
Dalam usaha kita membesarkan anak-anak sebenarnya penting doa ibu bapa. Keberkatan seorang anak itu adalah terletak pada seorang ibu dan ia sangat luar biasa. Walaupun anak itu dah besar, doa ibu tetap penting untuk anak meniti kehidupan yang baik.
Perkongsian dari seorang ibu, Wan Nur Syakira mengenai amalannya ini boleh dijadikan panduan untuk sama-sama membesarkan anak dengan sempurna.
Antara doa yang sering saya baca sepanjang menjadi ibu. Sehebat mana pun kita menjaga,
Tetap akhirnya Allah lah sebaik-baik penjaga.
Upaya dan pancaindera kita terhad. Di kala kita tak mampu menjaga mereka dengan upaya kita, kepada Allah lah, tawakal diletakkan. Khususnya bila mereka sudah besar, jauh dari kita.
Doa-doa ini selalu saya bacakan, ketika anak-anak baru sahaja tertidur sambil mengusap kepala mereka. Dan ketika itu juga, saya bisikkan harapan dan doa lain untuk mereka.
Dengan harapan ia bersemadi dalam minda separa sedar mereka.
Selain doa ini, saya bacakan juga surah al Kauthar dengan niat supaya Allah limpahkan kasih sayang dalam diri mereka untuk diberi pada dunia.
Surah Al Insyirah, niatkan moga mereka diterangkan hati dan dilapangkan dada supaya mudah dididik dan dijaga.
3 Qul, niatkan mereka dilindungi syaitan dan diteguhkan iman.
Surah al Fatihah, moga sentiasa mereka menjadi hamba yang bergantung pada Allah.
Ini ikhtiar saya. Surah lain juga boleh diamalkan. Saya percaya setiap surah ada istimewanya.
Moga Allah perkenankan ikhtiar ini. Hidup kita ini, biarlah sentiasa kita memohon pada Allah. Doa itu senjata.
Doa itu tanda kita mengakui kita lemah dan memerlukan Allah dalam hidup.
Moga Allah jadikan kita insan yang sentiasa berdoa. Moga Allah jagakan anak kita sentiasa dengan asbab doa kita yang tak putus buat mereka. Amin
Sumber: Wan Nur Syakira
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tudung Sarung Lycra, Kaftan” Tak Perlu Banyak, Elfira Loy Kongsi Barang Keperluan Hospital Nak Bersalin!

Buat bakal ibu yang pertama kali melalui momen melahirkan anak, banyak yang perlu dipelajari sebelum menempuh harinya. Salah satu persediaan yang wajib ada pastinya menyediakan kelengkapan untuk di bawa ke hospital ketika bersalin kelak.
Menerusi Insta Story, pelakon cantik manis, Elfira Loy yang baru melahirkan anak keduanya turut berkongsi barang keperluan yang perlu di bawa ke hospital.
Tak perlu banyak kata Elfira, cukup hanya keperluan diri semasa di hospital dan ketika hendak pulang. Simple.
Ini panduan yang dikongsikan Elfira kepada pengikutnya di Instagram.
“Sebenarnya barang nak pack pergi hospital ni tak banyak pun.
First checklah dengan hospital dia dah sediakan apa. Macam El toilettries, towel, thermos cawan semua disediakan, so tak yah bawak,” kongsinya.
Yang El bawak just after beranak and for discharge
1. Small pouch for skincare & makeup, hairbands.
2. Maternity diapers, pads, disposable pantyliners, peri bottle.
3. Breastfeeding bra, tudung sarung or lycra, kaftan.
4. Baby discharge outfit, mom discharge outfit.
5. Sock, hospital slippers.
6. Tissue, wet tissue, niplle balm/spray
7. Breastfeeding pillow.
8. Powerbank, small fan, charger, extension.
Untuk suami pulak.
1. Towel
2. Blanket, pillow
3. Jacket, baju tidur, baju balik
4. Kain pelikat, sejadah.
5. Toiletries.
Simple kan? Jadi mommies, siap-siapkanlah lebih awal dan letak dalam kereta sebagai persediaan ke hospital.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rajinkan Diri Untuk Makan Ulam, Ini 8 Jenis Ulam Yang Popular, Rugi Tak Cuba Makan!

Adakah anda masih makan ulam? Apakah khasiat ulam-ulaman yang anda tahu? Urbanisasi, pilihan gaya hidup tidak sihat, selain genetik, semuanya memainkan peranan dalam pertambahan kadar obesiti di Malaysia.
Dengan faktor risiko yang diteruskan generasi demi generasi, golongan muda dan kanak-kanaklah yang paling terkesan.
Apatah lagi, menurut laporan Euromonitor, kadar pengambilan makanan proses di Malaysia meningkat sebanyak 105% dalam masa 5 tahun.
Malaysia bukan sahaja antara negara dengan kadar obesiti kanak-kanak paling tinggi di dunia, bahkan, menurut kajian, pengambilan serat dalam kalangan remaja Malaysia tidak sampai 10% daripada saranan WHO.
Melihatkan senarai pilihan makanan harian di Malaysia yang kaya karbohidrat dan lemak, mungkin kita akan mudah mengecop budaya makan Malaysia sebagai menggemukkan.
Tetapi jika cara pemakanan tradisional dikaji, pasti kita akan mendapati bahawa budaya makan masyarakat terdahulu sebenarnya sangat seimbang. Rahsianya? Dengan makan ulam sebagai pelengkap hidangan.
Apa itu ulam-ulaman?
Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.
Di Malaysia, lebih daripada 120 jenis tumbuhan boleh dimakan sebagai ulam-ulaman, daripada tumbuhan herba kecil dan melata, jenis semusim seperti pegaga, sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok-pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas, yang biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara.
Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terung juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Dalam erti kata lain, ulam-ulaman ini sama sahaja seperti salad dalam diet barat.
Berikut merupakan beberapa jenis ulam-ulaman yang popular:
1. Ulam Raja
Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat.
Menariknya dibandingkan dengan buah-buahan seperti strawberi, plum, oren, epal dan tomato, ulam raja mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi. Maka layaklah tumbuhan ini dikenali dengan nama ulam raja.
Ulam raja juga mempunyai kesan melindungi tulang yang dapat mengurangkan risiko osteoporosis, terutamanya bagi wanita menopaus.
2. Sambung Nyawa
Sambung nyawa atau dalam bahasa saintifiknya Gynura Procumbens didapati berpotensi mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah, menggalakkan kesuburan, selain mempunyai kesan antikanser, antimikrob, antioksidan dan antikeradangan.
Menariknya, kajian dalam haiwan menunjukkan ulam-ulaman ini mempunyai khasiat untuk menurunkan gula dalam darah pada haiwan yang diabetes, dan tidak pada haiwan yang normal.
3. Daun Selom
Daun selom atau nama saintifiknya Oenanthe javanica mempunyai kesan antidiabetik, antioksidan, antiradang, selain kesan melindungi hati dan memori.
Sayuran ini dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, lauk ikan sungai dan ikan kering. Ulam ini juga sesuai dibuat ‘urap’ iaitu campuran kelapa parut, cili api, gara, belacan yang ditumbuk halus dan digaul dengan daun selom.
4. Cekur
Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia Galanga Linn mempunyai kesan antiradang, tahan sakit, anticacing, antioksidan, antimikrob dan antihipertensi.
Selain di makan sebagai ulam, daun cekur turut digunakan untuk merawat bengkak, pening kepala, sakit perut, sakit gigi dan reumatisme (radang dan sakit pada otot dan sendi).
5. Pegaga
Pegaga atau nama saintifiknya Cantella Asiatica merupakan tumbuhan yang sering dikaitkan dengan rahsia keremajaan dan awet muda.
Bukti saintifik juga telah menunjukkan bahawa ulam-ulaman ini mempunyai khasiat yang memudahkan pertumbuhan tisu penghubung seperti elastin dan kolagen, yang penting untuk penyembuhan luka.
Maka tidak hairanlah kini ekstrak pegaga digunakan dalam produk krim muka, dikenali sebagai cica cream yang boleh didapati daripada jenama-jenama produk terkenal.
6. Daun Kaduk
Daun kaduk atau nama saintifiknya Piper Sarmentosum, agak menyerupai daun sireh tetapi tumbuhan ini tidak tumbuh memanjat sebaliknya tumbuh di atas tanah.
Makan ulam kaduk yang mempunyai rasa agak payau dan sedikit pahit ini dikatakan mempunyai manfaat untuk masalah sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.
7. Petai
Petai merupakan ulam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Petai didapati mempunyai kesan antidiabetes, antimikrob, antioksidan, antihipertensi dan berpotensi menurunkan kandungan gula dalam darah.
Kandungan antioksidan yang tinggi dalam petai didapati pada bahagian biji dan pod tumbuhan ini.
Dalam perubatan tradisional Melayu, buah petai dipercayai berkesan dalam merawat penyakit jantung dan kencing manis selain membersihkan buah pinggang.
Digabungkan dengan serat, petai memberikan rangsangan tenaga yang cepat, berterusan dan mencukupi. Penyelidikan telah membuktikan bahawa dengan hanya dua hidangan petai menyediakan tenaga yang mencukupi untuk latihan berintensiti tinggi selama 90 minit.
Salah satu kesan sampingan utama ketika makan ulam petai adalah ia memberikan nafas yang agak berbau dan gas perut yang berbau. Ia mengandungi asid amino tertentu yang memberikan bau yang kuat kepada air kencing seseorang, kesan yang dapat dilihat sehingga dua hari selepas pengambilan dalam pemakanan.
8. Makan ulam jering
Selain petai, ulam lain dengan bau yang kuat ialah jering. Jering mempunyai kandungan asid amino yang unik, asid djenkolic yang mempunyai kesan antidiabetes.
Kajian dalam haiwan mendapati kesan positif pada kandungan gula dalam darah, selera makan dan berat badan haiwan yang diabetes dan normal.
Tetapi, dalam masa yang sama, pengambilan jering boleh menyebabkan masalah jantung, buah pinggang, hati, paru-paru dan pankreas pada haiwan normal. Oleh itu, pengambilan jering hendaklah secara terkawal.
Terdapat banyak lagi ulam-ulaman yang popular seperti rebung buluh, pucuk betik, kacang botol dan peria katak. Semuanya mempunyai pelbagai rasa yang berbeza untuk anda terokai.
Mengapa anda patut makan ulam?
Tahukah anda, sehingga kini, kebanyakan ulam-ulaman tidak ditanam secara komersial?
Ini bererti pelengkap hidangan ini kebanyakannya merupakan tumbuhan liar yang dipetik sendiri oleh penjual atau ditanam sendiri oleh pengguna tempatan.
Jadi, bayangkan sahaja khasiat makan ulam yang tumbuh dalam persekitaran semula jadinya, tanpa menggunakan racun serangga.
Ini juga bermakna kebanyakan tumbuh ini dapat bertahan daripada serangga perosak. Tanaman selom, contohnya, didapati tidak mempunyai sebarang penyakit dan serangga perosak yang direkodkan.
Selain itu, mengamalkan pengambilan ulam juga mencipta permintaan pasaran kepada hidangan yang kian ditelan zaman ini.
Apatah lagi, sesetengahnya merupakan spesis tumbuhan yang kian berkurang sepertimana dalam rekod International Union for Conservation of Nature.
Permintaan pasaran akan menggalakkan usaha penanam semula oleh petani tempatan walaupun sekadar kecil-kecilan.
Makan ulam juga selalu digandingkan dengan pencicah juga meningkatkan manfaat amalan pemakanan ini.
Pencicah seperti cincalok, budu, sambal belacan dan tempoyak semuanya dihasilkan melalui proses fermentasi, menghasilkan produk kaya dengan probiotik atau bakteria baik yang membantu sistem penghadaman badan.
Mungkin, bagi sesetengah ahli masyarakat, makan ulam dan pencicahnya dilihat sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Sementara pemakanan salad yang dipopularkan kulinari barat kelihatan lebih hipster dan moden.
Hidangan salad walaupun sihat, kadangkala ditambah sos dressing komersial siap yang penuh pengawet. Kebanyakan dressing salad dalam botol siap adalah tinggi dengan lemak tepu, garam dan gula tambahan.
Sedangkan ulam-ulaman bukan sahaja lebih segar kerana hasil tempatan, bahkan kebanyakan pencicahnya kaya dengan probiotik.
Oleh itu, mengapa anda perlu mencari sayuran yang diimport daripada luar dengan harga yang mahal, kandungan nutrien yang tidak setanding khasiat ulam-ulaman tempatan?
Jadi, mulakan inisiatif makan ulam ini daripada dapur rumah anda sendiri. Rajin-rajinlah mendapatkan bekalan ulam-ulaman yang penuh khasiat ini daripada pasar tani setempat.
Walaupun anda tidak biasa makan ulam, cubalah dahulu. Kerana dari mulut, pasti turun ke hati!
Kredit: Hello Doktor
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Mana Tak Sedih Bila Tak Dapat Bagi Apa-Apa Pada Isteri, Tapi Isteri Tak Kisah

Adat bila mendirikan rumah tangga, pada permulaanya serba-serbi kekurangan. Di awal perkahwinan pasangan suami isteri baru sahaja masuk fasa perkenalan, fasa baharu dalam kehidupan.
Banyak yang perlu dipelajari di awal perkahwinan. Sikap bertolak ansur, memahami sangat diperlukan pada saat-saat ini. Fasa ini juga dikenali sebagai fasa pertama dalam alam perkahwinan. Rata-rata pasti mengalami pengalaman yang sama yang dilalui oleh Encik Herman Sudil ini. Ikuti perkongsian beliau bagaimana mereka suami isteri daripada tiada apa-apa hinggalah berada di fasa yang selesa.
Kami tunang pada 07.07.07 dan sepatutnya berkahwin pada 08.08.08. Tetapi sebab saya jatuh miskin, tak cukup duit. Kami nikah pada 01.01.10 dengan majlis yang amat sederhana dan tiada honeymoon pun.
Walaupun majlis tak seberapa, kami tidak berhutang dengan sesiapa. Selepas majlis kami tiada bilik pengantin ataupun rumah nak balik so terpaksa sewa hotel murah di West Coast.
Saya amat sedih sebab tak mampu nak bagi apa-apa pada isteri saya tapi beliau tak kisah dan menerima saya seadanya.
Selepas sebulan nikah dan tumpang rumah kakak saya dua minggu dan rumah mertua dalam 2-3 minggu, kami jumpa sebuah rumah yang besar di Johor Bahru dengan harga yang murah untuk disewa.
Alhamdulillah, kami sewa rumah tu dalam 4 tahun sebelum membeli rumah sendiri hingga kini, (dah masuk tahun ke enam duduk rumah sendiri).
Awal waktu kami diirumah sewa hidup agak susah dan selalu kami beli barang di Tesco jam 10.30pm lagi 30 minit sebelum kedai tutup agar dapat harga makanan dan barang dapur yang offer.
Rumah kami kosong tiada satu furniture pun. Langsir pun takde hanya bantal dan selimut buat alas tidur dilantai aje. Alhamdulillah, walaupun serba kekurangan tapi kami bahagia.
Saya janji dengan isteri yang insyaAllah selagi kita usaha dan tidak tipu orang, Allah pasti akan bantu kita dan satu hari hidup kita akan selesa dan senang.
So untuk kaum lelaki yang bergelar suami, hargai pasangan hidup kita. Mereka menerima kita tatkala kita tiada apa-apa.
Mereka bersabar dalam kekurangan kita. Mereka doakan kejayaan kita siang & malam. Adil untuk kita memanjakan serta beri apa yang mereka idamkan bila kita dah selesa pula.
Sumber: Herman Sudil
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI