Tiada lagi celoteh ceria mak-mak di Suria FM! Pasti ramai yang akan merinduinya. Terkini, penyampai radio dan pengacara popular, Sharifah Shahirah atau lebih dikenali sebagai Kak Rara, mengumumkan pengundurannya dari stesen Suria FM selepas tujuh tahun menghiburkan pendengar.
Ads
Ads
Ads
Figura ceria yang sentiasa menceriakan pagi pendengar ini memilih untuk tidak menyambung kontraknya, yang akan tamat secara rasmi pada 15 Februari ini. Keputusan ini pastinya meninggalkan kesan buat peminat setianya yang sudah terbiasa dengan celoteh spontan dan humor segarnya di udara.
Menerusi kenyataan media Suria FM, Shahirah mengambil keputusan itu atas sebab ingin berehat selain memberi tumpuan kepada perkara berkaitan peribadi.
“Kami menghormati keputusan dibuat dan yakin Shahirah akan terus berjaya dalam apa juga bidang diceburinya,” katanya.
Suria FM menghargai khidmat cemerlang Shahirah sepanjang menjadi tonggak penting dalam stesen terbabit sepanjang dia bersama mereka.
“Kami amat menghargai segala usaha dan dedikasi beliau dalam menceriakan hari pendengar. Pihak Suria FM mengucapkan terima kasih kepada Shahirah atas kerjasama yang baik sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya.
Shahirah mula bertugas di Suria FM pada 2018 menerusi segmen Suria Pagi di Suria FM bersama Fizi Ali dan Zulin Aziz.
Kemudian, dia bertukar mengendalikan segmen Suria Petang bersama Chiwan dan Kai Hassan yang bersiaran pada pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon otai terkenal, Datuk Rosyam Nor, mencuri perhatian ramai apabila beliau berkongsi kisah menyayat hati yang menimpa cucu kesayangannya. Rosyam membuka cerita tentang kecuaian pengamal perubatan yang menyebabkan jari cucunya cacat kekal dan kini hidup dalam trauma.
Menerusi satu video di TikTok (Suhan Channel), Rosyam mendedahkan kisah sebenar yang menyebabkan cucunya kini berdepan dengan kesan trauma dan rasa rendah diri. Menurut Rosyam, insiden bermula apabila cucunya mengalami luka akibat terkena air panas dan dibawa ke sebuah hospital swasta. Namun, kecuaian berlaku apabila doktor membalut ketiga-tiga jari cucunya sekaligus, tanpa mengambil kira risiko jari boleh melekat semasa proses penyembuhan.
Akibatnya, tiga kali pembedahan terpaksa dijalani. Lebih membimbangkan, keadaan jari tidak kembali normal dan menimbulkan rasa malu kepada cucu beliau.
“Sekarang bila dia bercakap dengan orang, dia akan sorokkan tangan dia,” luah Rosyam dengan nada sebak.
Dalam video yang sama, Rosyam mengemukakan soalan kepada pakar kesihatan, Dr. Muhammad Azrai Abu,
“Boleh ke saya nak saman, walaupun benda ni dah lama?”
Jawapan Dr Azrai berikan adalah ya, tindakan undang-undang masih boleh diambil selagi ada bukti dan rasa tidak puas hati.
Kisah ini membuka mata ramai ibu bapa, khususnya ibu muda, tentang pentingnya memahami hak pesakit. Rawatan yang salah bukan saja menjejaskan fizikal anak kecil, tetapi turut memberi impak emosi mendalam. Trauma, rasa malu, dan hilang keyakinan diri adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan kasih sayang dan sokongan penuh dari keluarga.
Apa Yang Ibu Ayah Boleh Lakukan Jika Hadapi Situasi Serupa?
Sebagai ibu, jangan biarkan rasa bersalah menghantui. Sebaliknya, bertindak bijak dan berani demi masa depan anak. Kerana luka mungkin sembuh, tapi kesan emosi mungkin kekal selamanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah untuk mengendalikan susu ibu, tetapi jika dibuat secara konsisten akan menjadi mahir. Ibu yang berasa gusar kerana terpaksa menyerahkan tugasan menjaga dan menyusukan anak kepada pengasuh atau taska adalah perkara normal. Carilah orang yang benar-benar boleh dipercayai untuk mengendalikan susu badan kerana ia mudah tercemar.
Begitulah perkongsian pemegang akaun Facebook, Intan Mariana, yang terkilan dengan cara pengasuh lama anaknya mengendalikan bekalan susu badan yang diberikan. Sangat memeranjatkan apabila Intan melihat sendiri kejadian bekas pengasuhnya itu mencampurkan air suam ke dalam susu badannya.
Assalamualaikum dan salam sejahtera warga HBM.
Terima kasih pengawas nenen approve post saya ini. Saya harap perkongsian saya ini dapat dijadikan pengajaran terutama sekali kepada ibu bekerjaya dan juga untuk pengasuh (BS) yang handle susu ibu (EBM).
Saya nak share sikit pengalaman yang tak kan saya lupakan. Rasa bersalah sangat² tengok anak saya, Ayra (4 months, fully BF) ?
Ceritanya, saya hantar Ayra ke Pengasuh dekat dengan rumah. Saya baru je hantar seminggu. Sehari sebelum saya hantar Ayra, saya dan husband memang dah pergi melawat dulu ke rumah pengasuh ni. Berkenalan dan tengok persekitaran rumah. Pengasuh ni beritahu yang dia dah lama tak handle susu ibu tetapi dia ckp dia boleh belajar semula dan saya pun terang kan dekat dia cara macam mana nak panas kan susu. Saya beritahu yg saya akan bekalkan 6 botol (termasuk puting) x 3oz dalam cooler bag. EBM yg saya bekalkan semua yg chiller sbb Ayra tolak frozen. Jadi lagi mudah. Tugas pengasuh cuma panaskan sahaja dan beri pada Ayra.
Panaskan dalam air panas2 suam. Tak perlu cairkan EBM, tak perlu tukar botol ke puting. Sbb botol semua dah siap puting. Dan saya bagi extra EBM (5oz) andaikata tak cukup. Tapi biasa cukup je. Saya juga ingatkan pengasuh tempoh hayat susu selepas panaskan dan selepas susu kena airliur baby. Selepas 1 jam tak habis minum buang. Pengasuh paham dan dia ckp dia boleh buat. Lagi mudah dari bancuh susu katanya. Jadi selepas bincang dengan husband kami setuju pengasuh tu jaga Ayra. Selama 4 hari (Isnin-Khamis) dia jaga Ayra okay takde masalah. Susu pun habis je mcm biasa.
Nak di jadikan cerita, semalam hari Jumaat. Tengahari tu saya ada urusan di sekitar dekat dgn rumah pengasuh. Alang² saya pun singgah la rumah pengasuh nak jengok Ayra. Saya dah masuk rumah masa tu. Kebetulan pengasuh tengah nak panaskan susu Ayra. Memang Allah nak tunjuk, saya tengok pengasuh bubuh AIR SUAM dalam susu EBM tu ? Allah Allah Allah.
Saya mcm nak pengsan pun ada. Saya terkejut, saya tergamam. Saya tanya pengasuh tu ‘Kenapa akak letak air suam dalam susu tu’ dia ckp saya yg suruh. Allahuakbar. Rupanya pengasuh tu salah paham ? Dia ingat saya suruh letak AIR SUAM dalam susu.
Saya suruh rendam dalam air suam kak, bukan masukkan air suam. Ya Allah. Saya pun ckp lah kiranya selama ni Ayra minum susu yg dah tercemar lah. Ya Allah mcm mana ni. Saya mmg mcm gelabah dan menangis la depan akak tu. Saya taip ni pun menitik air mata.
Pengasuh tu muka rileks je. Lepas tu yg buat saya terkilan. Boleh pengasuh tu cakap ‘TAK ADA APALAH’. Bukan nya nak minta maaf atau suruh saya bawa anak check doktor ke sbb dah tersalah bagi cara macam tu kan. Memang tak nampak langsung dia risau. Dia boleh cakap tak ada apa² ? Saya mmg tak salah kan dia 100% sbb dia salah paham. Sampai sekarang saya fikir cara saya explain tu salah ke? Husband saya pun ada masa saya explain tu. Husband saya pun terkejut macam mana pengasuh tu boleh isi AIR SUAM pulak ?
Mmg malam sebelum hantar Ayra tu saya risau pengasuh tu lupa cara yang saya terangkan. Jadi saya share kat pengasuh tu cara² nak handle susu ibu dalam bentuk PDF dan gambar kat whatsapp. Tak tau la dia tengok ke tak ? Salah saya juga sbb dah tahu dia tak reti handle EBM percaya juga yg dia boleh buat.
Saya mmg risau sangat sekarang ni. Ayra tak demam, tak ada muntah dan aktif. Cuma berak dia cair dari biasa. Saya whatsapp doktor tentang hal ini. Doktor ckp risau usus tersumbat ? dan risiko intussussepsis. Saya google pasal ni nauzubillahminzalik. Saya harap sangat Ayra kuat dan tak ada effect apa² kat dia ?
Ibu minta maaf Ayra ? Salah ibu ? Ibu menyesal sangat. Jadi saya nak nasihatkan dekat ibu² semua kalau nak hantar anak kat pengasuh atau mana pusat asuhan. Pastikan pengasuh tu reti handle susu EBM ni. Tengok depan mata sendiri macam mana dia handle. Ini dugaan saya. Dugaan ibu bekerjaya ? Harap tak adalah yang suruh berhenti kerja jela jaga anak. Memang nak sangat berhenti kerja tapi ibu² yang bekerja je tahu kenapa ☺️
Saya nak minta semua doakan anak saya NUR AYRA SUMAYYAH BINTI MUHAMMAD KHAIRULHISAM selamat, kuat, sihat dan tiada effect apa² sebab susu tercemar tu ?
Sekarang saya tengah cari pengasuh baru yg dekat dengan tempat kerja. Doakan semoga dipermudahkan ye. Terima kasih semua. Terima kasih pengawas nenen ❤️
Syukur sekarang ini Ayra semakin okay dan Intan telah mencarikannya pengasuh baru yang berpengalaman mengendalikan stok susu dengan baik. Kini, Intan dinasihatkan doktor untuk memantau air kencing dan najis Ayra. Semoga dengan perkongsian dari Intan ini dapat memberi pengajaran kepada kita dan sama-samalah kita doakan agar Ayra sentiasa sihat.
Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan rumah tangga mereka berkekalan sehingga ke syurga. Pasti mahu bahagia dan terus dilimpahi perasaan kasih sayang sesama suami isteri. Apakan daya, sinar bahagia yang diharapkan tidak kesampaian. Pernikahan diuji dengan cabaran sehingga perpisahan terjadi.
Dikenali sebagai suami romantis yang gemar menulis tentang alam perkahwinan, di dalam perkongsiannya Akhtar Syamir mengatakan menceraikan isteri ketika dia sedang hamil adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab. Penceraian begini, jika tidak dapat dilihat perbezaan menceraikan pada waktu lain dan ketika isteri sedang mengandung, beerti hati dan mata seorang lelaki telah buta.
Cerai Isteri Ketika Hamil. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki.
Apa bezanya waktu lain dan semasa hamil? Kalau anda tak nampak perbezaan ini, maknanya hati dan mata anda sebenarnya telah buta. Sama ada buta ditusuk cinta dan sayang orang yang baru atau sememangnya dilahirkan tidak mengambil berat mengenai isteri.
Proses kehamilan itu bukan sekadar hamil sahaja. Ianya bermula dengan sebelum terjadinya hamil itu. Sebelum hamil itu berdua. Kalau seorang sahaja memang tak jadi. Jadi, selalunya di tahap ini, indah dan seronok.
Kemudian tibalah tahap di mana isteri itu disahkan hamil. Segala hormon di dalam badan isteri berkecamuk umpama kapal yang sedang terbalik. Percayalah pada ketika ini, isteri sangat memerlukan suami.
Makan itu tak boleh, bau ini nak muntah. Kepala sentiasa pening, mood selalu tidak baik. Apabila makan pun tidak terurus, tenaga pun akan berkurangan ditambah pula dengan muntah yang berlarutan.
Di sini datangnya keperluan seorang suami untuk membantu isteri menjalani kehidupan yang normal dengan keadaan sebegitu. Isteri sangat memerlukan sokongan moral kerana pada masa inilah jiwanya terganggu.
Dari segi fizikal pula, si isteri yang mengalami alahan yang teruk tidak akan cukup nutrisi dan zat di dalam badan. Ini kerana isteri tidak berhenti muntah sehingga tidak terkira berapa kali sehari. Suamilah yang patut bantu masak atau menyediakan makanan.
Dari segi pakaian, dari segi kebersihan juga perlu dibantu. Ada kalanya nak bangun dari katil pun satu perkara yang sukar untuk dilakukan seorang diri. Inikan pula mandi. Suami yang prihatin, pasti akan mandikan isterinya.
Kehamilan tidak dapat lari dari kunjungan ke klinik kesihatan. Nampak seperti satu perkara yang mudah. Pergi klinik dan jumpa Doktor. Apa yang susahnya? Jika anda berfikiran sebegini, malanglah isteri anda. Ini kerana proses pemeriksaan di klinik kesihatan adalah antara perkara yang paling menyusahkan dan memenatkan wanita yang sedang hamil. Dari masa pergi, daftar, menunggu, menunggu dan menunggu hinggalah akhirnya semua proses itu selesai berjam-jam selepas itu.
Itu belum campur jika ada keperluan lain seperti buat BSP yang pastinya memberi lebih tekanan kepada bakal ibu. Tanpa suami, terkontang-kantinglah isteri seorang diri menguruskan semuanya. Jika ada anak kecil pula, pastinya lebih teruk.
Proses menunggu waktu bersalin juga adalah fasa yang memenatkan. Jika tidak sakit, hati pasti akan sentiasa risau dan gundah gulana. Ada pula yang sentiasa rasa sakit tetapi badan tidak bersedia. Pada waktu ini, suamilah yang menjadi tempat mengadu dan menenangkan jiwa. Risau, takut dan ada yang kecewa kerana lebih dari tarikh yang sepatutnya sangat memberi tekanan.
Apabila sudah masuk di dalam dewan bersalin. Isteri akan ditinggalkan keseorangan memikir seribu persoalan di dalam kepala. Adakah semuanya akan selamat? Bagaimanakah anak aku nanti? Pada waktu itu, sangat penting bakal ibu ditenangkan oleh suami.
Saya sendiri luka di tangan akibat digenggam dengan kuat oleh isteri. Biar dia luka, biar saya sakit. Saya tahu itu hanya secebis sahaja kesakitan yang isteri sedang alami.
Saat meneran juga antara saat yang terpenting dalam proses kelahiran. Nyawa isteri berada di hujung tanduk. Kekuatan bukan datang dari diri sendiri lagi kerana semuanya telah habis digunakan. Kesakitan yang dialami tiada tolok bandingnya. Jika semua suami boleh merasai kesakitan itu, saya jamin tidak akan ada yang tergamak melayan isteri dengan buruk. Cuba bayangkan anda digunting dan dijahit tanpa bius. Bayangkanlah.
Selesai bersalin, masa pemulihan pun bermula. Jahitan akibat digunting perlu ambil masa untuk pulih. Si ibu akan sibuk menguruskan bayi. Jalannya tidak teratur. Langkahnya singkat. Perlu sentiasa berhati-hati kerana jika kesannya amat buruk jika tersilap langkah.
Jika ada anak lain pula yang perlu diuruskan, sememangnya satu tugas yang perit. Mungkin ada yang boleh buat semuanya, tetapi ramai yang benar-benar tidak mampu. Mana nak jaga diri, mana nak jaga anak lagi.
Faktor gangguan emosi juga sering terjadi selepas bersalin. Terlalu banyak kes depresi yang terjadi. Ada yang terlalu teruk sehingga timbul perasaan untuk mencederakan anak. Allahuakbar. Jika tiada peneman, tiada yang menenangkan, akibatnya amatlah buruk.
Begitulah serba sedikit perjalanan dari awal sehingga selepas hamil. Ini hanya sedikit gambaran kasar. Hanya yang melaluinya sahaja tahu betapa sukarnya mengandung dan melahirkan anak.
Manusia biasa pasti tidak tergamak membiarkan isteri melalui semua itu seorang diri. Manusia yang berakal akan cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan segala urusannya. Perlu ingat, mereka jadi seperti ini disebabkan suami juga. Jadi, bertanggungjawablah atas perbuatan itu.
Inilah sebabnya kenapa saya kata, lelaki yang menceraikan isterinya semasa hamil adalah lelaki yang sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah anda siapa. Anda seorang yang kejam.
Tidak kira perpisahan itu atas sebab apa. Sebagai seorang suami yang bersama-sama semasa proses bermulanya kehamilan, ianya perlu diteruskan sehingga selesai kesemua proses itu. Bukan ditinggalkan begitu sahaja.
Semoga kita dijauhkan dari keadaan seperti ini. Hargailah isteri anda. Tiada siapa yang boleh melahirkan zuriat sendiri selain isteri. Jadilah manusia yang bertanggungjawab.
Kongsikan penulisan ini buat pedoman semua. Ini bukan soal menyibuk hal rumah tangga orang lain. Ini soal memberi kesedaran. Jika tiada siapa yang beritahu, tidak semua akan faham apa yang isteri lalui.
Sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab, jika sudah hilang rasa kasih pada isteri pun sekurang-kurangnya sebelum menceraikan isteri waktu hamil, kasihanilah dia. Fikirkan pengorbanan yang telah dia lakukan, membawa zuriat anda di dalam rahimnya.
Setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara baik. Semoga dengan perkongsian dari Akhtar Syamir ini dapat memberi sedikit kesedaran kepada para suami tentang kepayahan isteri anda sewaktu dia mengandungkan zuriat kalian.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!