Bapa mana yang tidak merasa teruja untuk menyambut kelahiran anak sulungnya. Lebih-lebih lagi setelah menanti hampir 10 tahun.
Penyanyi, Azmi Caliph Buskers juga mengakui rasa teruja yang sama malah menyifatkan ia sebagai bakal hadiah ulang tahun kelahirannya yang paling bermakna dalam hidupnya.
Kata Azmi menerusi perkongsiannya di Instagram, anak sulungnya itu bakal lahir dua minggu lagi, iaitu pada tarikh ulang tahun kelahirannya kelak.
Baru sahaja menjalani pemeriksaan bulanan, Azmi memaklumkan isterinya itu bakal melalui pembedahan ketika melahirkan kelak, selepas disarankan oleh doktor yang merawatnya.
“Antara doa isteri saya yang selalu saya aminkan adalah, “Moga satu hari saya juga berpeluang merasa macam mana rasanya melahirkan.”
“Alhamdulillah pagi tadi bertemu lagi dengan Doktor Dahlia di OHANA Specialist Hospital untuk pemeriksaan dan membuat keputusan tentang kaedah bersalin.
“Awalnya isteri memilih bersalin normal. Namun, Doktor Dahlia lebih menyarankan untuk isteri bersalin secara pembedahan bagi mengurangkan risiko pada keselamatan baby memandangkan kami sudah lebih 10 tahun menanti kehadiran cahayamata.
“Saya serahkan keputusan sepenuhnya pada isteri dan akhirnya isteri memilih untuk mengikut saranan doktor,” kata Azmi berkongsi.
Pilih 27 September sambut bayi
Malah kata Azmi lagi, hadiah terbesar dalam hidupnya ini pasti menjadi momen terindah dalam hidupnya dan isteri.
“Jika diizinkan Tuhan, tahun ini saya akan dapat hadiah hari ulang tahun kelahiran yang paling besar sepanjang hidup saya.
“Doktor beri kami ruang untuk memilih tarikh bersalin. Sepantas kilat saya pilih 27 September sebab itu tarikh birthday saya. Hehehe,” cerita Azmi lagi.
Dalam pada menunggu debaran, namun Azmi tidak lupa memanjatkan doa pada Yang Maha Esa agar proses kelahirannya isterinya itu nanti dipermudahkan Allah SWT. Malah Azmi juga berterima kasih pada peminat yang sentiasa mendoakannya dan isteri.
“Dah tak lama dah. 2 minggu sahaja lagi. Setakat ini urusan kami semuanya dipermudahkan. Langsung tak ada masalah dari kesihatan isteri dan Afnan.
“Saya yakin ini adalah kerana doa orang-orang yang sayangkan kami. Terima kasih. Moga Allah berikan kebaikan pada mereka dan kalian semua yang sentiasa mendoakan kebaikan buat kami.
“Moga Allah permudahkan urusan kita semua,” kongsi Azmi lagi yang bakal menamakan bayi sulungnya dengan nama Afnan.
Semoga urusan kelahiran baby Afnan dan isteri Azmi dipermudahkan kelak.