Melawat ibu baru bersalin antara tradisi masyarakat Malaysia. Seronok sebenarnya mengerumuni dan mencium bau wangi bayi baru lahir. Tetapi sebelum anda meneruskan tradisi tersebut bacalah dulu pesanan daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad ini.
Bilangan bayi yang dimasukkan ke hospital semakin bertambah akibat jangkitan kuman dari orang dewasa yang melawat mereka.
Nasihat saya, jangan terlalu gembira apabila melawat sanak saudara atau rakan taulan yang baru melahirkan anak. Bagi sedikit privasi kepada ibu dan anak.
Anak yang dilahirkan tidak mempunyai daya tahan yang kuat. Mudah mendapat jangkitan kuman.
Si ibu pula jangan rasa bersalah untuk menghalang mana-mana individu menyentuh anak mereka. Kita tidak tahu mungkin di antara mereka yang sedang membawa kuman berbahaya.
Jadi bagi yang hendak melawat rakan atau saudara yang baru melahirkan anak, saya nasihatkan:
1. Jangan cium bayi. Lihat dan senyum pada bayi sudah cukup menunjukkan kita sangat gembira. Kebarangkalian untuk kita menyebarkan virus kepada bayi sangat tinggi jika kita mencium bayi.
2.Jangan sentuh bayi. Mengusik pipi juga sudah cukup untuk menyebarkan virus kepada kulit bayi. Tadi di tandas, ada basuh tangan guna sabun tak sebelum nak sentuh bayi?
3. Bila demam atau rasa tidak sihat, tak perlulah datang melawat bayi. Jangan ambil kesempatan nak melawat bayi lepas pergi klinik sebab demam. Bila demam dan selsema, rehat sajalah di rumah. Kesian jika bayi pula yang demam dan selsema.
4. Jangan lama-lama bila melawat. Jangan bawa makanan seperti mahu berkelah. Bayi pun mahu menyusu setiap dua jam. Ibunya mungkin mahu rehat dan tidak larat bila ramai yang melawat dan berbual lama. 30 min sudah mencukupi. Lebih sejam, sudah lama sangat.
5. Beritahu bila ingin datang. Jangan datang secara tiba-tiba kerana siibu mungkin sedang berehat, membersihkan diri dan bayi mungkin baru tidur.
6. Cuci tangan atau gunakan ‘hand sanitizer’ sebelum masuk bilik di mana bayi ditempatkan. Ini mengurangkan risiko jangkitan kuman sebab kebanyak jangkitan kuman adalah melalui sentuhan.
7. Jauhkan dari komen yang tidak sedap didengar walaupun dengan niat bergurau. Siibu sedang kepenatan dan mungkin lebih sensitif terhadap komen-komen negatif.
8. Tak perlu guna wangi-wangian yang menyengat. Ia mungkin mengganggu ibu dan bayi.
9. Jangun kejutkan bayi yang sedang tidur. Bayi yang baru lahir memerlukan waktu tidur yang lama. 12-14 jam.
10. Sebelum balik, hulurlah sedikit sumbangan pada ibu sebagai tanda gembira dan ucapkan tahniah. Paling baik berdoalah depan siibu untuk kesihatan dan keselamatan bayi. Semoga si anak menjadi manusia yang taat, sihat dan berbakti.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI