Sejak Lahir Uwais Tak Pernah Balik Rumah. Masalah Jantung Berlubang & Sindrom Down

Share

Sejak dilahirkan sembilan bulan lalu, bayi lelaki yang diberi nama Uwais Razan Mat Saipon Nizar tidak pernah pulang ke rumah berjumpa ahli keluarga yang sudah lama menantinya di kediaman mereka di Kuah, Langkawi.

Sebaliknya anak bongsu daripada empat beradik itu terpaksa menjadi penghuni setia di hospital susulan disahkan mempunyai masalah jantung berlubang sebaik dilahirkan ke dunia ini pada 22 November 2018.

Menurut ibunya, Yuzera Norhanis Mohd Yusof, anak bongsunya itu dilahirkan secara pembedahan kecemasan selepas disedari kurang bergerak dan menyongsang pada minggu ke-37 dalam kandungan.

” Dengan berat hanya 1.58 kilogram, sebaik dilahirkan, doktor mendapati terdapat sedikit komplikasi ke atas anak saya, di mana paru-parunya didapati berkuman kerana telah termakan najisnya.

Selepas beberapa hari dirawat di NICU, doktor mendapati Uwais mempunyai simptom sindrom down sebelum ujian darah kromosom di ambil dan dibawa ke makmal di Hospital Universiti Sains Malaysia untuk diujikaji,”ujarnya.

Menurut Yuzera, selepas dua bulan ujian dilakukan, doktor mengesahkan Uwais sindrom down.“Pastinya berita itu merupakan satu tamparan buat saya sekeluarga sedangkan semasa ujian imbasan ketika proses kehamilan, doktor tidak menemui sebarang masalah.

Tipulah saya tidak sedih dan terkejut namun saya cuba berfikiran positif dan menganggap kami insan yang dipilih Allah mempunyai seorang anak istimewa,” katanya.

Lebih mengejutkan Yuzera berkata, doktor kemudian mendapati terdapat bunyi ‘mur..mur..’ dan disitu bermula episod baharu dalam kehidupannya selepas doktor mengesahkan bayi comelnya itu jantung berlubang.

“Oleh kerana perlu jagaan dan rawatan rapi kerana lubang pada jantung dan degupan jantungnya yang lemah, Uwais ditempatkan di NICU Hospital Langkawi untuk bantuan oksigen dan pemantauan rapi disamping turut dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk ujian-ujian tertentu.Selain Uwais, Yuzera dan suaminya Mat Saipon Nizar Zainon, 37, yang merupakan seorang guru turut mempunyai tiga anak berusia antara tujuh hingga 11 tahun.

Dalam pada itu, Yuzera, 34, berkata ketika usia Uwais enam bulan selepas beratnya mencecah 3 kilogram, Uwais telah diterbangkan ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan bagi menutup lubang pada jantungnya pada Mei lalu.

“Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Jun lalu, kami sekeluarga berada di hospital menemani Uwais namun suami dan anak-anak perlu kembali ke Langkawi untuk meneruskan sesi persekolahan dan bekerja” katanya.

Baimanapun, katanya selepas tiga bulan, luka pada tempat dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, selain Uwais turut menghadapi komplikasi lain termasuk masalah kuman dalam paru-paru menyebabkan bayi kecil itu terpaksa diberikan antibiotik dan bantuan oksigen untuk jangka masa yang panjang.

“Disebabkan suami dan tiga lagi anak yang masih bersekolah berada di Langkawi, sedangkan saya dan Uwais di Hospital Serdang dalam tempoh masa yang tidak dapat dijangka, doktor akhirnya membenarkan kami pulang ke Langkawi namun Uwais masih perlu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Bagaimanapun Yuzera yang merupakan suri rumah itu tidak pasti sampai bila perlu tinggal di hospital sedangkan anak-anak lain juga memerlukan perhatian dan jagaan.

Tambah Yuzera, doktor kini dalam perancangan untuk merujuk Uwais dengan pakar paru-paru susulan masalah jangkitan kuman yang masih belum pulih.

Perbelanjaan harian yang diperlukan juga tinggi termasuk kos untuk membeli susu, lampin pakai buang dan kos harian lain kerana suaminya juga menanggung anak-anak yang bersekolah.

“Saya juga perlu berulang alik ke rumah dan hospital malah mungkin kami perlu menyewa mesin oksigen sekiranya Uwais dibenarkan pulang ke rumah,”katanya.

Kepada mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan, bolehlah menyumbang ke akaun Maybank Yuzera Norhanis 164490043765.

Published by
Wan Amalia Mohd Daud