Pada enam bulan pertama kehidupan bayi, mereka sudah belajar banyak perkara dari keadaan sekeliling. Bermula daripada kerdipan mata, senyuman pertama, sehingga kemampuan meniarap dan bergolek, bayi anda berkembang menjadi personaliti yang baharu.
Tanpa anda sedari, masa begitu pantas berlalu sehinggakan bayi yang kecil dan hanya tidur sahaja dulu sudah semakin pandai memberikan tindak balas dengan apa yang ditunjukkan. Mari semak kembali kemahiran yang telah diteroka oleh bayi anda pada enam bulan pertama kehidupannya.
1. Mempelajari satu sama lain
Bayi baharu lahir tidak dapat memfokus objek melebihi 25 cm. Oleh itu dekatkan muka kepadanya apabila anda bercakap dan buat mimik muka dan senyuman. Hubungan mata ini membantu bayi belajar menunjukkan erti membina perhubungan kasih sayang dengan ahli keluarga yang rapat.
Ads
2. Belajar anggota badan
Beri bayi peluang mengetahui apa yang dapat dilakukan dengan kaki, tangan serta badannya. Dengan meniarap, dia menolak dirinya menggunakan tangan dan menendang keluar kakinya ke belakang. Bayi juga mungkin mengimbangi badannya di atas perut. Mengurutnya dengan lembut menggunakan minyak bayi akan mengajarnya tentang badan.
Ads
3. Mengenal objek dan bunyi
Sekiranya anda menunjukkan benda berwarna yang mengeluarkan bunyi, bayi akan menunjukkan minat dengan cara membesarkan matanya, menendangkan kaki dan tangan serta cuba mencapai objek tersebut. Dia juga akan cuba memegang objek yang ringan jika anda meletakkannya di dalam tangannya.
Ads
4. Bergolek
Ada bayi yang sudah boleh belajar bergolek pada masa ini. Pada awalnya dia bergolek dari hadapan ke belakang, kemudian dari belakang ke hadapan. Akhirnya dia akan cuba menggerakkan badannya. Jangan biarkan bayi anda bersendirian di atas katil kerana dia berisiko untuk jatuh.
Teruskan menyokong dan merangsang bayi anda supaya dia membesar sebagai anak yang sihat dan cerdas!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidur diketahui amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang cukup bukan sahaja akan berasa letih, tetapi juga akan membuatkan mereka hilang tumpuan.
Ni saya kongsikan tempoh masa tidur anak seperti yang disaran oleh United Kingdom National Health Service (NHS).
Umur seminggu
Siang : 8 jam
Malam : 8 jam 30 minit
Umur sebulan
Siang : 6-7 jam
Malam : 8-9 jam
Umur 3 bulan
Siang : 4-5 jam
Malam : 10-11 jam
Umur 6 bulan
Siang : 3 jam
Malam : 11 jam
Umur 12 bulan
Siang : 2 jam 30 minit
Malam : 11 jam
Begitu juga dengan tidur siang, ia sama pentingnya dengan tidur malam. Teruskan membaca artikel ini bagi mengetahui manfaat tidur siang dan mengapa ianya penting untuk kanak-kanak.
Mengapa tidur siang penting?
Bukan orang dewasa sahaja memerlukan tidur siang, tetapi kanak-kanak juga amat memerlukannya. Tidur siang atau meridap merupakan kunci untuk memastikan kanak-kanak mendapat rehat yang sepatutnya diperlukan oleh mereka setiap hari. Bukan itu sahaja, manfaat tidur siang juga adalah untuk pembangunan fizikal dan mental di alam kanak-kanak.
Manfaat tidur siang
Terdapat beberapa manfaat tidur siang atau meridap. Antaranya adalah:
Membantu anak belajar- Satu kajian ke atas kanak-kanak prasekolah mendapati bahawa tidur siang dapat membantu mereka melakukan lebih baik ketika bermain mainan yang melibatkan memori.
Kanak-kanak kekal cergas- Beberapa kajian mendapati kanak-kanak cenderung untuk makan lebih banyak, terutama makanan yang tidak sihat, apabila mereka tidak mendapat tidur yang cukup. Justeru, ia membuatkan mereka cenderung mendapat obesiti. Kanak-kanak yang cepat letih juga tiada cukup tenaga untuk bergerak aktif dan bersenam.
Mood lebih baik jika tidur cukup- Anak yang tidak cukup tidur akan menunjukkan tantrum dan meragam. Malahan, ada kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang melangkau meridap akan kurang gembira dan menunjukkan reaksi yang teruk pada kejadian yang mengecewakan.
Bila perlu melangkau tidur siang?
Keputusan untuk melangkau meridap boleh dibuat berdasarkan tingkah laku kanak-kanak dan jumlah tidur malam mereka. Berikut adalah keadaan bila ibu bapa boleh melangkau anak tidur pada waktu siang:
-Jika anak anda mudah terlelap di malam hari.
-Anak nampak cukup rehat pada siang hari.
-Kanak-kanak jarang tertidur semasa dalam kereta ataupun ketika menonton TV.
-Tidur siang adalah perlu untuk setiap bayi dan kanak-kanak, tetapi ibu bapa juga perlu tahu akan keperluan tidur siang mengikut peringkat usia anak mereka. Jika anda dapati anak kerap letih dan seperti tidak cukup tidur, maka mungkin anda perlu mengajar anak untuk tidur siang.
Bila dah gunakan botol susu pastilah ia perlu dicuci dengan betul sehingga bersih. Betul tak? Persoalannya ramai yang tak sedar walaupun botol susu kelihatan bersih namun kuman di berus botol masih ada.
Ini antara yang ramai ibu bapa terlepas pandang. Kebanyakannya menganggap apabila dah membersihkan botol susu semuanya dah selamat. Tapi hakikat di sebaliknya ramai tak tahu.
Kadang-kadang bila anak sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah kita akan anggap puncanya sebab salah makan.
Jadi lepas ni bila dah tau pencuci botol susu salah satu tempat kuman membiak pastikan lebih peka.
Berikut perkongsian dari Mohd Fhais mengenai hal ini.
Tersentak saya bila baca posting Dr. Saidatul Husna berkenaan span basuh pinggan yang boleh jadi ‘silent killer’ pada mak ayah kita terutama yang ada kencing manis.
Bahaya betul !
Lepas baca post tersebut terus terlintas di kepala,
“Pencuci botol susu anak pun guna span juga”
Kadang-kadang tu basuh botol anak susunya dah basi, kerak susu melekat di puting, walaupun basuh sehingga bersih di mata tapi mata kita mana boleh nampak kuman.
Mana nampak kalau kuman dari susu basi tadi melekat pada span, kerak susu yang di sental pada puting tadi pun boleh terselit dalam span.
Dah dekat 6-7 bulan pencuci botol ni tak di ganti.. Syukur alhamdulillah Allah masih lindungi anak-anak saya.
Secara logiknya span tu memang dah terkumpul banyak kuman berbahaya terutamanya Escherichia Coli (E-Coli). Masa basuh botol tanpa sedar kuman ini boleh melekat semula pada botol.
Kita tak nampak ni !
Kesian anak kecil boleh jadi loya, deman, muntah dan cirit birit kalau kuman E-Coli ni menyerang perut mereka.
Memang bernasib baik betul tak jadi apa-apa pada anak selama ni. Kena tukar sebelum terjadi apa-apa, menyesal tak guna nanti.
Di rumah tiada pencuci lebih jadi sementara nak pergi beli yang baru saya ambil langkah-langkah pencegahan ini yang Dr. Saidatul kongsikan.
Rendam/rebus span dengan air panas selama 5 minit.
Boleh juga hangatkan di dalam microwave pada suhu terpanas selama 2 minit.
Nota (ini hasil carian di google):
Suhu kepanasan untuk membunuh kuman di sarankan pada 100 darjah celsius dan ke atas.
Ini langkah pencegahan sementara sahaja. Seelok-eloknya 3 minggu sekali tukar yang baru.
Kalau berkaitan kesihatan anak-anak ni ibubapa kena selalu sangka buruk jangan melengah, sebab bila dah berlaku sesuatu nanti sangat buruk akibatkan pada anak dan diri ibubapa sendiri.
P/s : Tolong saya sampaikan pesanan penting ini pada ibubapa di luar sana yang masih ada anak menyusu guna botol supaya mereka lebih prihatin dengan bahaya kuman ni.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mama dan papa wajib tahu mengenai cara betul penjagaan bayi baru lahir. Terutama sekali yang bakal menyambut cahaya mata pertama. Memanglah akan rasa kekok pada mulanya, lama-kelamaan anda akan terbiasa.
Sesungguhnya untuk melakukan penjagaan bayi yang baru lahir bukan sesuatu yang mudah kerana badannya masih kecil, kulit yang sensitif, risiko mengalami perut kembung dan tangisannya yang membuatkan anda cemas. Jangan bimbang, ada menyediakan enam panduan asas penjagaan bayi yang mesti anda tahu untuk memastikan bayi anda membesar dengan sihat, segar dan selamat.
1.MEMEGANG BAYI BARU LAHIR
-Sentiasa menyokong bahagian bahu dan kepala bayi.
-Pegang kepala bayi apabila anda mendukungnya dan sokong kepala apabila hendak mengangkat atau membaringkannya.
–Jangan goncang bayi walaupun sedang bermain dan menangis. Jika terlalu kuat akan mengakibatkan Sindrom Goncang Bayi (Shaken Baby Syndrom) iaitu pendarahan dalam otak dan risiko kematian. Jika mahu mengejutkan bayi, jangan goncangkan badannya, sebaliknya sentuh perlahan bahagian mulut dan bukakan bedungnya supaya dia tersedar dari tidur.
2.SENTUHAN
-Sentuhan adalah aspek penjagaan untuk bayi yang amat penting untuk satu jam pertama dan selepas kelahirannya. Sentuhan ini mampu memberi kesan emosi yang menenangkan bayi anda.
-Mulakan sentuhan dengan memegang tangan, mengusap badannya dan kepalanya. Biar dalam dakapan anda bagi menggalakkan sentuhan kulit ke kulit.
-Kajian mendapati sentuhan secara urutan membantu bayi membesar. Dapatkan panduan cara urutan yang betul untuk bayi kerana kulit sensitif dan tulang bayi masih tidak kuat seperti orang dewasa.
Bayi selalunya menangis disebabkan lapar, lampin basah, mengantuk, kembung perut dan memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya (seperti merasa sakit atau kerana tidak sihat). mereka juga menangis hanya kerana ingin dipegang, didukung, dibelai atau diberi perhatian.
3.MEMAKAI LAMPIN
-Apa jua pilihan sama ada menggunakan lampin pakai buang atau lampin kain moden, pastikan ia sesuai dengan kulit bayi.
-Semasa memakai lampin anda perlukan perkara seperti berikut:
Lampin yang bersih
Ubat anti ruam (jika bayi alami ruam)
Bekas berisi air suam
Bebola kapas
Minyak anti kolik (untuk mengelak perut bayi kembung)
Kain bersih untuk mengelap
Jika ruam lampin berlaku, ia biasanya terdapat kesan merah pada bahagian kulit bayi. Jadi mandi menggunakan air suam, sapu dengan sedikit krim anti ruam dan kerapkan menukar lampin. Pastikan juga punggungnya sentiasa kering.
4.MEMANDIKAN BAYI
-Bagi bayi yang baru lahir, cukup memandikan bayi dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Ketika memandikan bayi pastikan udara bilik tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.
-Tanggalkan baju dan lampin, kemudian lap muka bayi dan bersihkan hidung dan telinganya. Seterusnya cuci bahagian badannya terlebih dahulu kemudian barulah beralih kepada kepalanya dengan air bersih. Jika perlu, gunakan syampu bayi.
– Gunakan kapas bagi membersihkan bahagian yang berlipat seperti belakang telinga, bawah ketiak, keliling leher, betis, tangan dan bahagian sulitnya.
-Bagi bayi baru lahir yang masih belum tanggal tali pusat, sapu bahagian itu menggunakan sedikit cecair pembersih alkohol setiap kali menukar lampin atau selepas mandi sehinggalah tali pusat gugur dengan sendirinya.
5.MENYUSUKAN DAN SENDAWAKAN BAYI
-Penyusuan susu ibu amat penting untuk bayi membesar dengan sihat. Secara umumnya bayi akan menunjukkan reaksi menangis, memasukkan jari dalam mulut atau membuat bising jika lapar.
-Bayi baru lahir akan menyusu susu ibu setiap dua atau tiga jam sekali dengan jangka masa 10 hingga 20 minit untuk setiap kali penyusuan.
–Selepas menyusu bayi perlu disendawakan untuk mengelakkan perut kembung. Ini kerana bayi yang menyusu akan membawa bersama udara ke dalam badannya yang membuatkan bayi berasa tidak selesa. Jadi selepas penyusuan, sendawakan bayi anda.
Teknik untuk sendawakan bayi
CARA 1
Pegang bayi dan sandarkan kepala bayi pada bahu anda. Sokong bahagian belakangnya sambil mengusap dengan lembut belakangnya.
CARA 2
Dudukkan bayi pada riba anda dan pegang dada dan kepalanya dengan sebelah tangan. Kemudian usap secara lembut bahagian belakangnya.
CARA 3
Tiarapkan bayi di atas paha anda dan usapkan bahagian belakangnya. Jika bayi masih belum sendawa selepas beberapa minit, cuba beberapa teknik ini sehingga 10 hingga 15 minit. Pastikan dia sendawa untuk mengelakkan kembung perut.
6.MENIDURKAN BAYI
-Tempoh masa tidur bagi bayi yang baru lahir ialah sehingga 16 jam sehari atau lebih. Bayi yang lahir biasanya akan tidur tiga hingga empat dalam satu masa. Jika bayi tidak tersedar dalam tempoh itu, bangunkan bayi untuk menyusu. Ia untuk mengelak perut bayi masuk angin.
-Semasa tidur terutama waktu malam, alihkan posisi kepala bayi iaitu mula ke kanan , kemudian ke kiri dan seterusnya. Ia untuk mengelak kepala bayi leper sebelah.
-Semasa bayi tidur, sentiasa periksa keadaannya untuk memastikan bayi tidur dalam keadaan selamat. Ia juga untuk mengelak risiko sindrom kematian mengejut.
-Jika bayi baru habis menyusu, masih belum sendawa dan terus tertidur, jangan tinggalkan bayi terus tidur sendirian. Tunggu seketika kerana bayi mungkin berisiko memuntahkan susu kembali.
Tahukan anda
Bayi biasanya akan kehilangan lima hingga tujuh peratus berat badan asal beberapa hari selepas dilahirkan. Kehilangan berat badan berpunca daripada kehilangan air dan proses penyesuaian bayi terhadap persekitaran yang baru. Penambahan berat badan akan berlaku selepas beberapa hari apabila bayi mula menyusu susu ibu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!