Setiap pasangan yang berkahwin pastinya berusaha untuk mendapatkan zuriat sendiri. Ada yang mudah mendapat zuriat, ada yang perlu berusaha keras untuk mendapatkan cahaya mata penyeri hidup.

Cabaran untuk mendapatkan seorang anak bukanya mudah, dari hamil hinggalah saat bersalin. Pergi bernyawa, balik belum tentu bernyawa. Begitulah hebatnya perjuangan seorang ibu, seorang wanita seperti perkongsian daripada Dr. Ilzanno.

Salah satu peristiwa yang terbenam jauh di dalam lubuk hatiku dan akan aku ingat sampai bila-bila berlaku semasa aku posting di jabatan sakit puan (Obstetrics and Gynaecology/ ObGyn). Peristiwa ini berlaku semasa aku cuba untuk menyambut satu kes pesakit Primigravida, iaitu pesakit yang beranak buat kali pertama. Semasa itu, aku masih lagi bergelar house officer (HO) di sebuah hospital kerajaan.

Malam tersebut, sama seperti malam-malam yang biasa. Jururawat bergelar Midwife (bidan) memberitahu aku bahawa terdapat seorang pesakit di bilik nombor 3 yang masih belum sempat diperiksa oleh mana-mana doktor. Aku mendapatkan BHT (Bed Head Ticket/ Fail) pesakit dan terus bergegas ke bilik nombor tiga dewan bersalin tersebut.

Aku memperkenalkan diri aku sebagai salah seorang pegawai perubatan yang bertugas pada malam tersebut. Setelah meminta kebenaran pesakit berumur 26 tahun itu untuk menyambut kelahiran anaknya, pesakit tersebut terus bersetuju kerana di saat contraction menjadi semakin kerap, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa tidak selesa dan sakitnya seseorang wanita itu rasa.

Wanita tersebut bernama Maisarah (Bukan nama sebenar) dan berasal daripada Kota Bharu. Sepanjang pemeriksaan dan follow-up nya dengan klinik kesihatan, dia tidak mempunyai apa-apa masalah dari segi perubatan. Segala-galanya nampak stabil. Tiada kencing manis, tekanan darah yang tinggi mahupun jumlah sel darah yang rendah.

Sejujurnya, aku langsung tidak minat dengan posting jabatan sakit puan ini. Doktor pakarnya garang-garang belaka, sesuatu yang aku alami semasa di universiti lagi. Pada masa itu, otak aku yang belum matang ini seringkali menjadi stress dan tertekan apabila mereka marah-marah pelajar perubatan. Kini, aku sudah tahu, sudah tentulah mereka perlu garang dan tegas, kerana di jabatan sakit puan ini, bukan satu nyawa pesakit yang perlu dijaga, sebaliknya dua!

Mereka bukan garang ke atas perkara yang tidak signifikan, seperti tersilap ejaan memanggil bos sebagai bod dalam group WhatsApp, atau pun pembentangan kes dalam bahasa Inggeris yang mempunyai kesalahan tatabahasa. Mereka garang bertempat. Pesakit Obstetric yang merupakan pesakit ‘buatan orang lelaki’ (maafkan saya sebab bergurau sedikit), boleh melahirkan anak tanpa apa-apa komplikasi pun pada zaman dulu oleh bidan.

Orang kata, zaman dulu-dulu pun orang boleh bersalin di kampung tanpa ada masalah, bagaimana seseorang itu boleh mati pula apabila bersalin di hospital yang dipenuhi dengan staf yang terlatih serta kelengkapan yang bertaraf dunia. Sebab itulah masing-masing yang bekerja di wad bersalin ini inginkan kesempurnaan apabila merawat pesakit.

Walaupun kami, pekerja perubatan semua tahu, menyambut kelahiran zaman dulu-dulu mana ada statistik kes sama ada kelahiran anak itu berjaya ataupun tidak. Secara mudahnya, kebanyakan orang awam di luar sana akan mempercayai bahawa dulu, tiada seorang wanita pun yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Pada mereka, tiada kes gestational diabetes mellitus, kes darah tinggi atau kekurangan darah pun zaman itu. Bukan tiada, tetapi tidak direkod (undocumented).

Daripada situ, datang lah jangkaan (expectations). Ada sesetengah daripada mereka akan mudah menolak beberapa perubahan mengikut perubatan modern seperti pemberian pil-pil yang mengandungi asid folik dan zat besi sebab “zaman dulu, orang nak beranak ni mana ada ambil apa-apa suplemen tambahan pun. Ini semua agenda doktor untuk menjual ubat sebenarnya dan mengaut keuntungan sepenuhnya”. Maka, daripada situlah, ketegasan pakar-pakar sakit puan itu muncul.

Mereka menjadi strict, mengikuti SOP dengan sepenuhnya, Kementerian kesihatan juga sama. Apa-apa kes berkaitan kematian pesakit semasa bersalin, dipanggil maternal mortality review akan dibawa dan dibincangkan sehingga ke peringkat kebangsaan. Perbincangan untuk mendapatkan kenyataan sebenar bagaimana seorang pesakit boleh mati di hospital. Silap, bukan seorang, tetapi dua orang pesakit.

Sudah tentu selepas aku mulai bekerja, aku memahami ketegasan seseorang medical officer dan pakar di kala menguruskan proses kelahiran yang kadangkala sedikit rumit dan tidak straightforward seperti yang difahami oleh orang luar. Biasalah, manusia ini bukan semuanya sama. Lain-lain. Ada yang mudah proses kelahirannya, ada juga yang susah.

Jadi berbalik kepada cerita asal, sama seperti pesakit-pesakit lain, aku perlu melakukan pemeriksaan rahim pesakit (Vaginal Examination, VE). Fungsinya adalah untuk memeriksa bukaan os nya berapa sentimeter serta ada apa-apa perkara yang abnormal ataupun tidak. Setelah aku masukkan jari, aku terasa sesuatu yang pelik.

Bukan kepala bayi yang aku rasa, sebaliknya tali pusat. Aku cuba untuk bertenang, dan memeriksa dengan daya tumpuan dan fokus yang tinggi. Yup, apa yang aku sentuh bukannya bahagian kepala bayi, sebaliknya tali pusat. Tak semena-mena aku jadi gabra dan pucat. Ibarat satu mimpi ngeri yang baru sahaja bermula. Tanpa melengahkan masa, aku menjerit meminta pertolongan.

“Cord prolapse room 3! Cord prolapse! Kakak, tolong saya!”

IKLAN

Aku nampak Kak Ros, salah seorang bidan terlatih yang agak senior segera berlari mendapatkan aku daripada kaunter.

“Doktor! Jangan keluarkan tangan daripada situ, tolak dan sokong kepala bayi supaya dia tak terhimpit tali pusat tu!”, kata Kak Ros dengan dialek utaranya.

Awal-awal dia beritahu aku untuk jangan keluarkan tangan daripada situ. Dia bimbang aku yang masih baru di posting ini hilang tumpuan akibat terlalu gelabah dan akan mengeluarkan tangan aku serta merta. Aku pasti, kalau aku keluarkan tangan aku, mesti aku kena jerkah dan kena “pungkoq ang la doktor” sebab membahayakan kandungannya.

Aku masih lagi dalam keadaan cuak sebenarnya. Aku tidak pernah menguruskan kes cord prolapse sepanjang bergelar doktor mahupun semasa menjadi seorang pelajar perubatan. Ilmu sejengkal aku ini agak lambat untuk memproses kejadian ini. Namun aku tahu, cord prolapse adalah obstetrics emergency, iaitu kes kecemasan yang boleh menyebabkan kematian bayi akibat kelemasan.

“Kenapa doktor?”, tanya Puan Maisarah, pelik dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya yang hiruk-piruk, walhal, dia tidak rasa apa-apa pun selain sakit akibat contraction yang menjadi semakin kerap.

“Puan, tali pusat anak puan ni keluar dulu, jadi, nak tak nak kena operate”, kata aku, menerangkannya seringkas yang mungkin kerana aku perlu fokus.

“C-sec ke doktor”, tanya Puan Maisarah.

“Ya puan”, aku menjawab, sambil tangan aku terus menerus memberikan daya untuk menolak kepala bayi tersebut ke atas.

“Selamatkan anak saya ya doktor, selamatkan Nadirah”, katanya tiba-tiba sahaja menyebut nama entah siapa.

“Siapa pulak Nadirah tu puan?”, aku tanya dalam nada kepelikan.

“Saya dan suami dah sepakat menamakannya Nadirah doktor. Doktor tolong Nadirah betul-betul ya”, katanya sambil tersenyum walaupun air mukanya aku nampak sedikit risau.

Kata-kata Puan Maisarah yang telah pun menyuntik keazaman di dalam hati aku. Aku perlu buat apa sahaja yang aku mampu sebaik yang mungkin. Aku mahu Nadirah selamat, dan menjadi seorang manusia yang berguna untuk masyarakat kelak.

“Baiklah, saya akan berusaha sepenuh tenaga, puan tenang tau. Dr Hayati on call malam ni, insya Allah, you are in good hands”, kataku memberi semangat kepada Puan Maisarah.

“Okay doktor, terima kasih”, katanya sambil mengesat air mata menggunakan lengannya. Sama ada air mata akibat kesakitan yang dialami, atau air mata kerisauan. Apa yang aku pasti ketika itu adalah, juraian air mata tersebut wasn’t for nothing.

<Fakta Perubatan mula>
Untuk pengetahuan anda semua, cord prolapse adalah keadaan di mana bahagian tali pusat pesakit terkeluar terlebih dahulu di cervix pesakit. Berat kepala dan badan bayi itu akan menghimpit tali pusat tersebut, menyebabkan darah tidak dapat mengalir di dalam tali pusat.

Bayi yang berada di dalam rahim memerlukan darah yang membawa oksigen dan glukosa daripada tali pusat, yang bersambung ke uri ibunya. Bayi di dalam rahim masih lagi tidak boleh bernafas untuk mendapatkan oksigen walaupun paru-paru bayi tesebut sudah pun hampir terbentuk dengan sempurna. Oleh itu, satu-satunya cara bayi dalam kandungan untuk mendapatkan oksigen adalah melalui tali pusat. Himpitan tali pusat itu menyebabkan bayi di dalam rahim kelemasan.

Satu lagi, apabila bahagian tali pusat terdedah kepada udara persekitaran, ianya akan menjadi kecut, keadaan yang kita panggil sebagai vasospasm. Vasospasm adalah reaksi normal yang diciptakan kepada kita semua, manusia. Hal ini adalah apabila bayi berjaya dilahirkan, secara automatiknya, tali pusat bayi tersebut akan mengecut tatkala ianya terdedah kepada udara persekitaran.

Fungsinya adalah untuk mengelakkan terlalu banyak darah yang hilang apabila tali pusat tersebut dipotong. Mekanisma ciptaan tuhan ini memang amat menakjubkan, cuma, dalam keadaan ini, vasospasm akan membunuh kandungan dengan begitu pantas. Sebab itulah kadar kematian akibat cord prolapse amat tinggi.
<Fakta Perubatan Tamat>

Sebelah tangan aku harus diletakkan untuk memberi sokongan kepada berat Nadirah secara konsisten, dan sebelah lagi tangan aku gunakan untuk menetapkan posisi cardiotocograph (CTG) untuk mendengar denyutan nadinya. Sekiranya Nadirah berada di dalam keadaan distress akibat kekurangan oksigen, denyutan nadinya akan bertambah.

Kak Ros sedang menelefon pakar sakit puan dan dia ‘menghantar’ beberapa jururawat pelatih membantu aku menetapkan posisi CTG yang beralih-alih di atas perut pesakit. Seusai menelefon doktor pakar, Kak Ros menelefon dewan bedah pula. Sememangnya, dalam kes sebegini, agak mustahil untuk menanggung risiko kelahiran spontaneous vaginal delivery (SVD) iaitu kelahiran yang normal, sebaliknya Caesarean-section perlu dilakukan.

Tanpa aku sedari, ada satu tangan menyentuh bahu aku daripada belakang. Saat mendengar Maisarah berkata “Abang”, aku terus tahu bahawa dia adalah suaminya, Azman (Bukan nama sebenar). Azman memegang bahu aku dengan kuat dan bercakap sesuatu yang aku ingat sampai ke hari ini

“Doktor, tolong sangat saya dan Maisarah dan Nadirah ya. 4 tahun kami berusaha doktor, 4 tahun”.

Apabila aku dengar suaranya yang mula tersenggut-senggut, aku menyuruh dia ke isterinya untuk memberikan kata-kata semangat dan doa. En Azman menuruti apa yang aku suruh. Dia mengusap dahi isterinya dan menggenggam erat lengan isterinya yang tertusuk jarum berwarna hijau. Dia mencium dahi isterinya dan memberikan isyarat ‘good’ sebelum terpaksa diarahkan untuk beredar bagi memudahkan staf melaksanakan tugas masing-masing memandangkan ini adalah kes kecemasan.

Setelah setengah jam berlalu daripada kejadian awal, tangan kanan aku mulai lenguh. Maklumlah menanggung berat badan bayi yang seberat 3-4kg itu menggunakan jari sahaja, memang lenguh. Namun aku tahu, lenguh itu sedikit sahaja rasanya berbanding beban yang bakal ditanggung oleh doktor pakar bagi menyelamatkan Nadirah.

Setelah mendapatkan persetujuan bertulis (written consent) untuk pembedahan, Puan Maisarah perlu ditolak ke dewan bedah dengan kadar segera. Di sana, doktor pakar bius dan pakar sakit puan, Dr Hayati sudah pun menunggu. Aku tak boleh mengeluarkan tangan aku, aku harus berada di situ sehinggalah pembedahan dilakukan dan keadaan cukup selamat.. Aku terus menerus memberikan daya tolakan ke atas, dan memang aku dapat rasakan bahawa tangan ku mulai kebas akibat ‘senaman isometrik ini’.

Apabila katil ditolak, aku wajib mengikut sekali di atas katil yang sama. Aku tidak boleh banyak bergerak kerana aku bimbang tangan aku tidak dapat memberikan daya tolakan yang constant. Perjalanan ke dewan bedah yang tidak sampai 2 minit itu merupakan perjalanan yang paling jauh dan paling memeritkan dalam hidup aku.

Setibanya di dewan bedah maternal (MOT), doktor memberikan bius separuh kepada Puan Maisarah. Kain hijau digunakan untuk menutup bahagian kaki dan dada Puan Maisarah bagi mengekalkan sterility kawasan pembedahan. Aku pula duduk di kaki pesakit, ditutup oleh kain hijau tersebut. Kau bayangkan sahajalah kepala aku, badan aku, semuanya berada di bawah kain hijau di dalam dewan pembedahan itu.

“How are you holding up there?”, tanya Dr Hayati kepadaku.

“Miserable, but I think I’ll be manage to hold for another hour”, aku berkata dengan nada gurauan.

“Then we’ll do this operation slowly, hahaha”, kata Doktor Hayati

“No doctor, please don’t, haha” jawab ku sambil ketawa kecil.

Dalam suasana serius, Dr Hayati masih lagi bertenang, dan aku tahu, lawaknya itu adalah untuk mengurangkan ketegangan suasana dan membuatkan aku sedikit relaks, walaupun dah 45 minit jari aku menahan berat Nadirah. .

Pembedahan dilakukan dengan pantas, dan beberapa minit kemudian, Dr Hayati menatakan kepada aku bahawa aku sudah boleh mengalihkan tangan aku daripada situ. Apabila aku mengeluarkan sahaja tangan aku, hampir serta merta hilang segala lenguh-lenguh yang aku rasakan daripada tadi. Masakan tidak, hampir 90 minit aku menahan berat badan Nadirah daripada menghimpit tali pusatnya sendiri.

Alhamdulillah, setelah hampir 30 minit kemudian, pembedahan berjaya dilakukan dengan lancar tanpa ada apa-apa masalah dan komplikasi. Puan Maisarah, walaupun masih separuh sedar berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Dr Hayati, Kak Ros, aku dan semua staf yang terlibat dalam menyelamatkan nyawa anaknya itu. Aku berjalan kembali ke wad bersalin, tersenyum.

Dalam pekerjaan yang stress dan menekan jiwa ini, aku dapat rasakan, hari ini aku ibarat seorang wira, berjaya menyelamatkan nyawa si kecil yang comel dan putih itu, insan bernama Nadirah. Aku keluar sahaja daripada MOT, En Azman berlari ke arah aku, memeluk tubuh aku sambil berkata terima kasih dan menangis kegembiraan setelah dia dapat tahu bahawa 1 insan yang dia sayangi, dan kini 2 insan yang bermakna sepenuhnya untuk dirinya selamat.

Peristiwa ini juga membuatkan aku terfikir bahawa betapa besarnya pengorbanan seorang ibu untuk melahirkan seorang anak. Wanita, secara fizikalnya tidaklah sekuat lelaki, namun, pengorbanan yang mereka lakukan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan tidak akan terbalas dengan wang ringgit. Satu lagi, untuk proses kelahiran, walaupun nampak straightforward dan mudah, kadangkala tidaklah semudah yang kita rasakan.

Kredit: Ilzanno Sharky

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)