Mabuk ketika hamil menjadi satu masalah yang cukup besar atau berkemungkinan menjadi trauma bagi sesetengah wanita yang melaluinya. Tidak serik untuk melalui proses melahirkan anak tetapi serik dan terlalu takut melalui tempoh mabuk yang berpanjangan.
Tiga bulan dirasakan seperti melalui tempoh tiga tahun. Rata-rata ibu hamil yang mengalami masalah mabuk ini semakin takut untuk mencuba sesuatu makanan atau apa jua perkara yang dirasakan menjadi penyebab kepada masalah mabuk ini.
Tidak hanya alah dengan makanan, sesetengah wanita yang mengalami masalah mabuk ketika awal trimester kehamilan mengalami serangan atau symptom yang dirasakan kurang logik dan tidak mengetahui akan puncanya.
Menurut Doktor Norintan Zainal Shah daripada Hospital Colombia Asia, mabuk ketika hamil berlaku kerana adanya hormon kehamilan yang dipanggil sebagai human chorionic hormone atau HCG di dalam tubuh wanita tersebut. Hormon HCG ini dihasilkan oleh uri yang dikeluarkan oleh wanita hamil.
Hormon ini akan terus meningkat dari sehari ke sehari. Oleh sebab itulah, masalah mabuk, loya dan muntah turut menjadi semakin teruk setiap hari. Peningkatan kadar hormon inilah yang menyebabkan perkembangan mabuk menjadi semakin keterlaluan.
Rasa mabuk ini selalunya bermula ketika usia kehamilan 4 minggu dan menjadi semakin kritikal apabila kehamilan meningkat ke minggu yang ke 12 atau 13. Selepas minggu yang ke 13, tahap hormon HCG akan mula menurun dan rasa mabuk yang dialami juga turut berkurangan.
Pulihkan Keadaan Segera
Tidak ada ubat yang dapat memulihkan masalah mabuk ketika hamil dengan serta merta. Namun para ibu yang mengandung bolehlah cuba untuk melakukan beberapa perkara seperti yang disarankan.
*Mengambil makanan yang tidak memburukkan lagi keadaan misalnya seperti biskut kering, buah-buahan dan makanlah dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap. Jika tidak mampu minum minuman yang panas atau suam, cubalah minum minuman yang sejuk.
*Pastikan ibu tidur dengan kadar dan tempoh yang mencukupi. Jika perlu, dapatkan cuti untuk berehat dan berusahalah untuk aturkan supaya anak- anak yang lain dijaga oleh ahli keluarga yang lain sementara ibu tidur dan berehat secukupnya.
*Mengamalkan minuman atau makanan yang mempunyai perisa “peppermint” atau “halia” mungkin dapat membantu mengubah rasa dan mengimbangkan rasa loya pada tekak.
*Mengambil pil vitamin seperti Vitamin B1 ( thiamin ) atau B6 ( pyridoxine) yang boleh mengurangkan rasa mabuk ini.
*Ubat-ubatan dari doktor juga boleh digunakan, misalnya metoclopramide. Namun wanita hamil yang mengalami masalah ini perlulah mendapatkan preskripsi daripada doktor terlebih dahulu.
Mereka juga perlu mengetahui kesan sampingan seperti mengantuk, resah, sakit perut, susah bernafas dan pergerakan anggota badan yang tidak normal selepas sesuatu ubat itu diambil. Ia bagi mengelakkan ibu hamil tidak berasa risau akan satu-satu ubat yang mereka ambil.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI