Bayi menjadi tumpuan ramai, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 15 bulan, yang sebelum ini disahkan menghidap ‘Germ Cell Tumor’ bukan sahaja semakin aktif bergerak, malah turut pandai melambai tangannya apabila disuruh serta bersosial dengan memberi senyuman.
Malah, berat badannya meningkat apabila kini mencecah 4.2 kilogram (kg) berbanding 3.7kg sebelum ini.
Menurut ayahnya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, selain aktif meneroka keadaan sekeliling anaknya itu peka dengan keadaan sekitar terutama apabila namanya dipanggil.
Katanya, apabila diajak berbual dan bergurau dia akan memberi reaksi balas dengan senyuman dan ketawa.
“Gelagat seperti menghisap ibu jari kakinya, malah ketawa dan senyum apabila kita bercakap dengannya membuat kami sekeluarga terhibur.
“Malah kini dia cuba untuk memusingkan badannya sendiri berbanding sebelum ini kita perlu menolaknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Awam Ayer Molek, Melaka.
Ahmad Safiuddin berkata, dia kini sering membawa anaknya itu berjumpa dengan keluarga terdekat bagi membiasakan Ainul Mardhiah bergaul dengan orang ramai.
“Walaupun tidak lama membawanya ke rumah saudara, tetapi kami tetap biasakan dan Alhamdulillah antibodinya kini semakin kuat.
“Malah hampir setiap petang kami akan membawa keluar bersiar-siar depan rumah untuk menghirup udara luar,” katanya.
Sementara itu, ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi, 24, berkata, anaknya itu kini menjalani fisioterapi setiap minggu untuk menguatkan bahagian badannya.
“Alhamdulillah, ini minggu keempat dia menjalani fisioterapi dan perubahan positif ditunjukkan malah juru terapi mengakuinya apabila dalam masa singkat Ainul sudah mampu mengawal pergerakan badannya.
“Tiada kata yang dapat digambarkan selain syukur dan gembira dengan perubahan Ainul kini,” katanya.
Menurut Erwani, anaknya itu kini sudah pandai menonton televisyen terutama kartun kanak- kanak.
Sumber: Metro