“Alhamdulillah… Ainul sihat,” itu reaksi Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa Ainul Mardhiah, bayi perempuan berusia 11 bulan yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor.
Dia memberikan maklum balas itu sebaik disapa oleh pemberita yang menunggu ketibaan keluarga terbabit termasuk Ainul Mardhiah dan isteri Ahmad Saifuddin, Nurul Erwani Zaidi, 24, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dari London.
Ainul Mardhiah bersama ibu bapa tiba di tanah air jam 7.15 pagi, hari ini dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH0003.
“Alhamdulillah, keadaan semua ok… selamat sampai tiada sebarang masalah di atas pesawat.
“Terima kasih kepada semua yang menunggu di sini, terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan. Alhamdulillah kami selamat sampai,” katanya ketika ditemui sebelum bergerak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans.
Ainul Mardhiah dibawa ke HKL bagi rawatan dan pemantauan susulan terhadap kesihatannya.
Semasa dimasukkan ke dalam ambulans sebelum bergerak ke HKL, Ainul Mardhiah kelihatan mencelikkan mata.
Penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.
Bayi itu berada di London selama lebih dua bulan sejak Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani membawanya ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.
Ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street.
Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom baru-baru ini.
Sumber: Metro
Kredit Gambar: Berita Harian