Kehamilan adalah pengalaman bermakna buat seorang wanita. Saat diri disahkan hamil ia menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Pastinya setiap pasangan mengharapkan bayi yang bakal lahir bukan sahaja cukup sifat, tetapi juga sihat fizikal dan mental.
Bagi memastikan kesihatan bayi terjamin, penjagaan dan pemakanan yang sempurna perlu dimulakan sejak dalam kandungan lagi.
Sebaik merancang memiliki cahaya mata, sepatutnya dah ambil asid folik tiga bulan sebelum kehamilan bagi memastikan bayi mendapat zat lengkap ketika dalam kandungan.
Ada kajian menunjukkan ibu yang tidak mendapat penjagaan dan rawatan sempurna semasa hamil berhadapan risiko tiga kali ganda melahirkan bayi kurang berat badan. Malah, menghadapi risiko kematian bayi lima kali ganda berbanding ibu yang mendapatkan penjagaan semasa mengandung dan menjaga pemakanan mereka.
Menerusi perkongsian dari Puan Farah Natasha Khamaruzaman yang telah menimang cahaya mata pertamanya pada 20 Jun lalu, pemakanan masa mengandung penting untuk lahirkan bayi yang sihat walaupun dirinya berdepan dengan masalah obesiti dan disahkan ada GDM.Ameena Fatimah Lahir pada 20/06/2019 seberat 4.06kg secara czer coz Sy Ibu obesiti soo lemak bnyak smpai doktor cari Ameena Fatimah Xjumpa dlm perut 😂& Sy GDM on insulin. Soo sy nak share apa yg amalkan ms preggy & Alhamdulillah Ameena Fatimah demam kuning just 3hr☺️& Alhamdulillah skali lg Ameena Fatimah tiada rekod masalah apa2 ms lahir seperti paru2, buah pinggang @ dll. Sebab Ibu yg ada GDM on insulin niee risiko dya effect pd Baby kann..Soo Sy just amalkan petua ibu sy
1. Air Barli Suam-Sy Amalkan air barli suam tanpa gula setiap mlm ye laaa kencing manis kann soo sweet2 niee kena cut. Coz Ms preggy badan sy sentiasa rs panas bahang gitu ye laa preggy kan…panas dya lain mcm sikit😁Soo bila sy amalkan Air Barli niee badan rs sejuk laa sikit…bnyak jgk khasiat Air barli niee bila sy amalkan ia dpt merawat kencing kotor, merendahkan kolestrol serta gula dlm badan & the best skali mencantikkan kulit bayi.Try laa amalkan best…
2. Susu-Sy just Minum Susu HL Marigold sedap. Susu HL nie sy ambik seminggu 3kali ja Ms brekfest ye laa Kencing manis xleh minum susu bnyak sgt sbb Gula dlm susu pow bnyak kann. Susu HL niee Ada Folic Acid skali soo salah satu vitamin utk baby ok.
3. Kapsul Minyak Ikan (Fish Oil)– Minyak ikan niee sy amalkan sejak awai2 preggy lg. Elok amalkan untuk perkembangan minda & menguatkan tulang anak. Alhamdulillah Ameena Fatimah lahir xdak apa2 alahan yg teruk. Klaw Mommy2 semua tgk org2 luaq negara diorg sll amalkan omega utk minda anak2. So this is the best thing Mommy2 kena ambik ms preggy. Try laa
4. Mineral water atau air kosong– Banyakkan minum Air kosong nie mmg Feveret sy. Sy xsuka Air2 manis tp sy dpt kencing manis ms preggy. Mybe sy suka mkn cake kot.
5. Air Kelapa– Air kelapa semua org taw kann. Soo sy amalkan air kelapa ms kandungan 7bulan smpai beranak. Bnyak jgk khasiat air kelapa nie Mommy2 msti taw kann.
Saiz besar atau kecil, berat atau ringan, putih atau gelap anak-anak kita memang ikut genetik ibu bapa. Tak semestinya ibu bapa saiz besar dapat anak besar kadang ada juga saiz kecil dan tak semestinya ibu bapa yang saiz kecil tak dapat anak saiz besar kan.
Apa-apa kita kena minta anak-anak kita sihat. Tapi apa yang saya nak share sini tentang pemakanan yang saya amalkan untuk beri khasiat & merawat baby dari dalam perut lagi. Ini apa yang saya amalkan untuk Ameena Fatimah. Mudah-mudahan dengan cara ikhtiar ni anak-anak kita lahir dengan sihat. Kebahagian kita bila dah jadi mommy ni, bila tengok anak-anak kita kuat, sihat & ceria selalu.
Ujian Apgar ialah ujian yang dilakukan bagi menentukan sama ada bayi baru lahir memerlukan bantuan perubatan seperti pernafasan selepas dilahirkan. 5 perkara ini mama papa perlu tahu.
Selepas dilahirkan keadaan bayi anda amat kecil dan seluruh tubuhnya diselaputi oleh bahan berminyak putih yang dikenali sebagai verniks. Sebaik dilahirkan dan disambut, bayi akan diperiksa oleh pakar pediatrik. Ujian yang dilakukan dikenali sebagai Apgar.
Terdapat beberapa kriteria akan diperiksa seperti tindak balas, aktiviti otot (tone muscle), pernafasan, degupan jantung dan warna kulit akan diperiksa.
Menurut Pakar Pediatrik Avisena Specialist Hospital, Dr Roliza Ibrahim, ujian Apgar dilakukan di peringkat awal untuk mengetahui sama ada bayi memerlukan pemeriksaan lanjut atau tidak. Dalam ujian Apgar, doctor akan membuat skor semasa melakukan pemeriksaan. Skor paling tinggi adalah 10 untuk lima jenis pemeriksaan.
SKOR APGAR KURANG 5 BAYI PERLU BANTUAN PERNAFASAN
Ujian Apgar akan menentukan sama ada bayi memerlukan rawatan oksigen atau bantuan pernafasan pada masa itu. Jika skor Apgar kurang daripada 5, mungkin bayi perlu diberi oksigen, bantuan pernafasan atau CPR. Jika skor lebih daripada 5, doktor hanya akan mengesat dan membersihkan bayi.
Bila skor rendah ia tidak semestinya menunjukkan bayi sakit. Ini kerana ada sesetengah ibu yang telah diberi ubat pelali beberapa jam sebelum bersalin. Jadi bayi akan sedikit sebayak terpengaruh daripada kesan ubat tersebut.
Doktor akan memberi ubat pada bayi, dan selepas itu dia akan menangis menandakan keadaannya tiada masalah.
Bayi yang lahir pramatang akan dijangkakan mendapat skor Apgar yang tidak tinggi.
“Bila buat ujian Apgar ia hanya memberi panduan sama ada perlukan tindakan ketika itu atau tidak tetapi tidak semestinya bayi itu tidak sihat dan akan menghadapi masalah kesihatan. Tetapi jika skor apgar terlalu rendah, doktor boleh agak sama adabayi boleh terus hidup atau tidak,” kata Dr Roliza.
#1. Warna kulit
Jika berwarna biru atau pucat, skor yang diperoleh 0. Jika biru di hujung kaki tangan tetapi badan berwarna merah jambu, skor adalah 1 dan jika keseluruhan badan berwarna merah jambu maka skornya adalah 2.
#2. Degupan jantung
Jika tiada degupan semasa skor Apgar dilakukan, doktor akan pegang pada tali pusat untuk periksa degupan, jika masih tiada maka skornya adalah 0. Sekiranya degupan perlahan iaitu kurang daripada 100 per minit, skor ialah 1 dan jika degupan jantung lebih daripada 100 per minit, skor ialah 2.
#3. Kadar pernafasan
Jika bayi keluar tidak bernafas, skor ialah 0. Ada bernafas tetapi perlahan, skornya 1 dan jika bayi terus menangis dan bernafas elok maka skornya 2.
#4. Tone muscle
Jika lembik, skornya 0. Sekiranya ada gerakan di hujung kaki tetapi badannya lembik, skor adalah 1. Jika keluar bayi menangis, kaki dan tangan bergerak aktif maka skor ialah 2.
#5. Tindak balas terhadap tiub
Bayi baru lahir dipenuhi air, jadi doktor akan menyedut hidung dan mulut menggunakan tiub suction. Jika bayi diam semasa disedut, skornya 0. Jika bayi menunjukkan mimik muka maka skornya 1. Jika semasa disedut, bayi batuk atau bersin maka skornya 2.
Jika jumlah skor Apgar keseluruhan bayi tiada masalah maka dia tidak memerlukan rawatan selanjutnya.
Setiap bayi pasti akan mengalami masalah kesihatan, tidak kiralah penyakit ringan mahupun berat. Antara penyakit lazim yang sering dialami oleh bayi adalah demam kuning atau jaundis, demam, kolik, dan batuk. Bayi jatuh sakit adalah perkara semula jadi dalam proses tumbesaran mereka. Walau bagaimanapun, masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ada di antaranya yang boleh membahayakan tumbesaran bayi dan mengancam nyawa.
Berikut adalah antara penyakit lazim yang sering dialami bayi:
Demam kuning
Menurut laman Myhealth, lebih 50% bayi akan mengalami masalah jaundis atau demam kuning pada minggu pertama selepas kelahiran mereka. Manakala lebih 80% bayi tidak cukup bulan akan menghidapi jaundis di antara lima hingga tujuh hari selepas kelahiran. Biasanya ia akan hilang dua bulan selepas kelahiran. Jaundis atau demam kuning sering dialami oleh bayi baru lahir dan ini cukup membimbangkan ibu bapa. Jaundis yang normal dialami oleh bayi baru lahir selepas dua atau tiga hari mereka dilahirkan, dan akan hilang selepas dua minggu.
Bagi yang mengalami demam kuning biasanya akan mendapat rawatan seperti di bawah:
Pemeriksaan untuk mengetahui sama ada bayi tersebut mengalami jaundis lazimnya dilakukan di dalam cahaya matahari atau di bawah lampu panjang putih. Doktor akan mengambil bacaan bilirubin bagi mengetahui tahapnya sama ada masih terkawal atau tidak. Jika dalam seminggu tahap bacaan meningkat iaitu catatan melebihi 340umo1/1 atau 21mg/dL, maka rawatan fototerapi perlu diberikan dan bayi perlu ditahan di hospital.
Bayi akan diletakkan di bawah cahaya lampu biru dengan keadaan hanya memakai lampin dan matanya ditutup. Cahaya ini berfungsi menukar bilirubin kepada biliverdin dan akan dibuang melalui air kencing.
Berikan susu ibu kerana susu ibu baik untuk menggalakkan usus dan membolehkan bilirubin dibuang menerusi najis.
Demam
Demam adalah gejala normal yang dihadapi oleh setiap bayi. Lazimnya, setiap ibu bapa pasti berpengalaman menjaga bayi yang demam. Meskipun begitu, ini bukan bermakna tiada cara untuk mengelakkan bayi daripada jangkitan demam atau merawatnya untuk cepat sembuh. Bagi meredakan demam bayi, anda boleh cuba kaedah tersebut:
Beri paracetamol atau ibuprofen mengikut berat dan umur bayi. Sebaiknya anda dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memberikan bayi ubat demam.
Letakkan pelekat suam pada dahi bayi untuk menurunkan suhu demamnya.
Beri bayi anda makan dan minum dengan kerap bagi mengelakkan dehidrasi. Bayi yang berusia 6 bulan ke bawah perlu diberikan susu ibu.
Pakaikan bayi pakaian daripada kain kapas yang nipis.
Kolik
Masalah kolik atau kembung perut adalah normal dan kerap berlaku pada bayi yang berumur kurang daripada enam bulan. Bayi yang mengalami kolik selalunya akan menangis berpanjangan tanpa henti dan meragam. Keadaan ini selalunya berlaku beberapa kali dalam seminggu. Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu risau kerana masalah kolik ini akan berkurangan apabila bayi makin membesar. Cara menangani masalah kolik bayi adalah:
Pemberian gripe water, mengandungi Dill Seed Oil yang dipercayai boleh melegakan simptom angin. Ubat ini hanya boleh digunakan untuk bayi berumur satu bulan ke atas.
Sapukan minyak bayi pada perut, paha, tapak kaki, pelipat tangan dan bahagian belakang pinggang bayi. Urutan lembut juga dapat membantu menghilangkan kembung perut.
Teknik dan penyusuan yang betul serta selesa membantu bayi menyusu tanpa menelan angin. Urut bayi sehingga sendawa setiap kali selepas penyusuan.
Sesetengah protein yang dalam pengambilan diet pemakanan ibu mungkin berada dalam susu ibu yang menyebabkan berlakunya kolik. Jadi ibu yang menyusukan bayi mungkin boleh menghindari pengambilan produk tenusu seperti susu lembu.
Batuk
Batuk secara teknikalnya bukanlah suatu penyakit, tetapi lebih kepada tindakan perlindungan yang berlaku apabila terdapat bendasing pada membran mukus sistem pernafasan. Bendasing yang ada termasuklah habuk, air liur, atau sesuatu yang bayi makan serta minum. Ketahui rawatan untuk mengubati dan mengelakkan batuk bayi.
-Hilangkan atau elakkan punca-punca batuk seperti habuk dan bulu haiwan.
-Pastikan peredaran udara di ruang kediaman anda berkualiti.
-Berikan bayi anda minuman untuk membuatkannya kekal hidrat.
-Bersihkan mukus dengan menggunakan penyedut hidung bagi membantu mukus keluar
daripada rongga hidung bayi anda. Bayi lebih mudah bernafas selepas mukus keluar.
-Sentiasa pastikan bayi anda mendapat preskripsi ubat yang betul sebelu
memberikannya sebarang ubat batuk.
Bagaimana demam kuning berlaku?
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – susu ibu penyebab demam kuning
Jaundis berlaku apabila bayi mempunyai kadar bilirubin yang tinggi dalam darah mereka. Bilirubin adalah pigmen kuning yang dihasilkan semasa pecahan sel darah merah yang telah tua.
Bilirubin kebiasaannya melalui hati yang memprosesnya untuk disingkirkan melalui usus. Walau bagaimanapun, dalam bayi yang baru lahir, hati selalunya belum cukup berkembang dan mungkin tidak dapat menyingkirkan bilirubin daripada darah. Apabila terlalu banyak bilirubin dalam darah, ia boleh menetap di kulit. Ini menyebabkan kulit dan mata kelihatan kuning.
Selain masalah menyingkirkan bilirubin melalui hati dengan berkesan, bayi juga tidak mempunyai pergerakan usus yang cukup kerap. Salah satu manfaat kolostrum atau susu pertama bayi ialah ia membantu membersihkan usus bayi anda. Walaupun kolostrum hanya sebanyak satu sudu teh, ‘susu pertama’ ini akan membantu bayi anda membuang air. Jadi, jika bayi anda dipastikan menyusu secukupnya, bayi anda akan menerima banyak kolostrum dan akan menyebabkan banyak pergerakan usus, yang akan membantu bilirubin disingkirkan dengan cepat.
Mitos jaundis
Antara mitos yang tidak boleh dipercayai bagi merawat jaundis bayi antaranya:
-Memberi bayi susu kambing
-Memberi air kepada bayi
-Memberi bayi jus anggur atau madu asli
-Pendedahan kepada cahaya matahari
-Menyapu herba tertentu pada kulit bayi
-Mengelakkan herba, halia dan kunyit yang terkandung dalam makanan ibu
-Berhenti menyusu badan sehari ke dua hari untuk mengurangkan jaundis penyusuan
-Susu ibu boleh menyebabkan bayi demam kuning?
-Jaundis atau kekuningan pada kulit dan mata adalah perkara biasa bagi bayi baru lahir.
Seperti yang dimaklumkan pada awal tadi, lebih daripada 50% bayi baru lahir mengalami demam kuning atau jaundis dalam masa beberapa hari selepas kelahiran. Kebiasaannya apabila bayi baru lahir didapati mengalami jaundis, doktor akan menyarankan agar bayi diberikan susu ibu dengan secukupnya. Tetapi dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, bayi mungkin mengalami demam kuning disebabkan susu ibu sendiri. Jadi, apakah sebenarnya kaitan antara demam kuning yang dialami bayi dengan susu ibu?
Susu ibu dan demam kuning
Terdapat dua jenis demam kuning yang berkaitan dengan penyusuan badan iaitu demam kuning susu ibu (breast milk demam kuning) dan demam kuning penyusuan susu ibu (breastfeeding demam kuning).Dalam kebanyakan hal, bayi anda mungkin mengalami demam kuning penyusuan susu ibu, iaitu disebabkan tidak menyusu dengan mencukupi. Dalam keadaan ini, anda akan disarankan untuk menyusukan bayi anda sekerap mungkin, agar lebih banyak bilirubin dibuang daripada badan bayi. Doktor anda mungkin akan menyarankan tip-tip berikut:
Sejurus selepas kelahiran, pegang bayi anda kulit ke kulit supaya menggalakkan bayi menekap di payudara. Letak bayi di dada sekerap mungkin.
Susukan bayi sejurus selepas kelahiran dan sekerap mungkin dalam beberapa hari pertama. Lebih kerap bayi menyusu, lebih kerap bayi akan membuang dan menyingkirkan bilirubin.
Pam susu anda untuk diberikan kepada bayi, jika perlu.
Jika bayi anda kerap mengantuk, pam susu kolostrum dan berikan menggunakan cawan atau sudu.
Hubungi konsultan laktasi untuk pemeriksaan teknik menyusu untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Ketahui isyarat lapar bayi anda dan segera bertindak balas! Jangan tunggu sampai bayi anda menangis untuk mula memberinya makan.
Pastikan anda menyusu sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam.
Jika bayi anda tidak bangun sendiri dalam tempoh 3 jam, kejutkan untuk menyusukannya.
Buka pakaian bayi anda dan biarkan lampin sahaja agar bayi terjaga sewaktu menyusu dan menyusu dengan betul.
Teruskan menyusu. Jangan memberikan air untuk menyingkirkan bilirubin.
Demam kuning susu ibu (breast milk demam kuning) pula adalah penyakit kuning dalam bayi yang berlaku seminggu selepas kelahiran. Keadaan ini sangat jarang berlaku dan dilaporkan terjadi dalam kurang daripada 3% bayi. Keadaan ini kadang-kadang boleh bertahan sehingga 12 minggu, tetapi jarang menyebabkan komplikasi pada bayi yang sihat dan menyusu baik.
Punca sebenar jaundis susu ibu tidak diketahui. Walau bagaimanapun, ia mungkin terkait dengan bahan dalam susu ibu yang menghalang protein tertentu dalam hati bayi daripada memecahkan bilirubin. Keadaan ini boleh diwarisi dalam keluarga.
Maklumat ini mungkin menimbulkan kerisauan bagi para ibu yang mengesyaki anak mereka mengalami jaundis susu ibu. Pun begitu, anda tidak boleh berhenti menyusu jika anda khawatir bayi anda mungkin mengalami demam kuning susu melainkan atas arahan doktor. Susu ibu adalah penting untuk kesihatan bayi anda. Ia membekalkan semua nutrien yang diperlukan dan melindungi bayi daripada penyakit dan jangkitan. American Academy of Pediatrics mengesyorkan bayi menyusu lapan hingga 12 kali sehari untuk enam bulan pertama kehidupan.
Simptom bahaya demam kuning
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – simptom
Walaupun penyakit jaundis merupakan satu masalah biasa yang sering dialami oleh kebanyakan bayi, tetapi ia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh. Ini kerana demam kuning boleh mendatangkan risiko kepada masalah kesihatan yang lain. Antara simptom yang perlu dilihat adalah:
-Kulit bayi kelihatan kuning terutama di kawasan paha atau kaki.
-Bayi tidak aktif, kurang menyusu atau kurang kencing (kurang enam kali sehari)
-Bayi asyik merengek, menangis dengan suara nyaring
-Najis bayi kelihatan kelabu pucat (najis bayi biasanya berwarna kuning)
-Bayi yang mendapat jaundis berterusan melebihi dua minggu perlu mendapat pemeriksaan segera kerana bayi mungkin mempunyai masalah berkaitan hati, kekurangan hormon tiroid (boleh menyebabkan kecacatan otak jika lewat dirawat) atau jangkitan kuman.
Apakah bacaan normal dan bahaya bagi demam kuning?
Bacaan normal demam kuning bayi: Tahap bilirubin yang mencapai lebih dari 85 umol/l (5 mg/dL). Tahap bilirubin yang terlebihi sedikit masih boleh dianggap demam kuning bayi yang dapat dikawal.
Bacaan kuning bayi yang memerlukan rawatan fototerapi: Tahap bilirubin melebihi 359 umol/l (21 mg/dL).
Rawatan fototerapi akan membantu bilirubin untuk bertukar menjadi biliverdin yang lebih mesra tubuh dan senang dibuang melalui najis. Pemberian susu yang secukupnya masih penting untuk menggalakkan penyingkiran biliverdin.
Bacaan demam kuning bayi yang tidak normal: Tahap bilirubin yang melebihi 428 umol/l (25 mg/dL) dan apabila tahan bilirubin gagal dikawal dengan rawatan fototerapi. Bayi anda akan terpaksa menjalani pemindahan darah dengan darah lain.
Faktor yang menyebabkan bacaan menjadi tidak normal
Terdapat beberapa faktor yang dipercayai menjadi punca kepada bacaan normal demam kuning bayi boleh bertukar kepada bacaan tidak normal. Antaranya:
-Ibu yang mempunyai darah jenis O.
-Ketidak serasian kumpulan darah antara ibu dan anak.
-Anak yang mempunyai kekurangan G6PD – Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak lebih daripada 5% bayi mengalami masalah ini.
-Anak yang mempunyai masalah tiroid.
-Bayi pramatang.
-Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.
Kaedah merawat jaundis
Fototerapi
Dirawat dengan terapi lampu khas biru (fototerapi) yang terbukti berkesan menurunkan kandungan bilirubin darah. Doktor hanya akan memutuskan rawatan fototerapi selepas rawatan lain tidak berjaya. Fungsi cahaya biru adalah untuk mengurangkan tahap bilirubin dalam badan bayi anda.
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – fototerapi
Kedua-dua mata bayi akan ditutup untuk melindunginya dari cahaya terang dan semasa sesi fototerapi, doktor dan jururawat akan memantau tahap bilirubin serta tanda-tanda kesihatan bayi anda. Tubuh bayi akan dibalikkan beberapa kali untuk memastikan semua bahagian tubuhnya terkena cahaya biru.
Jika bayi mengalami dehidrasi semasa terapi, dia akan diberikan cecair intravena. Apabila tahap bilirubin bayi anda turun, terapi akan dihentikan dan dianggap selesai. Jika bayi anda masih kelihatan kuning, hubungi doktor anda untuk mendapat rawatan segera.
Cahaya matahari
Bayi tidak boleh diletakkan di bawah sinaran matahari kerana cara ini tidak selamat dan boleh membahayakan kesihatan bayi. Cahaya matahari tidak sesuai untuk bayi dan boleh menyebabkan komplikasi seperti selaran matahari dan dehidrasi.
Susu kambing
Rawatan dengan susu kambing juga tidak sesuai dan tidak mempunyai bukti saintifik berkesan. Walaupun susu kambing itu baik, tetapi ia tidak sesuai untuk bayi di bawah usia 12 bulan kerana mengandungi protein yang tinggi menyebabkan peningkatan asid urik dan darah bayi berasid. Susu formula yang berasaskan susu kambing juga tidak sesuai kerana urea akan menjadi tinggi, folat menjadi rendah dan ia juga boleh menyebabkan alahan pada bayi.
Penyusuan
Penyusuan ibu mencukupi antara lapan hingga 12 kali mengurangkan kandungan bilirubin dalam darah bayi dan memastikan bayi sihat dan cukup zat makanan. Ini akan menggalakkan pencernaan supaya bilirubin dapat disingkirkan dari badan. Dapatkan bantuan dari pakar laktasi untuk memastikan bayi anda sedang melekap dengan betul. Jika susu ibu kurang, beri susu formula tambahan. Jika keadaan bayi anda bertambah teruk, ibu mungkin perlu berhenti menyusu selama 24 jam. Tapi jangan buang susu itu! Ibu masih boleh mengepam susu dan menyimpan susu itu untuk memastikan susu tetap lancar. Selepas 24 jam, ibu boleh sambung menyusukan anak lagi.
Pemberian makanan atau minuman lain
Pemberian cecair atau makanan selain susu ibu di bawah enam bulan tidak digalakkan kerana ia menyebabkan kemabukan air iaitu pencairan garam sodium dalam darah yang akhirnya boleh mencetuskan serangan sawan pada bayi. Makanan dan minuman selain susu ibu akan membuatkan bayi berasa kenyang dan kurang menyusu secara terus daripada payudara ibu. Tanpa permintaan, lama-kelamaan penghasilan susu ibu akan berkurangan.
Jaundis mudah dirawat, tetapi jika tahap jaundis tinggi boleh membawa komplikasi buruk seperti gangguan otak, masalah pembelajaran dan membahayakan nyawa bayi itu sendiri. Ibu yang mempunyai masalah penyusuan boleh mendapat bantuan nasihat doktor dan kumpulan sokongan penyusuan ibu. Segera dapatkan rawatan jika keadaan jaundis bayi berlarutan.
Ada tak anak anda yang suka duduk posisi W ketika menonton televisyen, bermain atau semasa makan. Jika ada, jangan dibiarkan. Lagi awal ibu bapa tegur, lagi mudah nak membiasakan anak duduk dengan cara yang betul.
Sekiranya dibiarkan apabila masuk umur 5 atau 6 tahun makin susah nak perbetulkan dan lama kelamaan akan menganggu postur badan anak ketika berjalan atau berdiri. Berikut perkongsian Dr Azila Kasim
Kisah 11 tahun lalu.. Doktor, boleh tolong periksa kenapa anak saya belum pandai berjalan? Umurnya dah 1 tahun 9 bulan..aku mengadu pada doktor pakar kanak-kanak.
Anak puan duduk macam mana? Lalu aku tunjukkan cara anak kedua ku duduk. Seperti dalam gambar.
Ooowh..jangan bagi anak duduk begini lagi ..sebaliknya ajar dan betulkan duduk bersila atau kaki melunjur kedepan sahaja.
Sejak daripada hari itu, aku betulkan posisi duduk anak..tak lama lepas tu dah pandai berjalan.
_______________________________________
Pernah tak nampak anak kalian duduk begini? Posisi begini dipanggil “W-Sitting”.
Bagaimana rupa W-Sitting?
Semasa kanak-kanak berada dalam posisi W-Sitting, bahagian bawahnya berada di antara kakinya, dan lututnya dibengkokkan dengan kaki dipusingkan dari badan – jika anda berdiri di atasnya dan melihat ke bawah, nampak seperti kakinya membentuk “W “.
Kalau ada, tolong betulkan kaki anak anda untuk duduk bersila atau lunjurkan kaki ke depan.
Mengapa kanak-kanak W-Sitting?
Dalam posisi ini, sokongan badan anak lebih lebar dan pusat graviti lebih rendah, memungkinkan peningkatan kestabilan melalui punggung dan badan.
Ini adalah kedudukan yang sesuai untuk bermain kerana anak-anak tidak perlu berusaha menjaga keseimbangan mereka sambil menumpukan perhatian pada mainan.
Mengapa W-Sitting bermasalah?
Kedudukan ini menghadkan putaran badan sehingga anak-anak tidak dapat mengalihkan berat badan ke kedua-dua sisi.
Duduk cara macam ni akan beri kesan pada kaki anak. Kedudukan posisi badan adalah salah. Bila dah terbiasa duduk macam ni, perlahan-lahan akan bagi kesan pada perkembangan pergerakkan anak kita.
Contoh macam berjalan, lompat atau berlari. Di antara kesan jangka panjang..ramai mengadu kaki mereka tak seimbang and tidak boleh duduk bersila lama sangat.
Keadaan kaki yang tertutup rapat ini membuatkan imbangan badan berkurangan lebih-lebih lagi semasa berjalan atau berdiri.
Antara simptom yang boleh diperhatikan adalah cara berjalan tidak normal yang dinamakan “pigeon toed” iaitu keadaan anak yang tidak dapat berjalan dengan kaki tegak dan tertutup.
Otot punggung dan kaki juga boleh menjadi pendek dan tegang yang boleh menyebabkan berjalan pigeon toed” / seperti “kaki merpati” berjalan dan sakit pelvis / belakang badan ketika mereka membesar.
Apa yang anda boleh bantu?
Galakkan cara lain untuk duduk di lantai: duduk sebelah (ke kedua sisi), duduk lama (kaki di hadapan), duduk pretzel, atau duduk di bangku atau bangku rendah.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kerjasama strategik antara RichWorks dan Astro bukan sekadar kolaborasi biasa lantaran bakal membuka lebih banyak peluang, akses kepada ilmu, inspirasi, dan bimbingan yang selama ini mungkin sukar dicapai.