Siapa sangka, tidak lama selepas berbuka puasa terjadi kebakaran di rumah keluarga ini sehingga mengorbankan empat orang kanak-kanak. Sedihnya kerana kesemua mereka masih kecil, tambahan pula kejadian berlaku dalam bulan Ramadan dan tak lama lagi kita akan menyambut ketibaan Syawal.
Memetik laporan berita Harian Metro, empat adik-beradik maut selepas kediaman mereka di Lorong Haji Muhammad, Kampung Sabak Awor, Muar, di sini, terbakar malam ini.
Dalam kejadian jam 7.49 malam itu, mangsa masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara tiga hingga lapan tahun ditemui sudah meninggal dunia.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal.
“Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan rumah itu.
“Sebaik api padam sepenuhnya pihak bomba membuat pencarian mangsa.
“Empat mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan empat tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lapan tahun ditemukan dalam bilik air rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Menurutnya, seramai 20 anggota dari BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Baca Juga:
Bergurau & Peluk Erat Nak Lepas Rindu. Video Tahanan Luang Masa Dengan Anak Buat Warganet Tersentuh
“Kini Hanya Tinggal Kenangan.” Suami Jatuh Laut Sebelum Ramadan, Tak Sempat Sambut Puasa Bersama
“Assalamualaikum Ayah..” Ramai Tersentuh Tengok Video Anak Singgah Pusara Ayah Lepas Sekolah
“Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan semua mangsa sudah meninggal dunia.
“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operasi tamat pada 9.52 malam.
Perkembangan terbaharu dari Harian Metro, ibu kepada empat mangsa itu keluar sebentar untuk mencari barang kelengkapan berbuka puasa. Baru saja 10 minit meninggalkan anak-anaknya, dia kemudiannya dihubungi jiran dan dimaklumkan tentang kejadian kebakaran itu.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian 7.49 malam itu, mangsa, Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.
Menurut Raiz Mukhliz, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran, manakala bapanya yang berusia 30 tahun bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar, di sini.
“Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.
“Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemukan di dalam tandas dipercayai. Mereka (di situ) bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar selama 10 minit mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jiran.
“Kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba. Mangsa sudah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
Raiz Mukhliz, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang sudah merebak sehingga 70 peratus.
“Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Setelah api padam sepenuhnya, bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan mayat dua kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya.
Sememangnya ujian ini sangat berat dan bukan mudah keluarga mereka mahu pulih dari trauma dan kesedihan yang dirasai. Sama-sama kita doakan mereka reda dan tabah dengan kehilangan besar ini. Al-fatihah.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)