Warga selangor pastinya berbesar hati kerana saringan Covid-19 secara pandu lalu yang dijalankan oleh kerajaan negeri itu amat membantu terutama kepada golongan warga emas atau ibu yang mempunyai anak kecil. Saringan secara pandu lalu itu sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan tenaga warga tua sekali gus mengekang wabak Covid-19 ini dari terus berleluasa.
Menurut laporan yang dikeluarkan Sinar Harian, kerajaan Selangor mula melaksanakan saringan koronavirus (Covid-19) berkonsepkan pandu lalu bermula hari ini dan esok bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor Seksyen 7.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kaedah itu sebagai salah satu inisiatif menggempur wabak Covid-19 secara habis-habisan. Malah katanya lagi, pihaknya sedang mengumpulkan 5,000 kit saringan dan perkembangannya dipaparkan menerusi video.
“Setakat ini kita cuba kumpulkan 5,000 kit ujian, mungkin satu kali operasi itu sekitar 400 hingga 500 (digunakan) untuk dibuat saringan,” katanya.
Menurutnya, saringan ini dijalankan melalui Selcare dan diadakan secara dua sesi.
“Saringan ini disediakan secara percuma untuk warga emas dan mereka yang mempunyai simptom Covid-19.
Saringan yang bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari serta 2 petang hingga 6 petang itu ternyata amat membantu seluruh warga Selangor.
Terdahulu, 8 April lalu, kerajaan negeri Selangor mengumumkan akan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk negeri ini melibatkan beberapa lokaliti yang telah dikenal pasti bermula semalam.
Amirudin berkata, kerajaan negeri membuat keputusan bagi melakukan ujian saringan itu secara besar-besaran susulan daripada peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri mensasarkan sekitar 1,000 hingga 1,200 orang penduduk di negeri akan melakukan ujian saringan terbabit.
Sumber: Sinar Harian & Selangor Kini