Selepas 56 Tahun Hospital Bersalin Kuala Lumpur Tamatkan Operasi, Ramai Gamit Kenangan Bersalin Dan Dilahirkan Di Situ

Share

Bermula semalam tiada lagi bangunan Hospital Bersalin Kuala Lumpur selepas 56 tahun beroperasi. Menurut laporan sebuah akhbar, bangunan yang terletak dalam Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu menyimpan banyak nostalgia terutama bagi warga kota yang pernah melahirkan anak dan juga dilahirkan di situ.

Dalam satu perkongsian seorang kakitangan HKL pula, Sobri Tayab menyatakan kesedihan kerana penutupan hospital bersalin itu.

“Hari ini adalah hari terakhir Hospital Bersalin beroperasi.

“Maka hari ini Hospital Bersalin akan menamatkan perkhidmatan pada seluruh warga Kuala Lumpur dan Malaysia setelah beroperasi selama hampir 56 tahun.

“Kami seluruh warga Hospital Bersalin memohon ampun dan maaf pada semua warga Kuala Lumpur yang telah menerima perkhidmatan kami selama 56 tahun.

“Ramai warga Kuala Lumpur yang dilahirkan di sini.

“Ramai warga Kuala Lumpur dan warga Malaysia yang mempunyai kenangan suka duka di Hospital Bersalin.Bolehlah kita berkongsi suka duka di sini.Ada yang nenek,ibu dan dia dilahirkan di Hospital Bersalin.

“Hospital Bersalin telah melahirkan ramai Pakar Sakit Puan,Matron,Sister dan Jururawat Terlatih.

“Selamat Tinggal Hospital Bersalin.

“Selamat datang Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (WCH),” ujarnya dalam perkongsian status di Facebook miliknya.

Sementara itu, Mohd. Nur Iqdham, warganet di Facebook berkata, Hospital Bersalin Kuala Lumpur itu banyak membantunya.

“Banyak jasanya pada kami terutama di klinik fertiliti, terima kasih,” tulisnya.

Hospital bersalin Kuala Lumpur tinggalkan banyak nostalgia

Bagi Jawanis Rasyidin pula, ketiga-tiga anaknya telah selamat dilahirkan di hospital tersebut.

“Tiga orang anak lahir di sini, 1988, 1991 dan 1993. Tak dapat saya lupakan, terima kasih,” katanya.

Menurut Fasehah Mohd. Munir pula, hospital tersebut menyimpan banyak kenangan terindah dalam hidupnya.

“Banyak kenangan di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Dilahirkan jua di sini, dua anakku jua ku lahirkan di sini. Suka dua di sini,” katanya. 

Hospital Bersalin Kuala Lumpur itu dinaik taraf kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (WACH) yang dibuka secara berperingkat untuk penempatan pesakit. Pastinya fasiliti dan perkhidmatan yang bakal diberikan akan bertambah baik untuk setiap pelanggan atau pesakit yang datang.

Sumber: Utusan Online & Sobri Tayab

 

Published by
SAHR