Sempat 22 Hari Bersama, Pelukan Akhir Syafiq Ahmad Buat Bayinya Sebelum Dikebumikan

Share

Bayi lelaki berusia 22 hari antara yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara, dekat Sungai Bakap, awal pagi tadi.

Kejadian kemalangan itu melibatkan penyerang muda JDT, Muhammad Syafiq Ahmad bersama isteri, anak, ibu mertua dan seorang wanita warga Indonesia.

Dalam kemalangan ngeri itu, selain bayi lelaki berusia 22 hari yang maut, turut terkorban ibu mertuanya iaitu, Zainab Wahab, 45 tahun, dan Titik Sukamti, 30-an.

Muhammad Syafiq, 25 tahun, dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun, cedera ringan namun isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 tahun, dilaporkan cedera parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Lee Chong Chern, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 4.16 pagi.

“Kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara, telah melanggar pembahagi tengah jalan dan terbalik di garisan putus-putus di tengah jalan.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam remuk teruk selepas dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.

“Terdapat enam mangsa iaitu tiga dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu.

“Pasukan bomba dengan PPE lengkap kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6.10 pagi.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya sementara yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sungai Bakap.

Muhammad Syafiq turut menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan unit forensik dengan kunjungan ahli keluarga penyerang bola sepak terbabit yang datang memberi sokongan.

Malah, Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut hadir menziarahi Muhammad Syafiq yang dilihat sugul dan kepenatan ekoran kemalangan yang menimpanya bersama ahli keluarganya.

Kedua-dua jenazah telah dibawa ke Pendang untuk dikebumikan di sana.

Kredit: Astro Awani &  Metro

**Nak cuci mata sambil bersantai di rumah, ini pilihan yang berbaloi.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy