Sekarang produk suplemen yang didakwa untuk kesihatan dan kecantikan kulit bukan sahaja untuk orang dewasa tetapi ada juga untuk golongan bayi. Bukankah kulit bayi sudah sedia mulus dan bersih. Kenapa perlu disogokkan dengan suplemen tambahan?
Gara-gara tularnya promosi hebat syarikat suplemen kunyah dan cerah menggunakan selebriti terkemuka sebagai dutanya, ramai yang mengecam syarikat tersebut yang mendakwa produk kesihatan dan kecantikan mereka sesuai untuk tiga golongan paling ‘fragile’ iaitu bayi, kanak-kanak dan ibu hamil!
Persoalannya memang ramaikah ibu bapa yang percaya dan memberikan anak mereka makan produk suplemen ini? Adakah ia benar-benar selamat pada kesihatan si kecil? Lebih baik sekiranya ibu ayah yang ada anak kecil baca penjelasan yang dikongsi oleh Dr Afiq Rahim di dalam blog beliau.
APAKAH PRODUK KUNYAH & CERAH TELAH MELANGGAR KOD PEMASARAN ANTARABANGSA WHO?
Baru-baru ini gempar, seorang selebriti terkemuka tanah air mempromosikan produk kesihatan dan kecantikan Kunyah&Cerah (KC) di media sosialnya dengan menyatakan produk tersebut sesuai digunakan oleh bayi, kanak-kanak dan ibu hamil.
Ternyata kenyataan oleh pihak syarikat yang dipromosikan oleh model mereka telah mengundang kecaman daripada orang awam terutama pihak kesihatan.
“Mengapa mahu membebankan organ bayi untuk produk supplemen?”
“Mengapa tidak diberikan sahaja susu ibu kepada bayi?”
“Kulit bayi dah cantik, gebu. Mengapa perlu produk kecantikan?”
Dan pelbagai kecaman lain daripada netizen.
PEMASARAN PRODUK UNTUK BAYI
Kod tersebut adalah International Code of Marketing of Breastmilk Substitutes yang diambil daripada perbincangan di dalam World Health Assembly (WHA). Kod ini diperkenalkan sebagai langkah untuk memastikan bayi mendapat nutrisi yang selamat dan lengkap melalui penyusuan ibu dan memastikan penggunaan produk gantian susu dengan betul serta melindungi daripada pemasaran yang agresif yang boleh mempengaruhi ibu yang menyusukan bayi mereka.
Ada banyak peraturan dan larangan dinyatakan dalam kod tersebut. Ianya termasuk kepada syarikat jualan, anggota kesihatan, kerajaan tempatan dan semua pihak yang terlibat di dalam memasar dan mengedar produk kesihatan tersebut.
APAKAH PRODUK YANG TERMAKTUB DI BAWAH KOD INI?
Selain itu, semua produk untuk bayi yang menggantikan susu ibu atau sebagai sokongan kepada bayi menyusu atau produk yang boleh menjejaskan penyusuan bayi termaktub di dalam kod ini. Antara produk yang terbabit adalah:
JADI, APAKAH PRODUK K&C TELAH MELANGGAR KOD ANTARABANGSA INI?
Pada pemerhatian saya, promosi pemasaran produk KC bukanlah sebagai alternatif kepada susu ibu.
Produk supplemen mereka adalah disasarkan untuk membantu individu yang mengalami masalah kulit ekzema, kulit kusam dan tidak bermaya, masalah rambut gugur dan masalah alahan.
Bagaimanapun memandangkan produk KC ini adalah makanan yang telah ‘diformulakan’ untuk bayi dan ibu menyusu seperti yang dipromosikan oleh duta mereka dan berisiko menjejaskan penyusuan bayi atau sebagai makanan tambahan buat bayi terutama enam bulan ke bawah maka ianya tetap termaktub di bawah kod antarabangsa ini.
Ini kerana di dalam promosi produk tersebut ada mengatakan dengan jelas bahawa produk mereka sesuai untuk bayi, kanak-kanak dan ibu menyusu.
Namun kesesuaian untuk bayi yang dipromosikan oleh syarikat adalah tidak jelas.
Adakah sesuai untuk bayi enam bulan ke bawah?
Atau Bayi selepas lahir ?
Atau Bayi antara 6 bulan ke 12 bulan dan seterusnya?
Secara relatifnya adalah ya bahawa pihak syarikat melalui promosi mereka telah melanggar kod yang perkenalkan oleh WHO ini.
KESIMPULAN
Pihak syarikat telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan kekeruhan yang berlaku dengan menyatakan bahawa produk mereka selamat kerana daripada sumber tumbuhan serta tidak perlu berdaftar dengan KKM.
Bagaimanapun, keselamatan sesuatu produk bukan diukur dengan banyaknya testimoni berjaya atau tiada laporan negatif daripada pengguna sahaja. Andaian tanpa kajian ke atas manusia tentang keselamatan produk adalah tidak mencukupi.
Kajian saintifik perlu dijalankan bagi memastikan produk ini selamat dimakan oleh bayi, kanak-kanak, ibu hamil dan ibu menyusu sebagaimana yang termaktub di dalam kod antarabangsa.
Mungkin pihak syarikat boleh bekerjasama dengan pihak universiti dalam melakukan penyelidikan untuk memastikan ianya benar-benar selamat untuk diambil oleh kumpulan yang dilindungi oleh International Code of Marketing of Breastmilk Substitutes.
Sementara itu, adalah lebih baik pihak syarikat menangguhkan dahulu penggunaan produk KC ke atas kumpulan yang dilindungi oleh WHO terutama bayi sehingga keselamatan ke atas mereka berjaya disahkan oleh pihak berautoriti.
Sekali lagi ingin saya tekankan, produk terbaik untuk bayi adalah SUSU IBU terutama bagi bayi berumur ENAM bulan ke bawah.
Dapatkan rawatan dan pemeriksaan oleh doktor bertauliah terlebih dahulu sekiranya anda atau bayi anda mengalami masalah kulit/alahan/keguguran rambut sebelum mencuba sebarang produk kesihatan/kecantikan.
Be Smart
Be Aware
Be Careful.
Sumber: drafiqrahim.com