia dinamakan otitis media.
#4 MENGGANGU PERTUMBUHAN GIGI
Penggunaan puting dalam masa yang lama boleh meningkatkan risiko masalah gigi si manja di mana sekiranya ia digunakan pada beberapa tahun awal usianya. Ia boleh menyebabkan gigi susu tumbuh tidak teratur atau sedikit terkeluar.
#5 MASALAH UNTUK CERAI PUTING
Ada sesetengah kanak-kanak bercerai puting pada usia 2 tahun dan ada yang lebih lewat sehingga empat tahun. Kebarangkalian timbulnya masalah untuk menceraikan puting adalah tinggi.
Walau bagaimana pun elakkan menggunakan kekerasan sebaliknya ambil pendekatan psikologi dengan memujinya bila dia boleh berenggang sebentar dengan puting kesukaannya. Dapatkan nasihat doktor jika usaha anda untuk memisahkan puting denga si manja menemui jalan buntu.