
Walaupun masa raya, anda tetap boleh merangsang minda anak secara positif antaranya bantu anak mengenali Allah secara dekat. Sememangnya musim raya ini anak-anak akan ‘bebas’ bermain tanpa kawalan ibu bapa. Mana taknya, waktu ini ibu bapa sibuk berbual dan menjamah hidangan bersama adik beradik ketika berkumpul di kampung.
Namun, apa salahnya ambil masa 15 minit, untuk jangan sekali lupa untuk mendidik anak-anak mengenali Allah. Ini lah masa yang sesuai!

Gunakan sumber yang sahih
Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan dengan persepsi yang betul tentang Tuhan mereka. Contohnya, “Cantiknya adik pada hari raya ni. Hebatkan Allah, ciptakan kita ni cantik-cantik. Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita.”
Ingatkan ganjaran Allah
Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan tentang ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Contohnya, “MasyaAllah, hari ni Fahim solat sunat raya dengan mama, lepas tu tolong mama susun kuih raya. Mesti Allah suka tengok Fahim buat baik dengan mama dan sediakan Fahim pahala banyak-banyak di akhirat nanti!”
Imbangi kisah teladan
Seimbangkan kisah-kisah azab dan siksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan pada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah.
Kaitkan sikap menabung dengan rahmat Allah
Kanak-kanak harus didik menghargai rahmat Allah. Contohnya apabila anak kita mendapat duit raya, kita boleh katakan pada mereka, “Alhamdulillah, Aiman dapat duit raya banyak hari ini. Allah suka orang yang tidak membazir. Nanti Aiman boleh simpan duit raya ni ye di bank nanti. ”
Beritahu kanak-kanak yang Allah sentiasa sayangkan mereka
Setelah anak bersalam dengan anak memohon maaf di pagi raya. Katakan kepada mereka bahawa Allah juga sayangkan mereka. Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh ibubapa, pasti mereka merasa lebih selamat dan terhibur apabila mereka mengetahui yang mereka turut disayangi oleh Allah, setiap masa dan ketika.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Ibu Ayah Perlu Risau Kalau Anak Lambat Bercakap?

Agaknya bila ibu ayah perlu risau kalau anak lambat bercakap. Hari ini banyak kes kanak-kanak lambat bercakap. Kadangkala bila orang mula membanding-bandingkan anak kita yang belum bercakap dengan anak orang lain, kita jadi keliru dan tertanya-tanya betulkah anak kita lambat bercakap atau memang sengaja tak nak bercakap?
Menyedari hal tersebut seorang Speech Languange Therapist/Terapis Pertuturan, Siti Sarah Said berkongsikan panduan bagaimana ibu bapa perlu bertindak sekiranya mendapati anak mereka ada ciri-ciri tersebut.
Anak-anak membesar dan berkembang pada kadar yang berbeza.
Ada yang mula mengeluarkan perkataan pertama sebelum usia 12 bulan, ada pula yang sebaliknya.
Sepanjang tempoh ini, akan timbul banyak persoalan.
Adakah anak saya masih normal? Adakah anak saya dikira lewat bercakap? Adakah anak saya memerlukan bantuan?
Perhatikan tanda-tanda awal kelewatan bahasa seperti yang disenaraikan, yang mungkin ada pada anak kita.
Jika tanda-tanda ini jelas ada pada anak, tarik nafas dalam-dalam dan bertenang dahulu.
Langkah yang disarankan, cuba dapatkan sekurang-kurangnya sesi ‘screening’ atau penilaian penuh Speech-Language Therapist (SLT) bagi mengenalpasti masalah komunikasi yang dihadapi oleh anak kita.
SLT akan berpasukan dengan ibu bapa bagi membantu anak sepanjang proses intervensi yang dirancang.
Umur 12 bulan
Masih tidak menghasilkan bunyi yang menggabungkan konsonen dan vokal (“bababababa”).
Intonasi bunyi yang dihasilkan tidak pelbagai.
Tidak menggunakan gerak isyarat seperti menunjuk, melambai “bai bai” atau menggeleng kepala untuk “taknak”.
Tidak respons kepada nama sendiri.
Tiada inisiatif untuk berkomunikasi bagi mendapatkan keinginan.
Umur 15 bulan
Tidak faham dan respons kepada perkataan seperti “susu” atau “tidak”.
Tidak menghasilkan sebarang perkataan.
Tidak tunjuk kepada objek ataupun gambar apabila ditanya.
Tiada kemahiran berkongsi tumpuan (tiada cubaan untuk berinteraksi untuk menarik perhatian orang lain bagi melihat ke arah perkara yang sama).
Umur 18 bulan
Tidak memahami arahan mudah seperti “ambil kasut”, “berhenti” atau “beri saya__”.
Tidak melirik ke arah perkara yang kita tunjuk.
Tidak menggunakan sekurang-kurangnya 10 perkataan seperti “ibu” dan “makan”.
Tidak respons kepada soalan dengan menggunakan perkataan atau gerak isyarat apabila ditanya seperti “apa itu?” atau “mana baju?’
Tidak boleh menunjuk kepada 2 atau 3 anggota badan seperti hidung, mata atau kaki.
Umur 24 bulan
Menyebut kurang daripada 100 patah perkataan.
Tidak menggabungkan 2 patah perkataan secara konsisten seperti “pakai kasut” atau “abah balik”.
Tidak mengikut 2 langkah arahan seperti “ambil bola dan bagi ibu”.
Tidak meniru aksi ataupun perkataan seperti “hentak kaki” atau “pusing”.
Tidak bermain olok-olok seperti memberi anak patung makan atau beraksi memandu kereta menggunakan gerak tangan.
Umur 30 bulan
Tiada penambahan kosa kata secara konsisten.
Tidak menggunakan perkataan perbuatan seperti “makan” “tidur” atau “lompat”.
Tidak boleh menjawab soalan mudah seperti “siapa ini?” dan “di mana kereta?”
Tidak berminat untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
Umur 3-4 tahun
Tidak bertanya soalan seperti “apa” dan “mengapa” apabila mencecah 3 tahun.
Masih tidak menghasilkan ayat seperti “saya nak minum air” atau “kereta saya jatuh” pada usia 3 tahun.
Tidak mampu bercerita secara ringkas p ada usia empat atau lima tahun.
“Ada tak yang boleh saya lakukan pada waktu ini?”
Sudah tentu.
Ini antara langkah bijak yang ibu bapa boleh lakukan di rumah bagi membantu anak berkomunikasi:
1. Bermain dengan anak.
Bina hubungan. Cipta suasana yang seronok. Lupakan tentang tekanan untuk bercakap.
Fokus kepada keperluan untuk berkomunikasi. Mengapa kita perlu berkomunikasi?
Jika tiada keinginan atau keseronokan untuk berkomunikasi, takkan timbul motivasi untuk bercakap. Mulakan dengan bermain bersama.
2. Cipta peluang untuk berkomunikasi.
Elakkan meneka dan beri terus apa yang anak mahukan. Beri mereka peluang untuk belajar berkomunikasi.
Jika sudah pandai tunjuk untuk dapatkan sesuatu, perlu belajar sebut pula.
Sentiasa tingkatkan kemahiran komunikasi anak.
Ini mungkin akan jadi waktu yang ‘struggle’ untuk anak dan kita sebagai parents, namun di sinilah bermulanya sesi pembelajaran.
1. Ringkaskan bahasa yang digunakan.
Gunakan ayat yang pendek apabila bercakap atau memberi arahan sesuai dengan tahap komunikasi anak. Ini membantu anak untuk fokus kepada perkataan yang sepatutnya.
2. Labelkan setiap benda, perbuatan atau orang yang terlibat.
Labelkan dengan cara MENYEBUT perkataan yang sepatutnya. Contohnya, jika sedang bermain di padang, “banyaknya RUMPUT! RUMPUT lembut. Jom duduk atas RUMPUT! Pegang RUMPUT…”
3. Tunjukkan pada anak bahawa kita sedar akan kehadirannya.
Perhatikan setiap tindakan anak kita, jika masih belum bercakap pun, pasti ada cara yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan kita (gerak isyarat, mata, intonasi suara).
Anak-anak faham lebih banyak perkara berbanding dengan apa yang mereka boleh tuturkan.
Walaupun masih belum bercakap, mereka juga mahu ‘didengari’. Inilah saatnya untuk membina hubungan.
Bukankah kita akan bermotivasi melakukan perkara yang sukar jika ada orang yang kita boleh percayai?
4. Bercakap dengan anak menggunakan bahasa yang paling selesa kita gunakan.
Gunakan bahasa yang kita paling mahir gunakan. Perlu diingat, kita perlu modelkan penggunaan bahasa. Ini membantu anak mengembangkan kosa kata dan ayat.
Namun, memperkenalkan lebih daripada 1 bahasa juga adalah langkah yang bagus. Pastikan kita modelkan bahasa dengan baik.
5. Bercakap tentang apa yang kita lakukan dan apa yang anak sedang lakukan. Cakap, cakap dan bercakap!
Lebih banyak yang didengar, lebih banyak akan disimpan dan digunapakai kelak.
6. Semasa berinteraksi, kurangkan gangguan bunyi daripada persekitaran.
Perhatikan TV atau persekitaran yang bising. Ini boleh mengganggu tumpuan anak terhadap komunikasi.
7. Jadikan buku sebagai aktiviti rutin.
Tambah kosa kata dan kemahiran berfikir anak dengan buku.
Gunakan intonasi dan gaya bercerita sebagai daya penarik untuk anak sukakan buku.
Bermula dengan lakukan apa juga cara untuk mereka lihat buku itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Proses membantu anak meningkatkan kemahiran berkomunikasi mungkin akan memakan masa dan tenaga. Akan ada turun naik semangat dan emosi. Namun percayalah, di akhir jalan akan sentiasa ada cahaya.
Yang penting, usaha dan doa!
Sumber: Siti Sarah Said
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Normalkah Anak Suka Menggigit? Rupaya ada 8 Sebab Dia Menggigit & Ini Caranya Mama Papa Boleh Bertindak

Anak suka menggigit bukanlah sesuatu yang pelik. Ia banyak berlaku kepada kanak-kanak dan bayi. Namun adakalanya bila anak suka menggigit, timbul rasa bimbang pada ibu bapa kerana khuatir anak akan menggigit orang lain.
Menurut Dr Rozanizam Zakaria, tabiat menggigit di kalangan kanak-kanak adalah fasa yang normal.
ANAK MENGGIGIT ANAK ORANG LAIN? BACA 26 INFO INI
Normalkah anak saya?
Menggigit adalah sebahagian dari fasa normal pembesaran kanak-kanak. kanak-kanak usia 1 hingga 3 tahun akan melalui ‘fasa suka menggigit’ dan kebanyakannya akan berhenti dengan sendiri seusai usia tersebut.
Walaupun ia merupakan tabiat yang normal, namun ia masih perlu dikawal bagi mengelakkan kecederaan dan kesan jangka masa panjang.
MENGAPA KANAK-KANAK MENGGIGIT?
Perkara pertama ibubapa kena cuba fahami sebelum bertindak ialah cuba memahami sebab disebalik tingkahlaku tersebut?
Antara sebab yang biasa ialah:
- Mereka dalam kesakitan – yang paling biasa ialah sakit tumbuh gigi.
- Mereka sedang ‘meneroka dunia’ – sebagaimana mereka menyentuh semua benda dengan tangan, begitu juga mulut dan gigi menjadi alat meneroka sekeliling mereka.
- Mereka ingin tahu – sebahagian dari fasa perkembangan minda dan akal mereka didorong oleh sifat ingin tahu. merek bereksperimen melihat kesan dan akibat sesuatu tindakan. pada usia yang muda, mereka mungkin belum kenal sempadan dunia mereka, had boleh dan tidak.
- Mereka hanya inginkan perhatian – terutama yang kanak-kanak yang besar sedikit. bila mereka terasa terabai, adakalanya ‘buat perangai’ adalah antara cara mendapat perhatian.
- Mereka ingin lepaskan perasaan – ‘frustration’ adalah perasaan yang biasa namun susah diproses oleh kanak-kanak. menggigit, sepertimana tingkahlaku agresif yang lain adakalanya adalah cara mereka ‘externalise’ perasaan tersebut.
- Cara mereka berkomunikasi – menyampaikan perasaan tak senang, contohnya ada budak yang duduk terlalu dekat dengan dia dan sebagainya. Terutamanya kanak-kanak yang ada masalah pertuturan.
- Mereka ‘overwhelmed’ dengan situasi yang terlalu banyak rangsangan (bising, terlalu cerah, terlalu ramai orang) – terutama kanak-kanak yang mempunyai autisme.
- Mereka perlukan rangsangan mulut – kalau tak ada benda dimulut dia jadi geram.
8 KAEDAH MENGAWAL
Bergantung kepada sebab, amalkan langkah-langkah awal bagi mengelakkan anak anda dari memulakan tingkah laku tersebut.
- Jika anak dalam fasa tumbuh gigi, sediakan alat dan ubat yang mengurangkan ketidakselesaan dari proses ini.
- Kenal pasti situasi yang anak mudah bertindak sedemikian – lapar, panas, terlalu sesak, kenalan baru – sediakan anak-anak terlebih dahulu dalam situasi sebegini.
- Jika anak mudah beremosi, ajar anak meluahkan dengan kata-kata – “abang tak suka”, ”kakak marah!”, “jangan usik barang saya!” dan sebagainya. Bila mereka boleh meluahkan dengan kata-kata, lebih mudah kita menguruskan emosinya dari dia meluahkan dengan perbuatan. kemudian ajar anak untuk mengatasi masalah tersebut dengan komunikasi. contohnya dia marah kanak-kanak lain ambil mainan dia, ajar dia cakap “saya tak suka awak ambil mainan saya” (walaupun bunyinya nampak sombong, tapi lebih baik dari bertindak agresif, seterusnya boleh diuruskan emosi tersebut dengan teknik lain).
- Beri perhatian pada anak-anak secara berkualiti (tanda distraction media sosial dan sebagainya). Perhatian yang lebih dari biasa adakalanya diperlukan terutama bila kanak-kanak melalui fasa baru seperti berpindah kawasan, dapat adik baru, mak baru dan sebagainya.
- Alihkan perhatian anak dengan mainan, buku dan alam.
- Sediakan biskut, teething toys dan sebagainya sebagai rangsangan mulut.
- Ajar berkongsi, guna ‘timer’ atau kira untuk ajar bermain mengikut giliran.
- Bercerita atau baca buku yang mempunyai mesej ‘tak baik gigit orang’.
APA PERLU DILAKUKAN PADA MASA KEJADIAN
- Kawal perasaan anda – marah, malu dan geram tidak boleh bercampur, ia resipi yang baik untuk memburukkan lagi keadaan.
- Ambil anak anda, lihat matanya dan cakap dengan nada tegas ‘jangan gigit, gigit sakit’ (cuba guna mesej yang sama eg “no biting, biting hurts”). Komen pada apa yang berlaku – ‘tengok adik ni, sekarang dia menangis sebab sakit awak gigit’.
- Kemudian alihkan perhatian pada kanak-kanak yang digigit. Kaedah ‘negative reinforcement’ ini membolehkan kanak-kanak yang menggigit mengaitkan akibat – gigit kena ignore, digigit dapat simpati (learning theory). Ia akan mengambil masa, tetapi sekiranya kita konsisten, ia anak-anak akan ‘get the point’.
- Ajar anak komunikasi alternatif. contohnya, bila dia menggigit kerana marah ajar dia – lainkali kalau marah orang ambil cakap, ‘saya tak suka awak ambil barang saya’, kalau tak dia tak bagi juga, datang pada ibu, biar ibu tolong’.
- Beri kanak-kanak tersebut sedikit masa, kemudian teruskan aktiviti seperti biasa. bantu dia kembali kepada situasi “abang nak main balik? sekarang nak main apa?”
Menggigit semula anak, memarahinya di depan orang ramai dan mengasingkannya dari orang lain tidak disyorkan dan tidak berkesan. Jika tingkahlaku ini telah berlaku untuk tempoh yang lama, jangan menjangkakan ia akan berubah dalam sehari dua. Berikan perhatian, fokus, konsisten dan beri masa.
BILA PERLU DAPATKAN BANTUAN PROFESIONAL?
- Jika berlarutan lebih dari usia 4-5 tahun.
- Jika tingkahlaku ini berlaku bersekali dengan masalah lain seperti sifat agresif yang lain.
- Jika menganggu perkembangan pembelajaran, emosi dan sosial pada usia mereka.
- Jika mengakibatkan kecederaan serius.
- Jika berlaku pada mangsa yang sama pada setiap masa.
Sumber: FB Dr Rozanizam Zakaria
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Takut Bila Lihat Anak Menangis Sehingga Kebiruan. Bahaya Atau Tidak? Ini Jawapannya

Takut bila lihat anak menangis sehingga kebiruan. Bahaya atau tidak? Ini situasi yang sesetengah ibu bapa hadapi apabila anak terjadi sedemikian.
Sebenarnya Breath holding spell (menahan nafas) adalah keadaan di mana bayi atau kanak-kanak menangis kerana sakit, takut atau marah seterusnya muka bertukar menjadi pucat atau biru dan akhirnya pengsan.
Breath holding spell berlaku secara tiba-tiba, tidak disengajakan dan tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut. Kebiasaanya episod menjadi biru itu mengambil masa kurang dari 1 minit, ia mungkin kelihatan seperti sawan namun ujian EEG sekiranya dilakukan (untuk memeriksa gelombang sawan di otak) adalah normal.
Walaupun episod breatholding spell kelihatan menakutkan buat ibu bapa dan penjaga namun ianya tidak membawa kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut. Episod breatholding sebenarnya agak lazim berlaku dan kira-kira 4-5% kanak-kanak mengalaminya. Ia bermula dari usia 6-18 bulan dan kebanyakannya berhenti berlaku ketika kanak-kanak berumur 4-7 tahun.
Adalah amat penting bagi ibu bapa membawa anak berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Ini untuk memastikan episod biru atau cyanosis bukanlah berpunca dari masalah jantung, paru-paru atau sawan.
Deskripsi
Breatholding spell kerap kali tercetus apabila kanak-kanak atau bayi itu marah, sakit atau kecewa (frustrated). Kanak-kanak itu akan mula menangis dan tidak mengeluarkan suara walaupun seolah-olah kelihatan seperti masih menangis. Mereka akan menghela nafas keluar dan tidak menarik nafas masuk.
Terdapat dua jenis breatholding spell bergantung kepada perubahan warna kanak-kanak. Episod cyanosis (biru) tercetus apabila kanak-kanak itu marah atau kecewa. Biasanya kanak-kanak akan menangis kuat selama kurang dari 15 saat, kemudian menjadi senyap, berhenti bernafas dan dengan pantas muka bertukar menjadi biru. Kebiasaannya mereka akan menjadi lembik dan pengsan. Kadang-kadang badan mereka boleh mengeras seolah-olah mereka mendapat sawan. Tidak lama selepas itu mereka akan menarik nafas yang dalam, bernafas seperti biasa dan mula sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan penat selepas episod breatholding spell tersebut.
Selain dari cyanosis (biru) kanak-kanak atau bayi boleh mendapat serangan pucat yang selalu tercetus oleh kesakitan atau ketakutan. Sebagai contoh seorang kanak-kanak berlari, tiba-tiba terjatuh dan kepala terhantuk. Ini boleh mencetus breath holding spell bukan kerana kecederaan di kepala tetapi lebih kepada sakit yang tidak dijangka dan berlaku secara tiba-tiba. Kanak-kanak tersebut akan berteriak sekejap, betukar menjadi pucat seterusnya pengsan dan mungkin kelihatan sedikit kebiruan. Acap kali badan mengeras atau menggigil seolah-olah mendapat serangan sawan dan berlaku tidak sampai 1-2 minit. Selepas itu mereka akan sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan letih dan tidur untuk beberapa jam. Episod ini dipanggil Reflex Anoxic Seizure di dalam bahasa perubatan.
Pada peringkat permulaan, breath holding spell terjadi setiap beberapa minggu atau bulan namun ia mungkin akan menjadi lebih kerap dan boleh berlaku hampir setiap hari.
Walaupun breatholding spell kelihatan menakutkan namun ia sebenarnya tidak membawa kesan kepada kanak-kanak tersebut seperti kerosakan otak atau penyakit epilepsi (sawan berulang-ulang).
Punca
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami breatholding spell adalah sebenarnya sihat. Breatholding spell berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka. Ia tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut dan tidak bermaksud yang kanak-kanak itu mengalami masalah tingkah laku. Gangguan emosi mencetus tindak balas refleks yang menyebabkan perubahan dari segi pernafasan, nadi dan tekanan darah.
Ujian
Pemeriksaan dan pengambilan sejarah pesakit secara terperinci termasuklah deskripsi episod breath holding sudah memadai untuk membuat diagnosis. Ujian seperti scan otak (CT atau MRI) mahupun EEG untuk melihat gelombang sawan di otak selalunya tidak diperlukan. Namun jika simptom tidak tipikal maka ujian lanjutan mungkin dilakukan.
Rawatan
Sebenarnya tiada rawatan untuk breatholding spell melainkan jika kanak-kanak itu mengalami masalah kurang sel darah merah (anemia). Sekiranya darah merah rendah, maka zat besi tambahan mungkin boleh diberi untuk mengurangkan kekerapan episod breath holding.
Tindak balas biasa ibu bapa atau penjaga sekiranya anak menjadi biru atau pucat adalah dengan mengangkat dan mendukung kanak-kanak. Namun hakikatnya mendukung anak anda boleh menyebabkan episod cyanosis (biru) itu lebih berpanjangan. Begitu juga jika anak pengsan, baring dan meletakkan kepala lebih rendah dari badan mempercepatkan dan melancarkan pengedaran darah ke otak. Sebaiknya, kanak-kanak itu diletakkan baring mengiring dan di pantau sehingga kanak-kanak itu mula bernafas dengan baik dan warna berubah kepada sedia kala.
Adalah amat penting untuk tidak terlalu memanjakan dan memberi perhatian yang lebih hanya semata-mata untuk mengelakkan dari anak anda menangis agar tidak mendapat breath holding spell. Memang ia sukar namun tindakan ini hanya akan menyebabkan kanak-kanak itu mendapat masalah tingkah laku di kemudian hari. Layanan anda seharusnya sama seperti anak anda yang lain. Bukan mudah untuk membesarkan anak yang mengalami breatholding spell. Sebagai ibu bapa sekiranya anda merasa tertekan, adalah baik untuk medapat bantuan dari pakar psikologi atau pakar terapi untuk mempelajari mengenai ‘parenting technique’.
Rumusan
Breatholding spell tidak memudaratkan anak anda. Ia tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan otak atau menjejaskan perkembangan anak anda. Ia mungkin mengerikan untuk melihat anak anda menangis dan menjadi biru atau pucat lalu longlai.
Kekerapan breath holding spell berkurangan apabila kanak-kanak berusia 2 tahun dan hampir 50% tidak mengalaminya ketika mereka mencecah 4 tahun.
Sekiranya anak anda mempunyai masalah biru atau pucat ketika menangis, berjumpalah dengan doktor untuk kepastian dan pemeriksaan lanjut.
Sumber: Dr Maryamjameelah Razali (www.doktorbudak.com)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI