
Peningkatan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan kerisauan pada ibu bapa. Memandangkan virus ini mudah merebak, anak yang dijangkiti harus dikuarantin sehingga benar-benar sembuh.
Namun yang menjadi masalahnya adalah kesan HFMD itu buatkan anak rasa tak selesa kerana biji air di tangan, kaki, sekitar mulut dan ulser di dalam mulut. Selain ubat yang diberikan doktor, mungkin petua ini juga boleh dicuba.
Menurut ibu ini, anaknya dijangkiti HFMD dan apabila mencuba petua yang dikongsikan memang berkesan dan dalam 2 hingga 3 hari sembuh.
Anak saya baru je baik. Seminggu kena. Dia jerit-jerit sakit tak boleh makan. Sebab jadi penuh dalam mulut. Mula-mula ingat kena demam campak. Tapi tak sangka kena HFMD.
Saya guna 100% rawatan tradisional cara orang India. Jiran kat rumah saya bagi petua ni. Alhamdulillah dah ok sangat-sangat. Sampai saya bawa pergi hospital swasta doktor pakar kanak-kanak pun puji. Dia cakap pandai saya jaga anak sampai jadi kering elok sakit dia tu.
Ni ada sedikit petua:
Pertama: Saya bagi anak saya makan ais krim vanila. Ais krim ni nak bagi luka dalam mulut reda. Cubalah! Memang sangat-sangat berkesan.
Kedua: Ambil sebesen air paip. Letakkan di bawah cahaya matahari (saya letak pukul 10.40pagi sampai pukul 1petang ). Masukkan serbuk kunyit satu sudu besar. Biarkan sampai air paip tadi panas-panas suam. Masukkan juga daun semambu ke dalam air tersebut.
Lepas tu bagi anak kita mandi guna air ni. Jangan bilas dengan air paip. Biarkan air kunyit dan daun semambu ni di badan anak. Jadikan penawar.
Ketiga: Ramaskan daun semambu@neem dengan bedak sejuk. Lumurkan ke tangan, kaki kat bahagian yang kena sakit ni. Jangan masukkan dalam mulut tau. Yang dalam mulut tu bagi makan ais krim vanila je.
Insyaallah, selepas 2-3 hari pasti akan hilang. Cubalah sebab saya sendiri dah alami. Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan.
Credit to owner
Ketahui fungsi carseat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ciri Awal Autisme Boleh Dikesan Sejak 18 Bulan Lagi. Tiada Eye Contact, Diam & ‘Mudah Dijaga’ Antara Tandanya

Tiada eye contact, tak kisah diangkat atau tidak & mudah dijaga, ia mungkin petanda Kecelaruan Spektrum Autisme. Tanda-tanda ini sebenarnya boleh dikesan seawal usia bayi 18 bulan lagi!
Kecelaruan Spektrum Autisme (Autism Spectrum Disorder-ASD) ialah gangguan perkembangan saraf yang kompleks dan dicirikan oleh kesulitan dalam interaksi sosial, komunikasi, dan perilaku terbatas, berulang-ulang dan karakter stereotaip.
BOLEH DIKESAN SEAWAL USIA 18 BULAN
Menurut Dr Juriza Bt Ismail, Pakar Pediatrik (Perkembangan Kanak-kanak) Child Development Centre & Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, ASD boleh dikesan seawal 18 bulan.
Antara tanda-tanda awal semasa bayi adalah tiada hubungan mata (eye contact) dengan penjaga dan orang lain, tidak menutur sebarang perkataan, tidak memberi reaksi apabila nama dipanggil atau apabila diagah, selalu disifatkan sebagai seorang bayi yang senang dijaga, diam dalam dunianya dan tidak kisah sekiranya diangkat atau tidak.
Menginjak ke usia dua tahun dan ke atas, mereka masih belum mampu bercakap dan tidak bercakap, tidak suka bermain dengan orang lain, tidak suka berinteraksi dan tiada hubungan mata ke mata dengan orang lain.
Ibu bapa tidak sepatutynya menunggu lama dan bertindak mendapatkan rawatan dan diagnosis doktor bagi memeriksa mereka sama ada ia disebabkan oleh masalah pendengaran atau ASD.
15 TANDA AUTISME PADA BAYI & KANAK-KANAK
Selain itu, anak autisme juga menunjukkan tanda-tanda seperti berikut;
1. Tidak mengukir senyum, tergelak atau menunjukkan ekspresi gembira atau suka ketika bayi berusia enam bulan.
2. Tiada hubungan mata atau hubungan mata yang terhad ketika bayi berusia enam bulan.
3. Tidak membuat bunyi, senyum atau ekspresi wajah ketika bayi berusia sembilan bulan.
4. Tidak mengagah ketika bayi berusia 12 bulan.
5. Tidak membuat gerak isyarat untuk berkomunikasi seperti melambai, mencapai ketika bayi berusia 12 bulan.
6. Tidak memberi tindak balas ketika namanya dipanggil ketika bayi berusia 12 bulan.
7. Tidak berceloteh ketika bayi berusia 16 bulan.
8. Tidak mengeluarkan perkataan ketika kanak-kanak berusia dua tahun.
9. Tidak suka berkongsi barang dengan orang lain.
10. Tidak bermain dengan orang lain atau bermain secara interaktif.
11. Tiada hubungan mata ke mata (eye contact) dengan orang lain.
12. Mengibaskan tangan.
13. Berjalan berjengket.
14. Mengulang perkataan atau frasa berulang-kali (echolalia).
15. Langsung tidak bercakap atau menunjukkan kemahiran sosial pada semua peringkat umur.
BERTINDAKLAH SEGERA
Ibu bapa yang memiliki anak autisme yang telah mendapat diagnosis doktor perlu bertindak segera. Anak autisme yang disahkan sama ada autisme ringan tidak boleh diambil mudah. Jangan mengambil masa yang lama dalam fasa menerima kenyataan (grieving).
Ibu bapa perlu bangkit dan kuat demi anak dengan segera tanpa berlengah. Kedua-dua ibu dan bapa perlu ambil peranan, komited dan jangan lepas tangan kepada satu pihak sahaja terutama sekali ketika menghadiri temujanji dengan pakar kerana informasi yang disampaikan amat penting dalam membawa hala tuju anak.
Setelah diagnosis, doktor akan menerangkan isu-isu yang dihadapi oleh anak dan bagaimana untuk membantu anak dalam menghadapi isu-isu ini.Cadangan juga akan diberikan tentang terapi-terapi yang diperlukan seperti terapi carakerja,terapi pertuturan dan terapi perlakuan.
IBU BAPA PERLU BANYAKKAN MEMBACA & DAPATKAN INFORMASI
Perbanyakkan pembacaan dan dapatkan ilmu mengenai ASD sebagai persediaan. Cari ilmu sebanyak mungkin tentang bagaimana untuk menguruskan anak yang autisme. Daripada pemerhatian Dr Juriza, anak-anak autisme yang ibu bapa mereka berilmu dan komited dalam proses rehabilitasi mereka akan menunjukkan kemajuan perubahan yang lebih positif.
Dapatkan informasi dan sokongan daripada persatuan-persatuan yang berkaitan seperti National Autism Society of Malaysia (NASOM) , Persatuan Autisme Muslim Malaysia dan kumpulan sokongan autisme di media sosial seperti pr4A dan lain-lain.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Susu Masih 2oz Walau Bayi Sudah 3 Bulan, Ini Tip Dari Pakar Laktasi Nak Hasilkan Susu Lebih Banyak!

Melihat hasil perahan susu buat pertama kalinya memang terasa perit. Bagi mendapatkan susu sekitar 2oz terasa cukup sukar. Apa lagi kala melihat kuantiti susu ibu lain yang cukup banyak. Makin buat ibu bertambah tertekan.
Menurut Kaunselor Laktasi bertauliah, Pn NoorFazila Abdul Rahman, yang juga merupakan salah seorang Malaysian Breastfeeding Peer Counselor, kejayaan menghasilkan 2 auns susu diperingkat awal boleh disifatkan sebagai satu kejayaan besar buat ibu.
Kunci utamanya adalah jangan pernah merasa tertekan dan membandingkan dengan ibu lain.
Suka saya katakan bahawa jumlah hasil perahan 2oz yang diperolehi ketika baru melahirkan anak itu bukanlah satu jumlah yang sedikit. Mungkin anda rasa ia jumlah yang sikit kerana membandingkan hasilnya dengan ibu lain yang mampu dapat lebih dari jumlah tersebut. Berapa banyak hasil perahan yang kita mampu dapat melalui sesi perahan sebenarnya langsung tidak menggambarkan jumlah susu yang badan kita mampu hasilkan.
Ini kerana, jumlah hasil perahan ini sebenarnya hanya menunjukkan kemampuan pam susu yang anda gunakan untuk mengeluarkan susu dari payudara anda. Sama juga halnya dengan jumlah hasil perahan yang anda dapat, ianya tidak menggambarkan jumlah yang sama dengan berapa yang anak perolehi bila menyusu terus.
Jumlah hasil perahan tidak boleh dijadikan indikator untuk menentukan sama ada anda ibu yang tidak mampu menghasilkan susu yang cukup untuk anak atau sebaliknya. Jika anak membesar dengan sihat, pembuangan air kecil dan besarnya normal setiap hari dan terdapat kenaikan berat badan setiap bulan, itu tanda yang badan anda telah menghasilkan susu yang cukup untuk anak. Jadi, saya harap anda tidak terus rasa kecewa dan beranggapan anda tidak mampu menghasilkan susu yang cukup untuk anak.
Ubat Minda & Elak Tertekan
Dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran susu, ramai ibu mengharapkan mereka dapat hasilkan susu yang banyak untuk anak, hakikatnya mengharapkan susu yang banyak hanya akan membuatkan mereka lebih tertekan dan mudah berputus asa.
Apa yang penting, pertama sekali anda boleh mula mengubah mindset dari mengharapkan susu yang ‘banyak’, adalah lebih baik anda setkan minda agar dapat menghasilkan susu yang ‘cukup’ untuk anak kerana sesungguhnya, untuk menjayakan penyusuan susu ibu, ibu tak perlu susu yang banyak yang penting cukup untuk anak.
Perkara paling penting yang anda perlu lakukan untuk memastikan bekalan susu sentiasa cukup untuk keperluan anak adalah dengan memastikan rutin penyusuan yang sepatutnya anda lakukan, dilakukan sebaiknya sebelum memikirkan makanan apa yang mampu membantu membanyakkan bekalan susu. Ini kerana, banyak atau tidak susu yang badan ibu hasilkan bukan bergantung pada apa yang ibu makan sebaliknya berapa kerap susu dikeluarkan dari badan.
Patuhi Rutin Penyusuan
Rutin penyusuan yang perlu dilakukan perlu mematuhi konsep asas penyusuan iaitu lebih banyak permintaan, lebih banyak susu yang akan dihasilkan. Apa yang dimaksudkan dengan konsep asas penyusuan ini adalah :-
1. Bila bersama dengan anak, anda boleh terus menyusu pada payudara sekerap 1-2 jam sekali. Lebih kerap rangsangan pada payudara, lebih tinggi paras hormon prolaktin dalam darah ibu, lebih banyak susu yang akan terhasil.
2. Apabila di tempat kerja, pentingnya menjaga jadual memerah susu. Pastikan jarak antara sesi perahan tidak lebih dari 3 jam. Ini penting bagi memastikan payudara terus mendapat rangsangan permintaan susu supaya badan terus menghasilkan susu walaupun tanpa kehadiran anak di sisi.
3. Penyusuan waktu malam juga dapat membantu meningkatkan bekalan susu, ini kerana paras hormon Prolaktin di dalam darah ibu dua kali ganda lebih tinggi di waktu malam. Jadi biasakan untuk mengejut anak menyusu 2 jam sekali sepanjang waktu malam.
4. Jika ada kelapangan masa, boleh ikhtiarkan dengan melakukan Power Pumping sehari sekali di awal pagi selama 2 minggu. Power pumping merupakan teknik mengepam yang seolah meniru gaya hisapan anak dan ia merupakan antara usaha untuk menaikkan paras hormon supaya badan terus menghasilkan lebih susu.
5. Selain itu, jika anda mengambil pil perancang pastikan ianya tidak mengganggu hormon penyusuan. Berbincanglah dengan doktor agar doktor memberi pil perancang yang tidak mengganggu produksi susu. Ini penting bagi memastikan bekalan susu yang sentiasa mencukupi untuk anak.
6. Selain itu, pastikan minum air kosong mencukupi mengikut keperluan badan. Ini kerana, hormon Oksitosin yang dirembes sewaktu aktiviti penyusuan berjalan membuatkan anda berasa dahaga, jadi minumlah air kosong mencukupi. Selain itu, air kosong juga membantu membawa oksigen yang cukup ke otak dan ini penting untuk memastikan anda entiasa bertenaga.
7. Sentiasa tenangkan diri. Amalkan zikir Ya Matin sepanjang sesi memerah atau waktu menyusukan anak. Elakkan berada dalam keadaan tertekan atau sedih kerana ia akan mengganggu penghasilan hormon Oksitosin. Seperti yang puan sedia maklum, hormon Oksitosin sangat penting kerana ia membantu mengeluarkan susu dan memastikan aliran susu lancar keluar dari payudara.
8. Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, minum susu sebagai sumber kalsium, makan lebih sayur-sayuran dan buah buahan kerana diet ibu menyusu perlulah berwarna warni dari bahan semulajadi. Jangan sesekali bazirkan wang membeli produk-produk yang dikatakan mampu membanyakkan susu ibu sedangkan bahan-bahan yang terkandung di dalamnya boleh diambil dalam bentuk semulajadi. Adalah lebih baik membelanjakan wang dengan membeli sayur-sayuran, buah-buahan dan sumber protien dan makanan berkhasiat yang lain.
9. Akhir sekali, jika anda telah lakukan semua yang disenaraikan di atas anda bolehlah mencuba makanan yang dikatakan boleh membantu membanyakkan susu ibu. Saya akui ada sesetengah makanan atau herba yang dikelaskan sebagai ‘Galactagogue’ dikatakan mampu membanyakkan susu ibu seperti lobak putih, oat, halba, jantung pisang dan sebagainya tapi ia bukan jaminan.
Saya harap apa yang saya kongsikan ini dapat memberi sedikit manfaat dan boleh dijadikan panduan dalam usaha anda meningkatkan penghasilan susu.
Memang hakikat perjalanan penyusuan agak sukar di peringkat awalnya tapi percayalah berkat kesungguhan pasti akan berjaya jika anda terus bersemangat dan komited dengan rutin penyusuan yang sebenar.
Menarik: Siapkan Mental Lebih Awal Bantu Penyusuan Lancar Selepas Bersalin, Pasti Sukses
KELAS ONLINE BREASTFEEDING PERCUMA dengan daftar Pa&Ma BF VIP Eksklusif member! Hanya RM20 sahaja. Daftar https://toko.ideaktiv.com/product/pama-bf-vip-eksklusif/
Mama jom rileks jap, klik link NI!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Seronoknya Dengar Tip Kembali Langsing Lepas Bersalin, Hanya Menyusukan Bayi, Tapi Benarkah?
Penyusuan susu ibu memberikan banyak faedah buat si ibu. Ini termasuklah potensi menurunkan berat badan dengan lebih cepat setelah melahirkan anak.
Malahan, bagi kebanyakan wanita yang menyusukan anak, perkara ini dilihat sesuatu yang mengujakan.
Sesungguhnya, masa yang diperlukan untuk mengurangkan berat badan selepas bersalin berbeza kepada setiap individu wanita.
Ramai ibu menyusu badan mengakui bahawa penyusuan eksklusif yang dilakukan membantu mereka mendapatkan kembali berat badan sebelum mengandung dengan lebih cepat.
Pun begitu, tidak dinafikan terdapat juga ibu lain tidak menyedari kesan tersebut atau lebih kepada menambah berat badan semasa menyusu.
Jadi adakah benar penyusuan susu ibu boleh membantu menurunkan berat badan atau ia sekadar mitos semata-mata?
Jika ya, bagaimana ia terjadi?
Bagaimana penyusuan badan membantu menurunkan berat badan?
Tanggapan penyusuan eksklusif sebagai kaedah semula jadi bagi membantu ibu selepas bersalin untuk kehilangan berat badan adalah satu situasi biasa.
Antara faktor berkemungkinan yang membantu adalah kerana ibu menyusu membakar lebih banyak kalori setiap hari.
Berdasarkan penyelidikan, dikatakan ibu yang menyusu secara eksklusif cenderung membakar lebih kurang 500 kalori tambahan setiap hari.
Keadaan ini setara dengan menyingkirkan saiz hidangan kecil, snek bersaiz besar ataupun melakukan latihan fizikal intensiti sederhana 45-60 minit.
Di samping itu, kebanyakan ibu mengamalkan penyusuan badan mungkin juga lebih peka dengan apa yang mereka makan.
Secara tidak langsung, ia turut menyumbang kepada penurunan berat badan melalui pengambilan makanan diproses yang lebih rendah dan pengambilan dalam kuantiti banyak bagi protein tanpa lemak, buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin serta kekacang.
Gabungan pemakanan dan penyusuan susu ibu
Kedua-dua faktor ini dapat menjelaskan mengapa hasil kajian secara konsisten menunjukkan bahawa wanita mengamalkan penyusuan susu cenderung dapat menurunkan berat badan lebih cepat berbanding mereka yang tidak.
Sebagai contoh, dalam satu kajian melibatkan wanita yang menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 bulan, mereka berjaya menghilangkan berat 1.5 kilogram (kg) lebih banyak.
Situasi tersebut melibatkan perbandingan dengan ibu yang memberikan anak susu formula atau gabungan susu badan bersama susu formula.
Ini bermakna, semakin lama penyusuan susu ibu dilakukan, semakin kuat kesan penurunan berat akan dapat dilihat.
Wanita yang menyusukan anak juga dikatakan 6% lebih cenderung untuk kembali atau kehilangan berat badan sebelum kehamilan berbanding wanita yang tidak menyusu secara eksklusif.
Kajian sokongan lain
Penyelidikan lain juga melaporkan keputusan yang serupa.
Ia bukan sekadar menurunkan berat badan, bahkan, ibu yang menyusukan anak juga dapat mencapai berat badan sebelum kehamilan lebih kurang 6 bulan lebih awal daripada mereka yang memberikan si manja susu formula.
Penyusuan susu ibu juga boleh memberi kesan jangka panjang yang positif pada berat badan anda.
Dalam satu kajian, wanita yang menyusu anak selama 6-12 bulan mempunyai peratusan lemak badan keseluruhan lebih rendah untuk 5 tahun selepas bersalin.
Penyelidikan lain turut mendapati bahawa wanita yang menyusu badan secara eksklusif selama lebih dari 12 minggu selepas bersalin adalah 3.4 kg lebih ringan dalam tempoh 10 tahun selepas kehamilan.
Ibu-ibu ini juga dapat mengekalkan berat badan 2.6 kg lebih ringan berbanding mereka yang menyusukan anak kurang daripada tempoh 12 minggu.
Hasil dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kedua-dua jangka masa dan kekerapan penyusuan susu ibu dapat mempengaruhi peratusan dan jumlah penurunan berat badan selepas bersalin.
Mengapa berat tak turun walaupun menyusu badan?
Menurunkan berat badan semasa menyusu mungkin tidak mudah bagi semua ibu selepas melahirkan anak.
Secara teorinya, kehilangan 500 kalori setiap hari dapat membantu ibu menyusu badan kehilangan sekitar 0.45 kg seminggu. Ia bersamaan dengan jumlah lebih kurang 1.8 kg sebulan.
Oleh itu, ibu menyusukan anak yang naik berat antara 11.5 hingga 16 kg semasa mengandung boleh mengurangkan berat tersebut dalam tempoh 6 hingga 8 bulan pertama selepas bersalin.
Walau bagaimanapun, banyak ibu mengambil masa lebih lama daripada tempoh ini untuk menyingkirkan berat badan ketika mereka mengandung.
Malahan, kajian turut menyatakan kebanyakan wanita dapat mengurangkan 86% berat semasa mengandung dalam tempoh 6 bulan pertama setelah melahirkan anak.
Terdapat juga beberapa kajian mendapati tidak ada perbezaan sama sekali dalam aspek pengurangan berat badan antara ibu yang menyusu dengan yang tidak.
Wujud beberapa sebab mengapa sesetengah wanita mengalami kesukaran untuk menurunkan berat badan ketika menyusukan bayi.
Salah satunya kerana proses penyusuan badan cenderung meningkatkan rasa lapar.
Kajian menunjukkan bahawa sebilangan wanita akan makan lebih banyak dan kurang bergerak ketika menyusu.
Kebanyakan ibu baru juga cenderung mengalami waktu tidur yang tidak teratur dan terganggu.
Kurang tidur adalah faktor lain yang diketahui boleh menyebabkan peningkatan rasa lapar dan selera makan – kedua-duanya mungkin menyukarkan lagi penurunan berat badan.
Bukan sekadar untuk menurunkan berat badan
Apa yang boleh disimpulkan, penyusuan susu ibu sememangnya boleh membantu menurunkan berat badan selepas bersalin walaupun tidak semua ibu menyusu mendapat kesan yang sama.
Walau bagaimanapun, perkara paling penting adalah untuk sentiasa ingat penyusuan susu badan dilakukan bukan semata-mata mengurangkan berat tetapi juga untuk membekalkan nutrisi yang diperlukan si manja.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI