Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan keluarga yang lengkap dengan cahaya mata yang comel-comel. Tapi tidak semua yang bernasib baik untuk terus dikurniakan anak selepas berkahwin. Ada yang perlu menunggu bertahun-tahun sebelum dikurniakan zuriat sendiri seperti pelakon dan penyanyi Hetty Sarlene.
Selepas empat tahun berkahwin, Hetty Sarlene, baru-baru ini berkongsi khabar gembira di Instagram miliknya bahawa dia kini sedang hamil anak pertama hasil perkongsian hidup dengan suami, Dani Aaqil.
Hetty berkata, dia sangat teruja dan menyifatkan berita gembira itu hadiah paling manis untuk ulang tahun perkahwinan mereka.
“Kami akan menyambut ulang tahun perkahwinan yang keempat minggu depan. Inilah berita paling mengujakan kerana sempena ulang tahun ini, kami ingin berkongsi berita gembira bahawa kami bakal menimang cahaya mata pertama.
“Ini menjelaskan mengapa saya berdiam seketika. Berdepan dengan muntah-muntah, pening, ‘mood’ terganggu, jatuh di tandas, asyik tidur dan lain-lain.
“Saya akan ambil serius nasihat untuk banyak berehat dan tidur sebelum kehadiran ahli baru keluarga kami. Sekelumit keajaiban pun ambil masa untuk tiba,” kata penyanyi Singapura ini di kapsyen Instagram miliknya itu.
Daripada gambar yang dikongsikan itu, jelas terpancar kegembiraan pasangan ini dengan berita kehamilan tersebut.
Melihat kepada ruangan komen Instagram Hetty, rakan artis dan juga peminat mengucapkan tahniah kepada pasangan ini.
Bagaimanapun, Hetty tidak berkongsi secara terperinci usia kehamilannya.
Hetty mendirikan rumah tangga dengan Dani atau nama asalnya, Daniel Oakes yang berasal dari London pada 23 Julai 2016.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sangsi Asmara dan Demi Cinta Kita itu kembali memeriahkan industri hiburan tempatan selepas menyertai program Gegar Vaganza 5.
Tahniah diucapkan buat Hetty Sarlene dan suami. Buat pasangan lain yang belum dikurniakan zuriat, jangan pernah berputus asa. Usaha doa dan tawakal, InsyaAllah akan ada rezeki untuk memiliki anak sendiri nanti seperti Hetty dan suami.
Sumber: Hmetro & IG Hetty Sarlene