Sejak mengandung pelakon Anzalna Nasir mengakui, dia suka nampak cantik dan melaram walaupun hanya berada di rumah.
Anzalna, 31, yang kini dah memasuki trimester kedua dan mengandung enam bulan berkata, jika sebelum ini dia selesa tampil sederhana, namun sejak hamil, dia gemar bersiap, termasuk memakai bulu mata palsu dan kanta lekap.
“Saya suka tampil cantik tak kira sama ada di rumah ataupun bila keluar. Setiap kali menghadiri majlis, saya akan memakai bulu mata palsu dan kanta lekap. Memang berbeza dengan Anzalna yang dulu,” katanya ketika ditemuai pada majlis perlantikannya sebagai duta produk kesihatan NR di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ditanya mengenai jantina bayi yang bakal dilahirkan Jun ini, Anzalna enggan berkongsi mengenainya.
“Saya suka membuat kejutan dan seronok setiap kali melihat reaksi semua orang. Saya dan suami sepakat untuk merahsiakan dulu jantina bayi kami sehingga majlis doa selamat yang akan diadakan nanti.
“Keluarga juga tidak tahu. Lucu pula melihat gelagat mereka yang berteka-teki kerana masing-masing sudah tidak sabar mahu menerima ahli keluarga baru.
“Insya-Allah saya akan berkongsi jantina anak kami pada majlis doa selamat nanti,” katanya yang sentiasa berdoa agar urusan bersalinnya nanti dipermudahkan dan bayi juga sihat.