Anak tantrum atau mengamuk adalah perkara normal. Sebagai seorang ibu mahupun ayah, kita seharusnya lebih memahami mereka. Ini tidak, asalkan anak buat hal terus ditengking. Diherdik, dijerkah. Manalah anak tu tak memberontak. Sedari kecil, dilayan endah tak endah oleh ibu ayah sendiri.
Ada masanya tu, kita kena lihat dulu diri sendiri. Sebelum marahkan anak-anak cuba kita imbas dahulu apa punca anak tantrum tak tentu pasal. Ya, mungkin ada punca yang lain. Tetapi salah satunya adalah HANDPHONE. Betul, anda tak silap baca!
Menurut penulisan pemilik akaun Facebook Wawa Shauqi, dia mengatakan sesetengah anak meragam kerana puncanya adalah ibu ayahnya sendiri. Sibuk tengok handphone, sampaikan anak di sebalah ajak bersembang pun diabaikan.
Artikel Menarik: [Umur 2 Tahun, Anak Mengamuk Dan Merengek Normal. Faham Dulu Sebabnya Baru Mudah]
“Sayang, cuba tengok warna lipstick ni. Mana cantik, yang Dazzling ke, Elegant?”
Si suami tak respon. Tangannya sibuk menaip sesuatu pada telefon pintar.
“Sayang, tengok la ni. Belikan 1 boleh?”
Masih tak ada respon. Malah dia boleh menyengih pandang skrin telefon tu, macam skrin tu lebih cantik dari bininya yang di sebelah.
Sakit hati kan, bila kita bercakap dengan orang, orang buat tak dengar sebab fokus sangat dengan telefon.
Haa.. Macam tulah anak.
Rajuknya, ragam dan tantrum mereka sangat memeningkan kepala kita. Tapi sedar tak, ragam mereka tu semua berpunca dari kita.
Sibuk sangat melayan dunia Facebook, Twitter & Instagram. Asyik sangat melayan cerita dan komen di post. Sampai anak di sebelah tak terlayan.
Menurut Prof Brandon McDaniel profesor dari Illinois State University, seseorang yang mengalami gangguan dalam komunikasi interpersonal yang disebabkan oleh perhatian yang diberikan kepada peranti teknologi dikenali sebagai ‘technoference’.
Singkatan dari perkataan ‘technology interference’
– Kekerapan tantrum anak-anak meningkat
– Peratusan kanak-kanak kemalangan sewaktu bermain meningkat akibat kurang pengawasan dari ibu bapa
– Peratusan masalah speech delay di kalangan anak-anak normal meningkat
– Semakin ramai kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan akibat kurang pendedahan bermain dari penjaga
– Fenomena ketagihan gajet di kalangan kanak-kanak dan dewasa meningkat
– Masalah communication breakdown semakin parah
“Budak-budak sekarang biadab aku tengok. Mana ada nak pandang muka bila bercakap dengan aku. Semua sibuk tengok fon. Samalah mak bapaknya pun.”
Teringat pulak saya dengan kata-kata rajuk dari seorang Atuk waktu beraya di kampung hari tu.
Gulp! Rasa seperti tertelan batu saya mendengarnya. Walaupun ayat tu tuju untuk cucu dan anaknya, saya pula yang terasa.
Artikel Menarik: [Anak Mengamuk Ibu Ayah Jangan Ikut Sangat. Tapi Kena Tahu Beza Tantrum & Meltdown]
Tang mana lagi kita nak nafi. Benda memang betul-betul sedang terjadi.
Teknologi sepatutnya menyatukan. Tapi penyatuan tersebut hanya berlaku di alam maya. Hubungan kita dengan manusia lain yang wujud di depan mata, langsung kita tak ambil peduli.
Yang anak diabai mak ayah.
Yang bini diabai suami, suami diabai isteri,
Tok nenek diabai anak-anak.
Dari teknologi yang dicipta untuk menyatukan, ia menjadi teknologi yang mengasingkan.
Tidak salah ada telefon pintar, tak boleh dinafikan yang ia satu keperluan untuk menghubungkan setiap orang. Tetapi janganlah terlalu diagungkan sehingga terlupa pada anak-anak yang memerlukan perhatian kita.
Sumber: Wawa Shauqi