Bercerai susu adalah situasi yang bukan sekadar biasa. Ia melibatkan emosi dan dalam masa yang sama memerlukan persediaan mental ibu, anak, bapa dan sesiapa sahaja yang rapat.
Menurut Dr Zaharah Sulaiman, Pensyarah Kanan dan Perunding Laktasi, Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, USM, bercerai susu diumpamakan seperti tindakan memisahkan si manja dengan ‘sesuatu’ yang bersama dengannya sejak dari hari pertama kelahirannya.
Tidak sekadar isu payudara yang bengkak yang bakal dihadapi ibu, ia tentu akan memberikan kesan psikologi yang tidak kurang hebatnya kepada si manja. Situasi ini tentu sukar dan memerlukan strategi dan bantuan daripada pelbagai pihak.
Kebiasaannya ibu akan mula terfikir untuk bercerai susu apabila si kecil mencecah usia dua tahun dan sebaiknya ia dilakukan secara berperingkat. Garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan penyusuan secara eksklusif dilaksanakan selama enam bulan dan meneruskan penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun atau lebih.
Bercerai susu bukan bermaksud menukar daripada memberi susu ibu kepada susu formula. Sebaliknya, apabila bayi sudah berusia enam bulan, makanan pelengkap perlu dimulakan untuk membekalkan nutrient dan tenaga secukupnya kepada bayi. Dengan ini pemberian susu ibu mula berkurangan. Dan apabila si manja sudah memceah dua tahun, susu ibu bukan lagi penyumbang utama kepada kepeluan nutrient mereka. Sebalinya ibu haruslah memberikan makanan seimbang untuk memastikan tumbesaran yang sihat buat si manja.
4 SITUASI CERAI SUSU
#1.TERJADI SENDIRI
Cerai susu boleh terjadi apabila si kecil tidak lagi mahu menyusu. Bayi yang selalunya berusia setahun ke atas yang sudah mendapat nutrien daripada makanan pejal dan berupaya minum sendiri dari cawan akan mula kurang menyusu secara berperingkat. Lazimnya kanak-kanak yang dibiarkan bercerai susu sendiri akan mula ‘melepaskan’ antara usia dua hingga empat tahun. Tiada usia yang spesifik, malah ada yang lebih awal dan lebih lewat daripada usia ini.
#2.CERAI SUSU YANG DICETUSKAN OLEH IBU
Anda sendiri boleh mendorong si kecil dengan kasih sayang, kesabaran, fleksibel dan tanpa paksaan. Dengan cara ini, si kecil dapat bercerai susu tanpa protes dan kurang ragam. Anda boleh melakukannya dengan perlahan-lahan dengan cara tidak menawarkan susu ibu kepada anak tetapi dalam masa yang sama tetapi tidak pula menolak apabila si manja mahukannya. Tetapi, anda disarankan untuk menunggu sehingga usia si kecil 18 bulan di mana si manja berupaya memahami perkataan ‘tidak’.
#3.CERAI SUSU SECARA TIBA-TIBA
Cara ini boleh merjadi secara tiba-tiba tanpa dirancang. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Sebagai contoh, kesihatan ibu seperti terpaksa mendapatkan rawatan perubatan yang melibatkan ubat-ubatan tertentu yang boleh memasuki susu ibu dan memberikan impak negatif kepada si kecil. Hormon yang berubah secara drastik akan menyebabkan perubahan emosi pada ibu iaitu tekanan perasaan dan perasaan yang mudah tersentuh.
Jika ini terjadi kepada anda dan perlu bercerai susu secara tiba-tiba, berbincanglah dengan pakar atau kaunselor laktasi untuk mendapatkan pandangannya. Anda juga boleh meminta pendapat tentang pilihan lain yang ada selain bercerai susu jika si kecil masih lagi kecil. Tidak semua ubat memberi kesan negatif kepada bayi. Kebanyakkan ubat antibiotik selamat diambil untuk ibu yang menyusukan bayi mereka. Oleh itu penting unuk ibu mendapatkan maklumat yang betul sebelum menghentikan penyusuan secara tiba-tiba.
#4.CERAI SUSU BERPERINGKAT
Cerai susu cara ini lebih terancang dan selamat. Anda boleh menggantikan sesi penyusuan kepada si manja iaitu dengan makanan yang berkhasiat. Kerana fungsi penyusuan bukan terhad kepada mengenyangkan dan menghilangkan dahaga, ia lebih kepada pertalian antara ibu dan anak. Justeru, tingkatkan kekerapan komunikasi dan sentuhan agar dia tidak berasa perubahan yang ketara ‘kehilangan’ jalinan yang erat sebelum ini .
TANDA-TANDA SI KECIL BELUM SEDIA UNTUK CERAI SUSU
Kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk bercerai susu pada pelbagai tahap umur. Ada yang awal dan yang lewat. Jika si kecil menunjukkan tanda-tanda ini, bermakna terlalu awal untuk bercerai susu. Dia masih belum bersedia.