Sebulan Sebelum Kerja Waktu Paling Lewat Untuk Simpan Stok Susu! Ikuti Jadual Memerah Susu Yang Betul

Share

Stok susu ibu perahan (SIP) amat penting kerana bayi akan minum SIP semasa anda di pejabat. Stok perlu disediakan seawal yang boleh apabila susu matang yang berwarna putih sudah mula kelihatan. Pada waktu itu semua kolostrum yang diperlukan oleh bayi sudah dihabiskan.   

Mengumpul stok susu

Jika bayi terpaksa ditahan di hospital sebaik melahirkan, anda perlu memerah seawal hari pertama lagi. Walaupun kelihatan susu hanya menitik sedikit, ia perlu teruskan untuk mencipta permintaan. Jika tidak dimulakan awal, penghasilan sukar untuk meningkat dengan cepat.

Waktu paling lewat untuk mengumpul stok ialah sebulan sebelum mula bekerja. Kebiasaannya, apabila bayi mula kerap menyusu, ia menyebabkan hasil perahan yang dikumpulkan menjadi sedikit. Maka, ia memakan masa untuk mengumpulnya.

Perahan efektif

Bagi memudahkan stok susu dikumpulkan, perahan secara efektif amat mustahak.  Anda perlu bijak memilih pam susu yang sesuai. Kesesuaian setiap orang terhadap sesuatu jenis pam tidak sama. Sebaik-baiknya cubalah dulu sebelum anda membeli atau cuba bertanya kepada mereka yang berkongsi maklum balas positif tentang pam tersebut berdasarkan saiz coli. Biasanya jika saiz coli sama, maka kesesuaian dan keselesaan pam payu dara juga hampir sama.

Pekerjaan ibu juga perlu diambil kira. Sebenarnya tip untuk memilih pam payu dara yang efisien dilakukan berdasarkan pekerjaan, bukan bajet. Jika pilih berdasarkan bajet, ada kemungkinan pam yang dipilih tidak sesuai dengan pekerjaan anda.  Ada sesetengah ibu yang sukar untuk meneruskan penyusuan atas kekangan masa kerana pam yang dipilih mengambil masa yang lama untuk mengosongkan payudara.

Selepas mengambil kira faktor ini, pam yang terbaik adalah pam berganda kerana ia mampu mengeluarkan susu secara serentak. Masa dapat dijimatkan dan anda tidak perlu terkejar-kejar untuk memerah susu ibu, malah boleh memerah sambil bekerja. Anda juga boleh memerah secara bebas tangan menggunakan hands free bra atau coli khas.

Namun, jika anda kurang berkemampuan untuk mendapatkan pam berganda, gunakan pam payudara biasa tetapi perlu belajar memerah sambil menyusukan bayi. Selain itu, belajar teknik memerah menggunakan tangan atau Marmet secara bebas tangan supaya kedua-dua tangan bebas untuk memegang bayi dan memicit payu dara.

Jumlah stok

Jumlah stok minimum yang perlu dikumpulkan perlulah cukup untuk keperluan bayi dalam tempoh sebulan. Jadi, anda ada masa untuk meningkatkan pengeluaran susu apabila merudum ketika mula bekerja nanti. Jika keperluan minimum bayi adalah 15 – 18oz sehari, anda perlu kumpul stok minimum sebanyak 450oz – 540oz sebulan.

 Jadual memerah susu sebelum kembali bekerja

Masa/hari 31 hingga 33 34 hingga 36 37 hingga 40 41 hingga 33

dan seterusnya

7.00 – 9.30 pagi *Perah tandem Perah tandem Perah tandem Perah tandem
10.30 – 11.30 pagi **Menyusu terus Perah tandem Perah tandem Perah tandem
1.30 – 2.30 petang Menyusu terus Menyusu terus Perah tandem Perah tandem
4.30 – 6.30 petang Menyusu terus Menyusu terus Menyusu terus Perah tandem

Rujukan

*Perah tandem bermaksud bayi menghisap sebelah payudara manakala sebelah payudara lagi diperah untuk menghasilkan stok SIP.

**Menyusu terus bermaksud bayi menyusu terus dari payudara.

 Bayi tidak puas

Bayi boleh jadi tidak puas menyusu apabila anda perah dulu sebelum menyusukan kerana jumlah susu baru memakan masa untuk dihasilkan. Namun, anda tidak perlu risau kerana setiap kali payudara dikosongkan pasti akan ada susu baru dihasilkan.

Cara untuk mempercepatkan proses penghasilan susu baru ialah anda perlu  menggunakan pendekatan pemakanan.  Contohnya mengambil minuman yang mengandungi zat seperti susu, oat, koko dan bijirin. Minuman tersebut perlu diminum semasa masih panas. Ia mampu meningkatkan hormon prolaktin dan oksitosin dengan lebih cepat. Jika bayi menyusu selepas anda memerah, dia akan mendapat lebih banyak dapat susu hindmilk yang bagus untuk tumbesarannya kerana mengandungi banyak lemak.

Pengurusan SIP

Selepas memerah, anda perlu tahu proses pengurusan SIP iaitu melibatkan rutin  memerah, melabel botol dengan tarikh ia diperah dan membekukannya. Manakala bagi bekas penyimpanan, anda disarankan menggunakan bekas yang dibuat khas untuk menyimpan SIP. Antara plastik lining dan botol, plastik lining lebih praktikal kerana jimat ruang dan SIP mudah mencair semasa dipindahkan dari tempat beku ke tempat sejuk (chiller). Bekas dadih masih selamat digunakan untuk penyimpanan tetapi plastik yang biasa digunakan untuk membuat aiskrim Malaysia sangat tidak digalakkan kerana ia terlalu nipis dan mudah terkoyak dan menyebabkan SIP tercemar.

SIP perlu diletakkan di bahagian chiller dahulu sebelum dibekukan kerana susu ibu sangat sensitif dengan perubahan suhu. Jadi, suhu perlu berubah secara perlahan-lahan untuk menjaga kualiti susu ibu dan mengurangkan risiko bakteria membiak dengan cepat. SIP pada hari yang sama boleh dicampurkan dengan syarat semua SIP terbabit disejukkan dahulu semalaman dan keesokan harinya boleh dicampurkan.

 Tip bawa pulang SIP selepas berpantang

Kaedah ini boleh digunakan bagi memindahkan SIP dalam perjalanan yang melibatkan perjalanan jauh dan masa yang lama. Misalnya dari kampung ke kediaman anda di ibu kota. Peralatan yang diperlukan ialah ais, kotak polisterin (saiznya mengikut kuantiti SIP), garam kasar (sebagai agen melambatkan ais mencair), tuala dan pita pelekat. Langkah-langkah menguruskan SIP:

  1. Letakkan ais setebal empat hingga lima inci.
  2. Letakkan garam sebanyak mungkin.
  3. Letakkan SIP yang beku dan disusun rapi.
  4. Taburkan ais hingga menutupi susu.
  5. Taburkan garam di atas ais.
  6. Letakkan tuala di atas ais bercampur garam tadi.
  7. Tutup kotak dengan penutup dan di tampal dengan pita pelekat.
Published by
NuFa