Selepas 2 Bulan Pemergian Ashraf Sinclair, Aishah, Adam, Yuna & Dida Luah Rasa Rindu Di Instagram

Share

Rindu pada yang tiada, pastinya rasa itu paling sakit untuk dilalui. Pemergian Ashraf Daniel Mohamad Sinclair secara mengejut memberikan kesan yang mendalam kepada seluruh dunia seni hiburan Malaysia dan juga Indonesia.

Apatah lagi pada keluarga terdekat seperti Aishah Jennifer Sinclair, Adam Youssof Sinclair dan juga ibunya Khadijah Abdul Rahman atau lebih mesra dipanggil Dida Sinclair. Pemergian Ashraf yang mengejut pastinya memberi kesan yang mendalam buat mereka semua apabila dilihat masing-masing mencurahkan isi hati di instagram milik mereka.

Hubungan ketiga-tiga adik beradik ini memang diketahui cukup rapat. Aishah memang sering mengunjungi Ashraf, isterinya Bunga Citra Lestari dan anak mereka Noah di Indonesia, manakala Adam pula baru sahaja bertemu dengan Allahyarham abangnya itu di New York beberapa hari sebelum Ashraf kembali bertemu Ilahi.

Aishah dengar voicenote hilangkan rasa rindu

Dalam satu posting yang dimuat naik oleh Aishah menyatakan 18 April genaplah dua bulan pemergian abangnya itu. Tiada seharipun yang membuatkan mereka melupakan Ashraf. Terjumpa voicenote yang pernah ditinggalkan oleh abangnya cukup untuk mengurangkan rasa rindu yang tidak terbalas itu.

“Genap dua bulan hari ini (semalam). Tidak satu haripun yang berlalu membuat kami lupa pada Abang. Kata mereka, masa akan mengubati, tetapi lukanya tetap sama.

“Aishah terjumpa voicenote abang dalam Google Drive. Mendengar suara abang mengurangkan sedikit rasa ‘kesakitan’, tetapi ianya juga mengingatkan Aishah tentang kekosongan di dalam hati yang tak akan dapat dipenuhi sejak kehilangan abang.

“Aishah rindukan abang sangat-sangat. Kalau anda teringatkan abang saya, tolong sedekahkan Al-Fatihah dan doa buatnya. Terima kasih,” tulis Aishah dalam Bahasa Inggeris.

Adam Ungkap Terima Kasih, Yakin Ashraf Bangga Dengan Dirinya

Di Instagram milik Adam, ringkas sahaja apa yang ditulisnya tapi penuh makna yang mendalam.

“Sudah dua bulan abang pergi. Adam ingin ucapkan terima kasih untuk setiap kali abang membantu Adam, dan Adam tahu lebih daripada beberapa kali.

“Hari ini Adam ceburkan diri dalam sesuatu yang baru. Adam rasa abang akan bangga dengan Adam. Sayang abang Ash setiap masa. Al-Fatihah,” tulis Adam dalam Bahasa Inggeris.

Tak Pernah Berhenti Berdoa & Hadiahkan Surah Yasin buat Ashraf

Ibu kepada Allahyarham Ashraf yang lebih dikenali sebagai Dida Sinclair turut berkongsi perasaan di Instagram miliknya.

“Assalamualaikum wbt. Al-Fatihah. Sudah dua bulan sejak Almarhum Ashraf meninggalkan Bunga, Noah dan kami semua. Kami tidak pernah berhenti berdoa dan membaca surah Yasin untuk Allahyarham dan buat kami di sini, untuk meneruskan hidup baru tanpa dia di sisi.

“Untuk kami redho yang dia sudah kembali ke Rahmattullah dan untuk kami sentiasa ada buat Bunga dan Noah, melihat dia membesar sebagai anak yang soleh dengan sokongan keluarga Sinclair dan keluarga besar di Jakarta.

“Semoga Allah SWT mengampunkan doa Almarhum dan menjaganya seperti mana Dia menjaga kami di sini. Semoga Bunga dan Noah sentiasa mencintai Ashraf, menghargai tingkah lakunya yang positif dan meneruskan hidup dengan gembira, penuh kesyukuran dan sentiasa memberi yang terbaik.

“La illaha illa anta subha naka inni kuntu minazzorlimiin. Aamiin. Terima kasih semua atas doa, sokongan dan ucapan, dan semoga anda dikurniakan balasan yang baik daripada Allah SWT. Aaminn. Wasallamualaikum wbt. Al-Fatihah,” tulis Dida juga dalam Bahasa Inggeris.

Yuna Teringat Kenangan Terakhir Bersama Ashraf dan Bunga Di New York

Selain mereka bertiga, Yuna yang merupakan isteri kepada Adam juga dilihat turut berkongsi luahan rasa buat Allahyarham Ashraf di Instagram miliknya.

Menurut Yuna, mereka sekeluarga masih tidak percaya Ashraf telah pergi buat selamanya. Malah tidak menyangka berpeluang menghabiskan masa bersama dengan Ashraf dan Bunga di New York.

Yuna turut mengimbas kembali detik pertemuan terakhir sebelum Ashraf dan Bunga pulang yang mana pasangan tersebut mengenakan topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga dengan wabak Covid-19.

Tambahnya juga, Ashraf merupakan seorang abang yang cukup penyayang dan sering menjadi pendorong dan penguat semangat buat dia dan suami saat mereka perlukannya.

Sumber: Media Hiburan & Gempak

 

 

 

 

Published by
SAHR