Sehebat Mana Kita Menjadi Ibu, Amalkan Doa Ini Demi Kebaikan Anak

Share

Dalam usaha kita membesarkan anak-anak sebenarnya penting doa ibu bapa. Keberkatan seorang anak itu adalah terletak pada seorang ibu dan ia sangat luar biasa. Walaupun anak itu dah besar, doa ibu tetap penting untuk anak meniti kehidupan yang baik.

Perkongsian dari seorang ibu, Wan Nur Syakira mengenai amalannya ini boleh dijadikan panduan untuk sama-sama membesarkan anak dengan sempurna.

Antara doa yang sering saya baca sepanjang menjadi ibu. Sehebat mana pun kita menjaga,
Tetap akhirnya Allah lah sebaik-baik penjaga.

Upaya dan pancaindera kita terhad. Di kala kita tak mampu menjaga mereka dengan upaya kita, kepada Allah lah, tawakal diletakkan. Khususnya bila mereka sudah besar, jauh dari kita.

Doa-doa ini selalu saya bacakan, ketika anak-anak baru sahaja tertidur sambil mengusap kepala mereka. Dan ketika itu juga, saya bisikkan harapan dan doa lain untuk mereka.

Dengan harapan ia bersemadi dalam minda separa sedar mereka.

Selain doa ini, saya bacakan juga surah al Kauthar dengan niat supaya Allah limpahkan kasih sayang dalam diri mereka untuk diberi pada dunia.

Surah Al Insyirah, niatkan moga mereka diterangkan hati dan dilapangkan dada supaya mudah dididik dan dijaga.

3 Qul, niatkan mereka dilindungi syaitan dan diteguhkan iman.

Surah al Fatihah, moga sentiasa mereka menjadi hamba yang bergantung pada Allah.

Ini ikhtiar saya. Surah lain juga boleh diamalkan. Saya percaya setiap surah ada istimewanya.

Moga Allah perkenankan ikhtiar ini. Hidup kita ini, biarlah sentiasa kita memohon pada Allah. Doa itu senjata.

Doa itu tanda kita mengakui kita lemah dan memerlukan Allah dalam hidup.

Moga Allah jadikan kita insan yang sentiasa berdoa. Moga Allah jagakan anak kita sentiasa dengan asbab doa kita yang tak putus buat mereka. Amin

Sumber: Wan Nur Syakira

Published by
Wan Amy