Selalu Berjanji Dengan Anak Tapi Tak Tepati Boleh Beri Kesan Buruk Pada Perkembangan Psikologi Anak

Share

Tanpa sedar ramai ibu ayah selalu berjanji dengan anak tapi kadangkala terlupa nak tepati. Rupanya perbuatan ini sangat tidak bagus kerana beri kesan buruk pada perkembangan psikologi anak.

Ibu ayah selalu menjanjikan sesuatu pada anak sama ada pergi ke suatu tempat atau membelikan barang kesukaan anak tapi selalu juga ibu ayah tidak sengaja atau sengaja memungkiri janji kerana ada keperluan atau alasan lain.

Mungkin kita beranggapan si kecil berusia 2 hingga 6 tahun tidak ingat dengan janji-janji yang diberikan sehingga kadangkala tanpa sengaja atau tidak kita melupakannya.

Namun sebenarnya anak tidak boleh melupakan begitu sahaja. Setiap hari dia akan menuntut apa yang dijanjikan supaya dapat dipenuhi segera. Walaupun permintaan tersebut telah berlalu beberapa minggu atau pun bulan, tetapi anak akan terus ingat dan menuntutnya.

Jangan main-main bila berjanji pada anak

Mengabaikan janji pada anak sebenarnya tidak bagus dan berisiko memberi kesan buruk pada perkembangan psikologi anak. Kenapa? Kerana setiap hari anak akan terus belajar dan meniru untuk membesar dan sudah tentu sumber terdekatnya belajar adalah dari kedua ibu bapa.

Oleh kerana ibu ayah adalah model contoh anak belajar banyak perkara, maka memungkiri janji akan menyebabkan anak susah untuk percaya dan menganggap janji yang diucapkan oleh ibu bapanya adalah bohong. Paling membimbangkan bila anak akan mencontohi perkara itu dan kerap berbohong walaupun dalam hal-hal kecil.

Sebagai ibu bapa kita sepatutnya menunjukkan contoh yang baik pada anak kerana anak akan meniru apa sahaja yang dilakukan oleh ibu bapa. Kalau kita selalu memungkiri janji pada anak, samalah macam kita mengajarnya perkara yang dusta. Maka tiada alasan untuk anda tidak menepati janji walaupun hanya pada anak yang masih kecil.

Namun sebagai manusia biasa kadangkala kita tak terlepas daripada mengalami masalah atau kesukaran untuk memenuhi janji tersebut. Maka sebaiknya kalau tak dapat memenuhi janji pada anak segeralah minta maaf padanya dan jelaskan alasannya. Anda boleh tukar kepada alternatif lain sebagai ganti pada janji yang tak boleh dikotakan.

Bila ibu bapa menepati janji pada anak secara tak langsung telah mengajar tentang kepercayaan dan menghormati orang lain. Sebaliknya jika dengan sengaja ibu ayah tidak menepati janji, maka anak akan hilang percaya pada anda dan paling teruk mengikut tingkah laku tersebut.

Sebaiknya elakkan daripada suka menabur janji pada anak. Bimbang kita tak dapat menepatinya tanpa alasan yang munasabah.

 

 

 

 

 

Published by
Hasnita Sawal