Sebelum Beli Botol Susu Anak Pastikan Botol Itu “BPA FREE”, Ini Sebabnya

Share

Ini adalah satu cerita mengenai botol susu tanpa BPA

Julie meneliti rak-rak barangan bayi di pasar raya mencari sesuatu. Perkara pertama yang perlu dibelinya hari ini ialah botol susu anaknya. Beliau meneliti setiap satu model botol susu yang terdapat pada rak jualan tersebut. Dia seolah-olah mencari sesuatu pada setiap botol tersebut tetapi dia sendiri tidak pasti apakah ciri botol susu yang dicarinya. Akhirnya, beliau mengambil satu botol susu yang kelihatan menarik padanya, bertemakan animasi.

Adakah anda juga seperti Julie ketika mencari botol susu bayi? Apakah ciri botol susu yang anda cari? Saiz, mudah dipegang, mudah dibasuh, warna atau mungkin juga bentuk? Kami ingin menerangkan kepada anda, antara perkara yang paling mustahak untuk diteliti ketika memilih botol susu adalah botol susu tanpa BPA. Biasa dengar pasal BPA tapi tidak begitu pasti apakah ia? Mari baca apa yang kami sediakan ini.

Apa BPA ni?

BPA bermaksud bisphenol A. Ia adalah sejenis bahan kimia yang ditambah dalam kebanyakan produk komersial termasuklah botol plastik, bekas makanan dan juga botol susu anak anda. Ia mula ditemui pada tahun 1890, tetapi pada tahun 1950, ahli kimia menyedari potensinya yang boleh dicampurkan dengan sebatian lain bagi menghasilkan plastik yang lebih kuat dan berdaya tahan. BPA juga digunakan untuk menghasilkan salutan resin epoksi yang disapukan pada bahagian dalam tin makanan untuk mengelakkan logam tin daripada mengakis dan pecah.

Jenis produk yang sering mengandungi BPA

-Barangan yang dibungkus dalam bekas plastik
-Makanan dalam tin
-Kelengkapan peribadi
-Produk pembersihan wanita
-CD atau DVD
-Peralatan elektrik rumah
-Lensa cermin mata
-Kelengkapan sukan

Bagaimana BPA boleh memasuki tubuh manusia?

Antara cara utama BPA memasuki tubuh manusia adalah melalui pemakanan. Apabila bekas BPA dihasilkan, tidak semua BPA dimeteraikan dalam produk tersebut. Ini menjadikan BPA keluar dan bercampur dengan kandungan dalam bekas tersebut seperti makanan.

Satu kajian menyatakan, tahap BPA dalam air kencing berkurangan sebanyak 66% selepas 3 hari pengguna mengelakkan pengambilan makanan yang dibungkus. Selain itu, terdapat juga kajian yang mengkaji tahap kehadiran BPA melalui jenis makanan yang dimakan. Mereka yang memakan sup dalam tin berbanding sup yang dimasak segar dalam tempoh 5 hari, mempunyai 1,221% lebih tinggi kandungan BPA dalam air kencing.

Mengapa BPA berbahaya?

Pendedahan terhadap BPA boleh memberikan kesan terhadap otak dan kelenjar prostat janin, bayi dan kanak-kanak. Ia juga memberi kesan terhadap tingkah laku kanak-kanak. Terdapat juga kajian yang menyatakan hubungan antara BPA dengan peningkatan tekanan darah.

Walau bagaimanapun, Food and Drug Administration U.S (FDA) menyatakan, BPA masih lagi selamat dengan tahap yang paling rendah dalam sesetengah makanan.

Bagaimana nak kurangkan pendedahan terhadap BPA?

Sekiranya anda masih ragu dengan keselamatan BPA terhadap kesihatan anda, anda boleh cuba mengurangkan pendedahan terhadapnya melalui cara berikut:

-Gunakan produk tanpa BPA atau BPA-free. Cari produk pembungkusan atau bekas makanan dengan label BPA-free
-Kurangkan pengambilan makanan dalam tin
-Jangan panaskan bekas makanan plastik terutamanya dengan menggunakan ketuhar gelombang mikro
-Gunakan bekas makanan alternatif seperti bekas kaca, porselin atau stainless steel untuk makanan panas

Malaysia merupakan antara negara yang telah mengharamkan penggunaan botol susu yang mempunyai kandungan BPA sejak tahun 2012. Pengharaman ini termasuklah pengimportan, pembuatan, pengiklanan dan jualan botol jenis ini yang mengandungi BPA.

Antara negara-negara yang turut mengharamkan penggunaan BPA dalam penghasilan botol susu ialah Australia, Denmark, Perancis, Jerman dan New Zealand.

Oleh itu, mungkin botol susu jenis ini sudah sukar untuk didapati berada di rak-rak jualan pasar raya. Selepas ini, anda tidak lagi perlu pening-pening seperti Julie untuk mencari botol susu yang sesuai. Pilih saja yang tidak mengandungi BPA, diikuti dengan ciri lain botol yang digemari. Tanpa BPA adalah lebih penting berbanding kartun animasi.

Sumber: Hello Health

Published by
NuFa