Tali pusat bayi memainkan peranan yang sangat penting sewaktu bayi di dalam kandungan. Tali pusat mula terbentuk pada usia janin lebih kurang 5 minggu dalam kandungan.
Tali pusat ini bersambung dengan ‘placenta’ atau uri dan memainkan peranan untuk menyalurkan darah yang kaya dengan nutrisi dan oksigen yang diperlukan oleh janin untuk terus hidup dan berkembang di dalam rahim si ibu. Darah yang telah ternyah-oksigen daripada bayi juga ‘dikembalikan’ kepada uri melalui tali pusat. Jadi tali pusat bolehlah dianggap seperti ‘talian hayat’ bagi bayi.
Apakah yang berlaku sewaktu kelahiran bayi?
✔️ Setelah bayi dilahirkan, tali pusat ini tidak lagi diperlukan. Beberapa ketika setelah bayi selamat dilahirkan, tali pusat yang bersambung dengan uri akan disepit menggunakan ‘cord clamp’ bagi mengelakkan darah daripada uri terus disalurkan kepada bayi. Jika tidak, ada kemungkinan terlalu banyak darah akan tersalur ke dalam sistem peredaran darah bayi yang boleh membawa pelbagai komplikasi. Tali pusat kemudian digunting supaya terpisah daripada uri. Bayi tidak merasa sakit sewaktu tali pusat ini digunting kerana tiada sistem saraf atau deria rasa pada tali pusat.
✔️ Adalah sangat penting tali pusat ini digunting dengan menggunakan alatan yang ‘steril’. Menggunakan alatan seperti pisau cukur atau gunting yang berkarat boleh menyebabkan jangkitan ‘tetanus’ yang merbahaya. Penyakit tetanus pada bayi sudah tidak dilihat dalam komuniti yang mengamalkan proses kelahiran bayi yang selamat. Namun masih ada juga kes-kes sebegini di negara kita iaitu jika kelahiran berlaku di luar dari fasiliti hospital / klinik.
✔️ Tali pusat yang ada pada bayi akan menjadi kering, berubah warna dan mengecut. Kebiasannya tali pusat yang telah kering itu akan jatuh dengan sendirinya dalam masa 2 minggu. Maka tinggallah struktur yang kita kenali sebagai ‘pusat’ pada permukaan perut bayi. Pusat ini pula mengambil masa antara 5 hingga 7 hari untuk kering sepenuhnya.
Bagaimana menjaga pusat bayi baru lahir ?
✅ Pastikan tali pusat dan kawasan di sekelilingnya berada dalam keadaan bersih dan kering. Lazimnya, ibu bapa akan dibekalkan dengan ‘alkohol’ atau bancuhan ‘antiseptik’ untuk mencuci pusat bayi. Namun, terdapat juga data yang menunjukkan bahawa mencuci tali pusat dengan air yang bersih diikuti dengan mengelap untuk mengeringkannya sudah memadai.
✅ Sewaktu mengenakan lampin atau ‘diapers’ , pastikan tali pusat bayi tidak terutup oleh lampin/diapers. Letakkan tali pusat itu di luar lampin supaya ia tidak terkena air kencing atau najis bayi. Ini akan membantu proses tali pusat untuk mengering.
✅ Tidak perlu meletakkan bedak atau ubat-ubatan tradisional pada pusat bayi yang mungkin menganggu proses semulajadi penanggalan tali pusat tersebut. Air bersih sudah memadai.
✅ Sewaktu tali pusat belum lagi tertanggal, memandikan bayi dengan cara mengelap menggunakan kain yang basah atau dengan menjirus lebih digalakkan daripada kaedah mandian yang menyebabkan tali pusat itu terendam lama dalam air. Tali pusat bolehlah dilap setelah bayi dimandikan.
✅ Jangan tarik tali pusat itu walaupun ia kelihatan akan tertanggal pada bila-bila masa sahaja lagi. Biarkanlah proses itu berlaku secara semulajadi.
✔️ kawasan sekeliling pusat kelihatan merah
terdapat nanah, darah atau bau yang kurang menyenangkan pada pusat
✔️ bayi demam, kurang aktif dan kurang menyusu
Sekiranya anda melihat tanda tanda mencurigakan pada pusat seperti yang dinyatakan di atas, bawalah bayi ke hospital dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.
Jangkitan pada pusat yang tidak dirawat boleh menyebabkan jangkitan darah yang merbahaya pada bayi.
Berjumpalah juga dengan pengamal perubatan sekiranya terdapat pendarahan pada tali pusat atau tali pusat masih belum tertanggal setelah bayi berusia 3 – 4 minggu.
Sumber: Klinik Dr Asmah