Sebelum hantar masuk asrama, ambil kira perasaan anak. Menghantar anak ke asrama adalah satu keputusan besar yang memberi kesan mendalam kepada kehidupan anak dan ibu bapa.
Sebelum Hantar Masuk Asrama, Ambil Kira Perasaan Anak
Walaupun asrama sering dikaitkan dengan peluang pendidikan yang lebih baik serta membentuk kemahiran berdikari, keputusan ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Satu aspek yang sering terlepas pandang ialah perasaan anak terhadap perubahan ini. Sebagai ibu bapa, kita perlu ambil kira emosi dan kesiapsiagaan anak sebelum membuat keputusan yang besar ini.
Mengapa Perlu Ambil Kira Perasaan Anak?
Perkembangan Emosi yang Stabil
Anak-anak yang dihantar ke asrama berdepan dengan perubahan besar dari segi persekitaran, rutin, dan orang sekeliling. Jika mereka tidak bersedia, ini boleh mengganggu kestabilan emosi mereka. Kanak-kanak yang terlalu muda atau belum cukup matang mungkin berasa sunyi, takut, atau terasing. Kestabilan emosi penting dalam membentuk keyakinan diri, keupayaan untuk menghadapi cabaran, serta ketahanan mental dalam situasi yang berbeza.
Membentuk Rasa Percaya dan Sokongan
Perbincangan bersama anak tentang keputusan untuk ke asrama boleh mengeratkan hubungan ibu bapa-anak. Dengan melibatkan mereka dalam perbincangan, mereka akan rasa lebih dihargai dan dipercayai. Ini juga menunjukkan bahawa ibu bapa menghormati pendapat dan perasaan mereka. Rasa percaya dan sokongan ini akan memudahkan anak untuk menghadapi cabaran hidup di asrama dengan tenang.
Menggalakkan Kematangan dan Persediaan Mental
Anak yang diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat mereka lebih bersedia dari segi mental. Mereka akan tahu apa yang diharapkan dan lebih bersedia menghadapi perubahan ini. Proses perbincangan ini memberi mereka peluang untuk memahami cabaran dan manfaat hidup di asrama, sekaligus menggalakkan mereka untuk melihat dari perspektif yang lebih matang.
Ads
Langkah-Langkah untuk Mendekati Anak Sebelum Keputusan Dibuat
Berbincang Secara Terbuka
Mulakan perbincangan dengan anak secara terbuka dan tanya perasaan mereka tentang kemungkinan tinggal di asrama. Elakkan nada memaksa dan beri peluang untuk mereka meluahkan pandangan serta kerisauan mereka. Jika mereka menolak, ambil masa untuk memahami sebab di sebalik penolakan tersebut.
Terangkan Kebaikan Dan Cabaran Asrama
Jelaskan kepada anak mengenai kebaikan asrama, seperti peluang belajar yang lebih baik, membina persahabatan baru, dan kemahiran hidup berdikari. Namun, jangan abaikan cabaran yang mungkin mereka hadapi. Dengan memberikan gambaran yang realistik, anak dapat membentuk harapan yang tepat dan bersedia secara mental untuk menghadapi perubahan tersebut.
Ads
Luangkan Masa Untuk Lawatan Asrama
Bawa anak untuk melawat asrama terlebih dahulu jika itu adalah pilihan yang boleh dibuat. Lawatan ini akan membantu mereka membayangkan kehidupan di sana dan mengurangkan rasa kekok atau takut. Melalui lawatan, mereka boleh melihat keadaan bilik, kelas, kantin, dan persekitaran asrama. Ini boleh menjadi satu pengalaman yang dapat membantu mereka membuat keputusan dengan lebih yakin.
Berikan Sokongan Emosi Berterusan
Sokongan tidak berhenti selepas anak ke asrama. Jadikan komunikasi sebagai keutamaan. Sediakan waktu tetap untuk berhubung dengan mereka melalui telefon, pesanan, atau lawatan jika dibenarkan. Tanya tentang pengalaman mereka, kawan-kawan baru, dan pembelajaran di sana. Ini akan membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih cepat dan mengurangkan kerinduan terhadap keluarga.
Beri Kebebasan untuk Menyuarakan Ketidakpuasan
Ads
Tidak semua anak akan beradaptasi dengan segera. Sesetengah mungkin berasa tidak selesa dan ingin pulang dalam masa yang singkat. Beri mereka ruang untuk menyuarakan perasaan ini tanpa rasa takut atau rasa bersalah. Jika keadaan tidak sesuai, pertimbangkan semula keputusan dengan hati terbuka. Ingat bahawa kesejahteraan emosi anak adalah lebih penting daripada keinginan ibu bapa.
Keputusan untuk menghantar anak ke asrama perlu dibuat dengan teliti dan bijak. Setiap anak adalah unik, dan tidak semua kanak-kanak bersedia untuk meninggalkan rumah dan hidup di asrama. Oleh itu, ambil kira perasaan anak serta kesiapsiagaan emosi mereka. Sebagai ibu bapa, sokongan kita adalah kunci kepada kejayaan mereka.
Selain rasa masakan yang sedap, salah satu tip untuk menjadikan makanan yang kita sediakan untuk anak-anak haruslah berkat. Bermula dengan bahan mentah yang dibeli oleh si ayah sehinggalah ketika proses ibu memasaknya. Rahsia air tangan ibu selain kepakaran menyediakan hidangan yang enak adalah amalan yang dibuatnya semasa di dapur.
Semasa ibu memasak, ibu boleh memohon kepada Tuhan segala apa yang dihajati melalui masakan yang akan dihidangkan kepada suami dan anak-anak. Inilah masa yang sesuai untuk membacakan doa dan zikir pada masakan.
Malah pesanan mak-mak kita dulu katanya, ‘air tangan ibu sangat berkuasa untuk mengikat kasih sayang anak-anak dan juga suami. Oleh, jika anak isteri yang bekerjaya dan sibuk , ibu-ibu tetap kena curi masa memasak untuk ahli keluarga.
Menyedari betapa berkesannya air tangan, anda yang bergelar ibu perlu ambil peluang menggunakan waktu memasak untuk mencipta kesejahteraan fizikal dan mental keluarga. Malah memberi suapan kepada mulut anak dengan tangan membawa kesan yang mendalam kepada diri anak.
Memang tidak ada kajian saintifik yang menjelaskan kehebatan air tangan seorang ibu, tetapi ia boleh dijelaskan melalui kaedah rohaniah.
11 ZIKIR DAN DOA SEMASA MEMASAK YANG BOLEH DIAMALKAN OLEH IBU-IBU
Berwuduk dan solat sunat dua rakaat sebelum memulakan urusan memasak.
2.Doa masuk dapur iaitu surah Al-Kahfi, ayat 10 yang bermaksud “ Ya Tuhan kami, berilah kami rahmat yang besar dari sisi Mu dan persiapkan petunjuk terhadap urusan kami.”
3.Doa mengambil beras iaitu surah An-Nahl ayat 96 yang bermaksud “ Apa yang di sisi mu akan lenyap dan apa yang di sisi Allah adalah kekal.”
4.Doa simpan beras iaitu surah Ali Imran ayat 27 yang bermaksud “Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.
5.Doa memotong sayur atau daging iaitu surah Al-Baqarah 71 yang bermaksud “Musa berkata: “Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya”. Mereka berkata: “Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat sapi betina yang sebenarnya”. Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu.”
6.Doa memotong sayur ialah surat Al-Kautsar 1–3 yang bermaksud “Sesungguhnya kami telah memberikan kepada mu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhan mu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.
7.Doa meletak kuali atas dapur ialah surah Al-Baqarah 137 yang bermaksud “Maka Allah akan memelihara kamu daripada mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Mulakan dengan bacaan Basmalah. Dan setiap kali hendak masukkan bahan dalam periuk atau kuali, dahulukan dengan ucap Basmalah untuk mendapatkan keberkatan.
9.Waktu mengacau masakan, kacau ikut lawan arah jam. Maksudnya dari kanan ke kiri. Itu sunnah Rasulullah.
10.Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa surah Al-Imran ayat 200 yang bermaksud “ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.” Doa ini boleh melembutkan hati ahli keluarga.
11.Zikir penyedap sajian yang dimasak ialah selawat dan istighfar sepanjang proses memasak.
Moga ibu-ibu muhasabah diri untuk memasak buat ahli keluarga. Dengan air tangan ibu-ibu yang penuh kasih sayang semasa memasakan serta disulami zikir dan doa akan menjadikan akhlak anak-anak terpuji. Doa dan zikir ini juga boleh dipraktikkan kepada suami supaya rumah tangga harmoni dan penuh kasih sayang.
Bagi pasangan selebriti, Amyra Rosli dan Amar Baharin kerja berpasukan bersama keluarga serta dua anak mereka menjadi keutamaan mereka di rumah.
Kata Amyra, dia tidak mempunyai pembantu rumah jadi kerja-kerja di rumah dilakukan secara berpasukan termasuk dua anaknya.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata ini lagi, dia dan Amar juga turut mendidik dua anak mereka, Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa dalam melakukan kerja-kerja rumah.
“Sekarang pun kami dah didik anak-anak kami, makan basuh pinggan sendiri, baju masuk bakul.
“Kami dah mula ajar mereka, sebab kami tiada pembantu dan ‘teamwork’ dalam family sangat penting walaupun anak baru berumur 4 tahun,” jelas Amyra.
Bahkan kata Amyra, dia paling beruntung kerana dia dan suami mempunyai citarasa yang sama bahkan kerja menguruskan kediamannya dilakukan bersama-sama tanpa rasa ada tekanan untuk berlebih-lebih.
“Kami tiada jadual khas untuk bersihkan rumah. Tapi Myra dan Amar, masing-masing dah pandai sendiri (dalam mengemas rumah). Ada masa kami terlalu ‘busy’ dan rumah bersepah, Amar tak kisah.
“Jadi bila suami tak kisah, tiada ‘pressure’ dalam bersihkan rumah, kita akan selalu bersihkan rumah mengikut waktu lapang. Namun Myra dan Amar sukakan rumah yang bersih dan lapang, jadi kita selalu buat,” ujarnya.
Berkongsi mengenai dekorasi rumah pula, kata Amyra dia dan suami cukup serasi dalam menghias rumah.
“Mengenai citarasa dekorasi rumah, Myra tidak mempunyai masalah dengan Amar. Sebab kami mempunyai ‘taste’ yang sama.
“Rumah yang kami duduk sekarang berkonsep moden, rumah yang akan berpindah nanti Insya Allah berkonsep macam ‘English Cottage’,” kata Amyra yang kini masih dalam proses renovasi serta dekorasi rumah baru.
Pasangan bahagia ini mendirikan rumahtangga pada 11 November 2016 dan dikurniakan 2 orang cahayamata iaitu Aqeef Anaqi,7 dan Ayra Arissa,4.
Anak-anak memerlukan ibu bapa untuk mendidik dan mengajar mereka. Pada hakikatnya ibu bapalah yang wajib mendidik anak-anak sejak dari kecil lagi. Mereka perlu mendidik dari sudut jasmani dan rohani.
Bagi anak-anak yang masih kecil, ibu bapa perlu merangsang anak-anak untuk berdiri, berjalan dan juga bercakap. Jangan hanya biarkan anak-anak tanpa pemantauan. Ada juga ibu bapa yang membiarkan anak-anak ‘belajar’ dengan menggunakan gajet. Kononnya anak-anak masih kecil jadi mereka perlu dibiarkan menikmati alam kanak-kanak sepuas-puasnya.
Anak Perlu Diajar, Cakap, Tunjuk
Sebenarnya tiada istilah ‘anak pandai sendiri’ atau ‘pandailah dia nanti.’ Semuanya perlu diajar, cakap, tunjuk dan nasihat. Baca perkongsian fakta seperti yang dikongsikan oleh Maryam Jamadi ini. Beliau merupakan seorang ahli terapis carakerja.
Tiada Istilah ‘Pandailah Dia Nanti’
BERIKUT PERKARA-PERKARA YANG IBU BAPA MESTI BERI PERHATIAN:
1. Kesilapan ramai mak ayah, mereka ingat anak akan pandai cakap sendiri, pandai jalan sendiri, pandai berkawan sendiri.
2. Sampailah anak umur 8 bulan masih belum berguling. Sampailah anak umur 1 tahun 6 bulan belum berjalan atau bercakap. Waktu itu baru mak ayah sedar yang anak tidak akan membesar sendiri kalau kita tidak rangsang perkembangan mereka.
3. Anak juga tak akan tiba-tiba pandai main phone atau pandai tengok youtube kalau kita tak pernah ajar mereka.
4. Jangan salahkan anak ketagih phone atau asyik-asyik nak minta tengok tv, sedangkan kita sendiri yang beri mereka tanpa pantauan.
5. Guru pertama anak adalah kita sendiri mak ayah mereka. Nak jadi guru anak-anak perlu lengkapkan senjata ilmu, barulah dapat bantu perkembangan anak.
6. Tiada istilah pandailah nanti. Selagi kita tak ubah persekitaran anak, tak bantu kembangkan perkembangan anak selagi itu perkembangan anak akan terus menerus lewat.
Jika nampak anak-anak lambat dari segi perkembangan mereka seperti yang sepatutnya mengikut tahap usia, segeralah mengambil tindakan. Jangan biarkan sahaja anak-anak ‘hanyut’ tanpa diberikan bantuan dan tunjuk ajar.
Cuti sekolah ini pasti ada yang mengambil kesempatan nak khatankan anak. Memang tak dinafikan kaedah sekarang buatkan luka pada tempat khatan sembuh dengan cepat, tapi untuk ibu yang pertama kali nak jaga anak berkhatan, tentu ada gusarnya.