Merangkak adalah cubaan pertama bayi untuk bergerak. Petunjuk jelas bayi anda sedia untuk merangkak adalah keupayaannya untuk duduk sendiri. Apabila bayi anda sedia untuk merangkak, dia berupaya untuk menolak dirinya ke kedudukan duduk.

Kadang kala anda boleh melihat bayi membuat gerakan ala komando iaitu mereka menolak diri sendiri ke hadapan menggunakan tangan, kerana otot bawah badan mereka belum kuat lagi.

Bayi yang baru merangkak biasanya belajar menyeimbangkan keempat-empat anggotanya dan belajar menolak lutut untuk bergerak ke hadapan atau ke belakang. Kebanyakan bayi pada usia ini sentiasa mahu berada di atas lantai. Kita boleh meletakkan banyak objek yang menarik di atas lantai untuk membantunya merangkak.

Bagaimanapun doktor kurang menyarankan ‘latihan’ untuk bayi kerana menganggap kebolehan merangkak adalah perkara semulajadi yang berlaku ketika mereka sedang bermain. Sekiranya bayi kurang selesa untuk merangkak, jangan paksa kerana matlamat utama adalah untuk berseronok dengan bayi anda bukan memaksanya merangkak.

Ada bayi yang berguling, ada yang bergerak seperti komando dan ada juga yang mengesot. Sesiapa yang mengatakan setiap bayi mesti merangkak sebelum mereka berjalan adalah salah. Ini kerana perkembangan setiap bayi adalah berbeza-beza. Ada yang belajar duduk dan mengesot sebelum mereka belajar berdiri dan terus berjalan.

Bahkan ada bayi yang langsung tidak melalui tahap merangkak sebelum mereka boleh berjalan. Namun, jika bayi anda masih merangkak walaupun sudah berusia lebih 15 bulan, pastikan anda berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut.

Apabila bayi anda sudah mahir merangkak, seluruh ruang tamu menjadi dunia barunya. Jadi, anda perlu pastikan keselamatan ruang tersebut kepada bayi. Elakkan sebarang objek yang boleh mendedahkan bayi kepada risiko kecederaan.

Tinggalkan Komen