“Dia (Ainul) pandang saja dan pegang tangan Dr Amalina ketika pertemuan mereka selepas 3 tahun. Dr Amalina juga tak lepas pandang melihat Ainul,” kata Nurul Erwani Zaidi, ibu kepada penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin.
Nurul Erwani, 27, menceritakannya detik pertemuan Ainul Mardhiah, 4, dan Dr Nur Amalina Che Bakri ketika diminta berkongsi kisah menyentuh hati itu.
Pertemuan itu mendapat perhatian netizen selepas Nurul Erwani dan Dr Amalina masing-masing memuat naik gambar mereka bersama Ainul Mardhiah di Instagram (IG).
Bercerita lanjut, Nurul Erwani berkata, dia dan Dr Amalina sering berhubung menerusi WhatsApp sebelum ini bagi memaklumkan perkembangan Ainul Mardhiah.
“Kami selalu saja WhatsApp antara satu sama lain, malah Dr Amalina ada menghantar kiriman mesej sebelum ini selepas saya muat naik hantaran memaklumkan keadaan Ainul yang tidak sihat.
“Cuma, saya dan suami belum ada kesempatan membawa Ainul berjumpa Dr Amalina.
“Bagaimanapun, selepas melihat perkongsian Dr Amalina menaiki pesawat untuk pulang ke tanah air di IG sebelum ini, saya terus menghantar kiriman mesej untuk mengajaknya (Dr Amalina) berjumpa jika dia berkelapangan,” katanya.
Dr Amalina tak lepas peluk Ainul
Nurul Erwani berkata, dia dan suami, Ahmad Safiuddin Abdul Razak, 27, tidak terlalu berharap kerana faham keutamaaan Dr Amalina pulang ke Malaysia adalah untuk meluangkan masa bersama keluarganya.
“Lagipun, saya lihat Dr Amalina ada memuat naik gambar bercuti dengan suami di Langkawi, namun beliau terima pelawaan saja cuma beritahu mahu pulang ke Johor Bahru, Johor bertemu ibunya dahulu.
“Saya dan suami akhirnya dapat membawa Ainul bertemu Dr Amalina dan kami sempat luangkan masa makan tengah hari serta jalan-jalan di ibu kota bersama kira-kira dari 1 tengah hari hingga 3 petang.
“Dr Amalina asyik peluk Ainul ketika berjumpa. Beliau akui sebak kerana dulu Ainul masih bayi dan didukung tetapi kini boleh berjalan serta riang ketawa. Menurut Dr Amalina, Ainul seperti adiknya,” katanya.
Menurut Nurul Erwani, sekiranya ada rezeki, dia dan suami mahu mempertemukan lagi Ainul Mardhiah dengan Dr Amalina.
“Saya dan suami ada perancangan untuk ke London cuma perlu tunggu Ainul sihat dan kewangan kami stabil dahulu.
“Buat masa ini, Ainul masih menjalani terapi pertuturan dan fisioterapi diikuti pembedahan plastik nanti.
“Alhamdulillah, saya sekeluarga masih dapat sokongan rakyat Malaysia yang sentiasa tertunggu untuk mengetahui perkembangan Ainul sehingga kini dan kami hargai juga doa dititipkan.
“Terima kasih juga buat Dr Amalina kerana sentiasa ambil berat dan ikuti perkembangan Ainul daripada awal hingga kini, moga ukhuwah antara kami terus terjalin,” katanya.
Rancang buka Yayasan Ainul Mardhiah
Sementara itu, Nurul Erwani berkata, dia dan suami juga ada perancangan membuka Yayasan Ainul Mardhiah satu hari nanti.
“Buat masa ini, kami cuba ambil inisiatif bantu kanak-kanak berpenyakit yang memerlukan dana dengan menyumbang ikut kemampuan bagi meringankan beban keluarga mereka.
“Jika ada rezeki, kami mahu menubuhkan sebuah yayasan pula supaya Ainul Mardhiah dapat turut sama membantu golongan kurang bernasib baik apabila dewasa nanti,” katanya.
Pada 2019 Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London.
Ketumbuhan pada mulut bayi berkenaan yang mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram itu berjaya dibuang oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Julian Ong, seorang daripada empat petugas perubatan yang mengendalikan pembedahan itu mengesahkan ‘misi’ membuang ketumbuhan pada mulut bayi terbabit berjalan lancar.
Kredit: Metro / Gambar: FB Ahmad Safiuddin & IG Nurul Erwani
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)