Selera Anak Macam-Macam, Di Mios Kitchen Mak Ayah Tak Perlu Pening Kepala, Semua Ada!

Share

Setiap kali keluar makan bersama keluarga dan anak-anak, mulalah buntu untuk memilih tempat makan yang sesuai. Apa lagi keluar dengan anak kecil, banyak perkara yang kita perlu berikan perhatian.

Salah satu ciri utama sebelum membuat keputusan untuk ke mana-mana restoran pastinya memilih restoran itu sendiri sama ada ia menepati citarasa kita dan anak-anak atau tidak.

Pun begitu banyak sebenarnya yang kita perlu fikirkan sebelum kita menetapkan pilihan restoran yang bakal dikunjungi.

 

Salah satu ciri utama yang perlu difikirkan adalah ruang restoran itu sendiri selain pilihan makanan yang sesuai dengan anak-anak kita yang sedang membesar.

Memilih untuk makan di Restoran Mios Kitchen antara pilihan paling tepat kerana menyediakan rangkaian makanan yang pelbagai serta menepati citarasa dan selera anak-anak kita.

Restoran yang bernaung di bawah syarikat Mios Gastronomy Group Sdn Bhd ini diusahakan oleh dua gabungan padu adik beradik, Mior Azim dan Mior Amin Badalishah juga disokong kuat sepenuhnya oleh ibu, Sharifah Khazaimah Syed Hassan.

Memulakan langkah awal dalam industri F&B dan restoran pada tahun 2010, kini Mios Kitchen semakin menapak lebih kukuh selepas dilanda badai dek penangan Covid-19.

Sebelum membuka lima cawangan restoran, Mios Kitchen terlebih dahulu bertapak lama di kedai medan selera #MIOSKITCHEN di Matahari Mall, Petaling Jaya serta di Bandar Kinrara dengan mengetengahkan menu masakan barat yang lazat dengan harga berpatutan.

Seterusnya Mios Kitchen mengembangkan sayapnya dengan pembukaan restoran di Seksyen 15, Shah Alam. Tidak hanya satu, bahkan tahun demi tahun, Mios Kitchen terus melangkah jauh dengan pembukaan empat lagi cawangannya di Bandar Kinrara, Seksyen 13 Shah Alam, Putrajaya serta di Ampang.

Berkongsi cerita ketika dilanda badai sewaktu dunia berdepan virus Covid-19, akui pemiliknya, Mior Amin, Mios Kitchen berdepan tempoh paling sukar diketika itu.

“Jika sebelum Covid kami membangun dengan begitu sukses namun ketika Covid-19 itulah kami jatuh merudum malah satu kerugian yang agak besar buat kami.

“Semuanya bagi mengekalkan pekerja dan segala aset yang sedia ada.

“ Pun begitu walau kini sudah menampak hasilnya namun tidaklah sebaik sebelum Covid-19 menyerang,” katanya berkongsi cerita.

Namun begitu, kini Mios Kitchen mengorak langkah dengan membuka beberapa cawangan lain termasuklah beberapa rangkaian makanan lain termasuklah yang terbaru pembukaan, The Mios Coffee.

Menu Mesra Keluarga

Satu tarikan yang sudah semestinya menjadi pilihan semua pastinya tarikan menu di Mios Kitchen yang pelbagai malah menyenaraikan rangkaian menu sesuai pelbagai usia.

Dari kanak-kanak hinggalah menu dewasa disediakan dengan citarasa paling berkualiti untuk semua.

Antara menu kanak-kanak yang sentiasa menjadi pilihan adalah seperti Mac & Cheese, Carbonara serta beberapa rangkaian menu yang tidak pedas, paling sesuai untuk kanak-kanak.

Manakala untuk golongan dewasa pula tersedia menu berat seperti makanan barat, aneka nasi serta makanan fusion lain seperti Ayam Balado, Ayam Penyet, Nasi Blackpaper dan sebagainya.

Bercerita soal harga, Mios Kitchen menjadi pilihan paling mesra keluarga kerana menyenaraikan menu berpatutan terutama untuk ahli keluarga yang ramai. Jadi pastinya tiada masalah untuk berkunjung ke sini.

Combo Set, Istimewa Untuk Keluarga

Jika anda sekeluarga paling sukakan makanan barat yang jimat, tiga Combo Set yang terdiri dari Yong, Tong Sidang dan Chor tersedia untuk anda sekeluarga.

Bukan saja menjimatkan bahkan tersedia pelbagai menu bersaiz gergasi untuk anda sekeluarga makan hingga kenyang. Memang menjimatkan!

Sempena sambutan Ramadan tahun ini, Set Talam Simpul Kaseh menanti anda sekeluarga jika berkunjung ke sini. Paling jimat, hanya RM49 sahaja anda dan keluarga pasti kekenyangan.

Jangan lupa berkunjung ke sini!

 

Published by
SRM