Ketika anak berjuang untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan, mak ayah juga perlu turut sama berjuang dibelakangnya bagi mendoakan yang terbaik buat anak.
Apa mak ayah boleh lakukan? Salah satunya adalah bersedekah sepanjang hari peperiksaan anak. Tip ini dikongsikan oleh Guru Cemerlang, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai, Melaka, Ustazah Aminah Mat Yusoff di akaun Facebooknya baru-baru ini.
“Terdapat lima amalan terbaik yang boleh dilakukan ibu bapa sepanjang anak-anak menduduki peperiksaan.
“Saya kumpulkan di sini segala amalan terbaik, hasil perkongsian sahabat-sahabat yang mempunyai anak cemerlang,” ujarnya.
1) Doa yang paling baik, rugi jika tidak amalkan
اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
“Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla, wa ‘anta taj-alul hazna idha shi’ta sahla”
Maksud: “Ya ALLAH, tiada kemudahan melainkan apa yang engkau jadikan mudah dan engkau dapat menjadikan tanah (yang sulit dan keras), (yakni kesusahan) itu mudah jika engkau mahukan” – Hadith diriwayatkan Ibnu Sinni & Ibnu Hibban
Semasa bacakan doa ini, niatkan dalam hati supaya anak-anak dipermudahkan menjawab soalan, dipermudahkan memahami kehendak soalan dan dikurniakan kekuatan oleh ALLAH untuk memberikan jawapan yang terbaik.
2) Sedekah mengikut jumlah hari peperiksaan
Pada hari-hari peperiksaan, ibu ayah dermalah dalam tabung masjid. Jika jumlah hari peperiksaannya tujuh hari maka infaq yang dilakukan juga tujuh kali.
Jumlah tidak semestinya banyak sebaliknya sedekahlah mengikut kemampuan. Ingat, jangan sampai rasa terbeban dan hilangnya keikhlasan.
Jangan lupa niatkan sedekah ini atas nama anak dengan tujuan merungkaikan segala kekusutan dan kepayahan yang dihadapi. Paling penting, mohon ALLAH kurniakan kesihatan yang terbaik buat mereka.
3) Baca al-Quran
Saya pernah kongsikan satu kisah di mana seorang ayah yang mengambil cuti sepanjang anaknya menghadapi peperiksaan. Bermula anaknya menjawab soalan sehingga selesai kertas pertama kedua dan seterusnya dia setia berada di kawasan sekolah.
Dalam kereta dia mengalunkan ayat suci al-Quran tanpa henti dan antara surah yang dibaca ialah surah Yasin.
Akhirnya usaha itu memberi kejayaan yang sangat cemerlang kepada anaknya iaitu dari 1A semasa percubaan melonjak kepada straight A dalam peperiksaan sebenar. Kuasa ALLAH, tidak ada yang mustahil untuk dicapai.
Saya selalu pesan pada murid, jangan takut untuk meminta yang hebat-hebat dari ALLAH, kerana ALLAH itu Maha Berkuasa untuk tunaikan permintaan kita. Sungguh tidak ada yang mustahil bagi Ya Rabb.
4) Belanja makan dan tunaikan hajat anak yatim
Belanja makan fakir miskin, anak yatim, kawan dan jiran. Boleh juga belikan air minuman dan kismis kemudian sedekahkan kepada rakan sekelas anak-anak kita.
Kemudian, tunaikan hajat dan permintaan anak yatim. Gembirakan hati mereka dan layani dengan perkara yang anak-anak ini suka. Setiap kebaikan yang ibu ayah lakukan demi anak mesti kesannya sangat hebat.
5) Puasa dan solat hajat
Doa orang yang berpuasa sangat mustajab. Lebih-lebih lagi jika ia dari seorang ibu dan bapa. Amalan ini sangat popular, selalu sangat dilakukan dan kesannya memang sangat hebat.
Ada anak yang mengakui mudahnya mereka menjawab soalan malah urusan lain juga ALLAH permudahkan. Sebenarnya segala usaha dan amalan di atas adalah bukti bahawa ibu bapa sedang meredai segala usaha yang dilakukan oleh seorang anak.
Daripada reda ibu bapa, anak-anak akan mendapat reda ALLAH dan ini adalah resipi sebenar kejayaan seorang anak.
Menarik: Suprise Birthday Menjadi, Che Ta Tunaikan Impian Aaisyah “Nak 10 Hadiah”
Ajar Anak Mewarna Nak Pakai Crayon Atau Pensil Warna, OT Kongsikan Tipnya!
Nabila Razali Umum Hamil Anak Pertama, Bersalin Januari Depan, “Se
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Sumber: Ustazah Aminah Mat Yusoff