“Semua Anak Kena Tolong” Ibu Ini Kongsi Cara ‘Dengki’ Dengan Anak, Didik Anak Disiplin

Share

Didik anak melakukan kerja rumah boleh dilakukan seawal usia 2 tahun. Ketika umur anak memasuki usia 2 tahun, ajar dia lakukan kerja rumah yang mudah seperti letak baju kotor di dalam bakul, sampah perlu buang di dalam tong sampah. Didik anak tentang kerja rumah mengikut usia yang sesuai. Apabila anak terbiasa didik tentang tanggunjawab, mereka akan mudah melakukan kerja-kerja rumah tanpa perlu dipaksa.

Penglibatan anak dalam menguruskan rumah sangat penting, ajak mereka bersama-sama lakukan tugasan rumah seperti yang dikongsi oleh ibu ini.

Artikel Menarik: Tak Keluar Rumah Pun Ibu Risau Kesihatan Anak. Ini Apa Yang Boleh Dibuat

Ibu-ibu, Jom ‘dengki’ dengan anak-anak.

Saya pernah melihat ada ibu yang mempunyai 5-6 orang anak remaja. Tetapi ternyata ibu seorang diri sahaja yang tunggang-langgang di dapur dari pagi sampai ke malam. Terutamanya bulan puasa seperti sekarang. Pedih tumit ibu berdiri di dapur, tetapi anak-anak sedang bergelak tawa melayan Tiktok di dalam bilik.
Nahi, nahi, nahi.

Jangan sebegitu ibu-ibu yang baik hati. Tanam dalam hati, kita mesti ‘dengki’ degan anak-anak tak kira lelaki atau perempuan. Jika dapat dimulakan dari kecil lagi bagus.

Ini cara ‘dengki’ saya kepada anak-anak:

1. Jika saya masuk ke dapur, jangan harap anak-anak boleh terperap di dalam bilik bersuka ria. Semua mesti turun padang.

2. Kemudian saya akan mula memberi arahan. Aisyah, kupas bawang besar tiga biji, halia, bla, bla, bla. Aminah tolong bersihkan taugeh tu. Adam, ambilkan untuk umi kuali 2 biji dan periuk satu. Begitulah contohnya. Jika ada barang-barang yang baru dibeli saya akan minta mereka simpan ke tempatnya.

3. Ketika sedang memasak pula, saya menjadi chef hebat. Saya memasak sahaja dan memberi arahan sepenuhnya kepada anak-anak saya. Misalnya, umi nak air asam jawa. Ambilkan tempoyak untuk umi. Umi nak santan. Kerisik please. Ambil minyak zaitun sekejap. Tolong isikan bekas kayu manis dan bunga lawang yang kosong tu.

Teknik ini amat-amat-amat baik. Ibu-ibu cubalah. Anak-anak akan peka dengan susun atur dapur kita. Mereka tahu di mana kita simpan kerisik, cili kering, rempah-ratus dan segala bagai lagi.

Yang kedua mereka akan kenal yang mana halia, yang mana lengkuas, tempoyak, cengkih dan macam-macam lagi. Semakin hari mereka akan semakin pandai.

4. Selepas siap memasak satu menu, saya letakkan di atas meja. Saya suruh mereka hidangkan. Lalu mereka akan bertanya. Nak hidang dalam bekas yang mana umi?

Waktu ini saya akan mengajar lagi. Kata saya jika masakan berkuah, mangkuk hidangan mesti dalam. Jika kuah sedikit atau kering bekas hidangannya nipis. Alhamdulillah, sekarang mereka sudah kurang bertanya mungkin disebabkan sudah faham sikit-sikit.

Setiap kali menceduk lauk ke dalam bekas, saya lihat mereka akan saling mengingatkan supaya tepi-tepi mangkuk mesti dilap sebelum dihidangkan.

5. Selepas memasak biasanya saya akan mencuci semua pinggan-mangkuk di sinki. Kemudian saya tinggalkan kepada mereka untuk membersihkan meja kerja, menyimpan kembali semua bahan lebihan memasak, mengelap dapur dan lantai. Saya sudah berehat di ruang tamu. Yang penting ketika saya masuk ke dapur nanti, dapur mesti berkilat!

Waktu ini big boss akan masuk ke dapur untuk membereskan tugasan seperti menguruskan sampah dan sebagainya.

6. Selepas makan, saya dan big boss hanya mengangkat pinggan kami sahaja. Kemudian Aisyah, Aminah dan Adam akan uruskan yang selebihnya. Selalunya saya lihat Aisyah bahagian menyimpan makanan lebihan ke dalam bekas bertutup untuk disimpan. Aminah bahagian mencuci pinggan-mangkuk. Adam mengemas meja dan lantai. Sekejap saya semuanya sudah selesai.

Kejam tak cara saya ‘berdengki’ dengan anak-anak? Tetapi saya rasa biarlah saya kejam dan dengki sebegitu supaya mereka tahu untuk membawa diri. Seperkara lagi saya tidak mahu anak-anak saya menjadi raja dari kecil hingga ke tua.

Ibu-ibu yang lain bagaimana?

Jika apa yang saya kongsikan ini dilihat ada manfaatnya, bolehlah kita mulakan dari sekarang. Mula sikit-sikit, insyaallah lama-lama mereka hadam. Saya memulakan teknik didikan ini setahun dua yang lalu.

Kadang-kadang mengapa teknik ini gagal? Kerana kita tidak adil. Kita kerah angah, sedangkan along, acik, adik dan lain-lain kita biarkan terbongkang di depan tv. ‘Dengki’ kita mesti melibatkan semua yang berada di bawah bumbung yang sama secara sama rata.

Kesimpulannya, di tangan kita ibu-ibu ada pena. Walau bagaimanapun sikap anak-anak, kita yang telah melukis corak tersebut. Betul tak?

Kredit : Busseroa Abd Jalil

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

 

Published by
NuFa