Biasanya jika seseorang wanita menghampiri tarikh datang haid, pasti akan ada tabiat makan yang pelik-pelik. Ada yang suka makan manis-manis, ada yang asyik mengunyah dan ada juga yang sukakan makanan pedas. Itu adalah gejala PMS (Premenstrual Syndrome) yang menyebabkan wanita berasa tidak selesa atau berkelakuan pelik beberapaha hari sebelum kedatangan haid.
Gejala PMS ini tidak sama antara satu wanita dengan yang lain. Menjawab soalan dari pengikut media sosialnya, Dr Zubaidi Hj Ahmad menerangkan lebih lanjut tentang hal ini.
KETAGIHAN COKLAT SECARA BERLEBIHAN KETIKA HAID
“Salam doctor. Saya berusia 22 tahun dan belum berkahwin. Saya mengalami masalah senggugut dan cuba mengelakkan makan Panadol dan ponstan. Masalah saya ialah saya memakan coklat untuk mengelakkan rasa sakit dan kini sangat ketagihan terhadap coklat. Saya memakan sekurang-kurangnya 5 bar coklat sehari dan pada waktu haid saya mengambil 10-12 bar coklat sehari. Untuk pengetahuan doktor berat saya agak berlebihan. Mohon pencerahan doktor untuk mengurangkan ketagihan ini. Terima kasih.”
Jawapan Dr. Zubaidi;
WA ALAIKUM MUS SALAM.
PMS (Premenstrual Syndrome, PMS) adalah gejala-gejala yang menyebabkan seorang wanita merasa tidak selesa atau berkelakuan agak pelik beberapa hari sebelum kedatangan haid. Malah ada yang merasa perasaan ini 7-10 hari sebelum haid. Gejala-gejala ini berbeza-beza dari seorang wanita dengan seorang wanita yang lain.
Jadi tidak hairanlah jika saudari mengalami perasaan pelik untuk memakan coklat secara berlebihan. Ia mungkin disebabkan apabila seorang wanita mengalami haid, beliau memerlukan beberapa mineral dan zat yang boleh digunakan untuk meredakan tekanan dan perubahan hormon pada masa itu.
Coklat pula adalah makanan ringan yang mengandungi beberapa bahan semulajadi yang baik untuk kesihatan. Coklat dapat merangsangkan pengeluaran bahan biokimia semulajadi seperti serotonin dan dopamin di dalam otak. Ini dapat mengurangkan rasa sakit tanpa perlu memakan apa-apa ubat.
Wanita yang sedang haid juga mengalami kekurangan mineral magnesium atau zat besi (iron), makan coklat pula dapat menambahkan kandungan mineral-mineral ini dalam badan.
Selain itu coklat mempunyai rasa yang sedap, apabila ia cair dalam mulut, kerana kandungan lemak dan gula di dalamnya merangsangkan deria perasa pada lidah pada tahap maksima.
Oleh itu banyak saintis mengatakan bahawa seorang wanita yang sedang datang haid memakan coklat bukan disebabkan tubuh memberitahu otak bahawa ia kekurangan mineral, tetapi kerana ketagihan terhadap rasa coklat yang sungguh nikmat itu.
Seorang wanita apabila mula mengambil coklat sebelum haid, berkemungkinan besar beliau akan mengambil coklat pada bulan-bulan berikutnya akibat ketagihan psychology ini. Bagi yang telah menjadi pengambilan coklat sebagai amalan, berkemungkinan besar beliau akan menambah bilangan atau kuantiti coklat yang diambil.
Pengambilan coklat sebagai makanan ringan sangat baik. Namun mengambilnya dalam kuantiti yang banyak boleh memudaratkan kerana coklat mempunyai kandungan kalori dan lemak yang banyak. Seorang wanita boleh manambah berat badannya dalam masa sebulan dengan mengambil coklat secara berlebihan (lebih kurang 6 bar coklat sehari).
Baca Juga:
Doktor Kongsikan Simptom Kanser Payudara Ibu Perlu Tahu, Kena Selalu Buat Pemeriksaan Kendiri
“Baby Duduk Macam Mana Dalam Perut?”. Pakar O&G Kongsi Posisi Bayi Dalam Kandungan, Macam-Macam Ada!
Jangan Anggap Remeh, Ada Risiko Ginjal Rosak Kalau Kencing Kotor Waktu Hamil
Jika saudari mengalami masalah berat badan dan tidak dapat meninggalkan coklat, saya mencadangkan:
1. Makan coklat dalam jumlah yang sedikit
2. Ambil coklat yang berkualiti tinggi. Coklat gelap lebih tinggi kualiti dan rendah kalorinya berbanding dengan coklat susu
3. Mengambil buah-buahan sebagai ganti mengurangkan pengambilan coklat
4. Apabila ada rasa keinginan untuk makan coklat, cuba tunggu 15-30 minit. Jika masih tidak dapat menahan keinginan, boleh makan potongan kecil coklat gelap.
5. Ambil suplemen multivitamin setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sebelum kedatangan haid. Selain itu kurangkan garam, kafein dan gula dalam pemakanan dan melakukan senaman ringan. Ia membantu saudari mengurangkan rasa sakit senggugut dan gejala PMS yang lain.
#HealthDrZubaidi
Tabiat suka makan manis memang perkara normal yang akan berlaku pada seorang wanita sebelum datang haid. Bolehlah nak makan, tapi jangan sampai berlebihan pula ya. Ikutlah saranan Dr Zubaidi tentang pengambilan coklat yang dibolehkan untuk anda ambil sebelum atau ketika kedatangan haid.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!