Bukan mudah menjadi ibu bapa. Apatah lagi untuk menjadi ibu bapa yang baik dan cemerlang. Ia bukan sesuatu yang boleh dicapai tanpa sebarang usaha.
Untuk menjadi ibu bapa hebat, menuntut kita mencari ilmu dan melakukan banyak pengorbanan.
Bermula sejak dari awal kandungan, kelahiran dan sehinggalah mereka mencapai umur yang matang. Tugas mendidik anak adalah satu proses yang berterusan, bukan bermusim
Sebagai ibu bapa, cabaran sangat besar dalam membesarkan dan mendidik anak secara sempurna kerana ilmu parenting ini sangat luas untuk dikuasai.
Namun ia bukanlah mustahil. Untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak, kita perlu bersedia dengan:
Ilmu yang mencukupi
Menjadi model yang terbaik
Tetapi anda mungkin tertanya-tanya:
Bagaimanakah anda boleh dapat dan belajar setiap ilmu parenting yang diperlukan dalam mendidik anak saya?
Proses pendidikan anak bermula sejak dari kandungan lagi. Ya, ia bermula sejak dari awal lagi.
Mempunyai anak bijak dan berakhlak adalah impian semua ibu-bapa. Ibu bapa perlu memberikan perhatian yang penuh pada bakal bayi yang bakal lahir
Bagaimana ia dilakukan? Semestinya perkara ini dimulai oleh ibu dan bapa itu sendiri.
Tingkah laku dan perasaan ibu semasa mengandung membawa impak besar terhadap watak dan perwatakan anak dalam kandungan.
Walaupun Islam telah lama menekankan tentang pendidikan yang bermula sejak bayi dalam kandungan, tapi jarang antara kita mengambil perhatian tentang perkara tersebut.
Semasa mengandung, kita dinasihatkan agar mengamalkan perkara-perkara yang digalakkan dalam Islam.
Antaranya adalah:
-Mengamalkan solat wajib dan sunat -Mengamalkan zikir -Membaca al quran -Membaca buku buku ilmiah -Berbual dengan anak dalam kandungan -Menjaga adab pergaulan dan emosi -Tidak tertekan atau stress -Lakukan kerja kerja ringan di rumah -Makan makanan yang baik dan halal serta suci -Buang segala perasaan dendam, dengki, menghasut dan sebagainya -Sentiasa senyum dan bersabar -Terdapat banyak penyelidikan mengenai kesan suara seorang ibu kepada anak yang dikandung dalam rahim.
Apabila seorang ibu membaca dengan kuat, suaranya mempunyai kesan menenangkan pada bayi yang belum lahir atau bayi yang baru lahir.
Adalah lebih baik, jika ibu itu dapat membaca ayat al-Quran untuk diperdengarkan kepada bayi di dalam rahim.
Ini kerana, bayi amat kenal dengan suara ibu mereka. Oleh itu, adalah disarankan untuk ibu yang sedang mengandung melazimi 7 Surah Amalan Ibu Mengandung Ini. Semua ini memberi kesan ke atas keperibadian anak.
Ibu yang baik akan melahirkan anak yang patuh perintah Allah.
Jika anda ingin melahirkan generasi pencinta agama dan taat pada ibu bapa, amalkanlah amalan-amalan mulia sepanjang kehamilan.
Selain daripada memberi manfaat kepada bayi dalam kandungan, amalan-amalan ini juga akan turut membantu kepada si ibu itu sendiri sepanjang proses kehamilan.
Ia secara tidak langsung akan membuatkan si ibu lebih tenang, kuat dan bersedia untuk menghadapi proses bersalin.
Ads
Sebagai panduan, anda boleh mengamal membaca doa mudah bersalin ini.
Bagaimana Mendidik Anak Dengan Betul Sepanjang Proses Pembesaran Mereka?
Sebagai ibu bapa kita pasti mahu membuat yang terbaik untuk anak-anak. Itu adalah pasti.
Mendidik anak bukan sekadar proses spontan yang berlaku secara semulajadi, namun merupakan amanah yang amat didorong oleh syarak.
Tidak dinafikan bahawa manusia secara semulajadinya mahukan anak mereka menjadi orang ‘baik’.
Walau jahat sekali pun seorang ibu bapa, hati kecilnya tetap mahukan si anak menjadi orang yang berguna dan taat.
Naluri semujadi manusia akan menggerakkan dirinya untuk mengasuh dan mendisiplinkan anak-anak.
Dalam Islam, mendidik dan mendisiplinkan anak-anak bukan sekadar terbit daripada kemahuan naluri, bahkan ia adalah satu tuntutan agama.
Firman Allah:
Dan hendaklah engkau menyuruh ahli keluargamu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.. (Surah Thaha ayat 132)
Solat yang dinyatakan dalam ayat di atas menjadi simbol kepada tema pendidikan anak yang dikehendaki oleh agama.
Solat menjadi tapak kukuh kepada pembangunan kecemerlangan individu.
Dalam solat terkandung ketaatan, disiplin, kesabaran, kawalan perlakuan, penyucian jiwa, ketajaman tumpuan akal serta kepatuhan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Sebagai panduan, terdapat beberapa cabang ilmu parenting dalam Islam yang harus kita ketahui:
-Pendidikan Akidah
-Pergaulan
-Jasmani
-Pendidikan Emosi
-Pembentukan Pemikiran
-Memupuk Adab & Akhlak
-Kita harus maklum bahawa soal pendekatan boleh berubah-ubah mengikut peredaran zaman, namun prinsip-prinsip asasi pendidikan anak tetap sama.
Ads
Secara Ringkas Mengenai Setiap Cabang Ilmu Parenting Ini:
1. Memberi Didikan Akidah
Perkara pertama dan utama dalam pendidikan anak-anak muslim adalah pendidikan iman.
Iman ialah teras pembangunan insan setiap manusia. Iman adalah senjata dan santapan rohani yang disediakan oleh Yang Maha Mencipta untuk menyinari jiwa makhluk-Nya yang bernama manusia.
Iman ialah modal terbesar yang menentukan jatuh bangunya seorang insan bahkan menentukan masa depan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.
Asas-asas keimanan meliputi keyakinan kepada Allah, rasul, malaikat, akhirat, kitab serta qadak dan qadar.
Pendidikan keimanan ini memerlukan pendedahan bijaksana dan ingatan berterusan, lebih-lebih lagi kerana melibatkan perkara-perkara ghaib.
Usah bertangguh untuk mendedahkan anak-anak dengan akidah dan iman.
Mereka sudah boleh menerima didikan iman sejak kecil mengikut tahap kemampuan mindanya.
2. Didikan Adab & Akhlak
Akhlak yang baik sebenarnya bermula daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya.
Anak yang bersopan menjadi penyejuk mata kepada ibu bapa dan orang lain. Tingkahlakunya mendamaikan hati sesiapa yang melihatnya.
Bercakap dengannya akan menarik perhatian dan menggembirakan hati.
Antara adab-adab yang perlu diterapkan dalam diri anak adalah:
Berakhlak Mulia – segan, mulia diri
Memisahkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan
Cara duduk – elakkan daripada duduk bersilang kaki hadapan orang dewasa dan meletak tangan di bawah dagu (menongkat dagu)
Mengajar anak batasan aurat dengan ajnabi dengan tidak tidak membiasakan melihat maksiat dan menonton filem-filem yang mendedahkan aurat
Menjaga lidah – tidak berbohong, tidak menyembunyikan kesalahan dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat
Antara kejayaan besar ibu bapa adalah apabila anak-anak dapat memiliki akhlak dan kesopanan yang tinggi baik dalam berbicara, di hadapan rezeki dan di khalayak ramai.
3. Didikan Membina Pemikiran
Keluarga Islam adalah keluarga yang mengutamakan ilmu.
Ibu bapa sebenar akan menjadikan ilmu sebagai elemen penting dalam pembentukan keluarga.
Ads
Akal fikiran anak-anak yang putih bersih memerlukan pengisian yang murni. Akal itu mendambakan kesungguhan ibu bapa untuk mewarnakannya dengan warna fitrah.
Asas kecemerlangan dalam pemikiran ialah mempunyai ilmu yang mantap dan kemahiran berfikir yang hebat.
Tidak dinafikan, ilmu akademik adalah penting dalam dunia hari ini. Namun sebaiknya kita mengisi jiwa anak kita dengan mengenal al-Quran terlebih dahulu.
Selain itu, anak-anak perlu diajar menjadi proaktif bukannya sekadar reaktif.
Pemikiran dan sikap proaktif yang perlu dibentuk oleh ibu bapa adalah:
Anak-anak perlu mengerti matlamat hidupnya
Setiap apa yang disuruh kepada anak-anak perlu dinyatakan sebabnya
Mengajar anak-anak agar jangan cepat merungut dan menyalahkan orang lain
Dibentuk melalui latihan kepada anak-anak untuk membuat keputusan
Anak-anak perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap masa depan dirinya, tidak suka menuding jari menyalahkan orang lain dan berupaya untuk membuat keputusan sendiri.
Inilah sifat proaktif yang perlu disemai dalam diri mereka.
4. Didikan Kecerdasan Emosi
Selain daripada membina kekuatan pemikiran anak-anak, ibu bapa juga perlu serius untuk membentuk emosi cemerlang dalam diri anak-anak.
Antara perkara utama yang perlu dipupuk ialah pembinaan keyakinan diri anak-anak.
Keyakinan diri ialah perasaan yang teguh dalam dalam jiwa seseorang yang meletakkan kepercayaan tinggi bahawa dia boleh berjaya, lantas menjadikannya bersemangat dan berani untuk melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.
Di sini adalah panduan untuk membina keyakinan diri dalam diri anak-anak:
Anak-anak perlu dibiasakan dengan budaya dan adab bicara dengan tetamu dan orang yang diziarahi.
Galakkan anak berinteraksi dengan berani dan bebas
Ibu bapa perlu mendorong anak-anak agar mengambil bahagian aktif di sekolah, baik dalam kelas mahupun dalam aktiviti kokurikulum
Galakkan mereka bertanya soalan kepada guru, memberikan pendapat serta terlibat aktif dalam aktiviti sekolah.
Jika berpeluang doronglah mereka menyertai pertandingan atau persembahan supaya mereka menjadi berani dan tidak malu
Perasaan malu boleh dikikis dengan latihan dan pendedahan berterusan oleh ibu bapa.
Usaha pendidikan begini bukan sahaja untuk kebaikan ibu bapa itu, bahkan juga untuk maslahat ummah yang memerlukan penggerak dan pemimpin ummah yang berkesedaran serta cemerlang.
Kesimpulan: Kejayaan Mendidik Anak Juga Bergantung Bagaimana Anda Menjadi Role Model. Kejayaan dalam mendidik anak bukanlah bergantung kepada ilmu parenting semata-mata.
Apa yang paling penting adalah kita sendiri menjadi contoh atau role model, dan mengamalkan sendiri apa yang kita terapkan kepada anak-anak.
Sebagai contoh kita mahukan anak kita menjadi seorang rajin, tetapi kita sendiri sering menangguhkan kerja dan selalu menghabiskan masa dengan smartphone ataupun rancangan TV.
— Jika anda sendiri gagal mendidik diri, bagaimana anda boleh mengharapkan anak menjadi lebih baik dari anda?
Kelakuan kita adalah sumber utama pembelajaran anak kita.
Mereka akan meniru segalanya tentang kita, daripada cara bercakap sehinggalah apa yang kita bagaimana ke saat kita tidur. Segala baik dan buruk kita akan diserap oleh mereka.
Ibu bapa yang pintar sentiasa cuba menyesuaikan setiap ilmu parenting yang dipelajari dengan keperluan situasi anaknya, dan memperbaiki kaedah didikan mereka dari masa ke semasa.
Murah rezeki bukan soal duit semata-mata. Anak yang baik, mertua yang memahami, jiran yang selalu membantu, kereta yang tak pernah rosak, dapat solat jemaah sama-sama, makan yang tak pernah putus dan paling tidak masih dapat melihat suami dan isteri itu hidup bersama juga adalah rezeki.
Sebab itu, dalam hidup kita seharian kena sentiasa bersyukur dan saling memahami. Jangan sebab salah seorang buat hal, seorang lagi akan tarik muka. Bila jadi begini, anak-anak akan turut terkesan.
Bagaimana nak pastikan suami isteri sentiasa murah rezeki, Penulis Ilmu Keibubapaan, Firdaus Mokhtar pesan ini yang kena buat selalu.
1. Makan sama-sama. Ini yang kita kena buat selalu. Lagi-lagi pasangan yang suami isteri bekerja. Masa yang ada cuma masa balik daripada kerja dan dua-dua dah penat.
Balik dengan emosi. Balik dengan masalah tempat kerja dan kerja yang tidak selesai. Apa pun berlaku, cari masa untuk makan bersama. Walau pun cuma makan biskut kering bersama. Huhu.
Kalau tak larat nak masak lepas balik kerja, ajaklah pasangan keluar makan di luar. Itu pun dah ada waktu makan bersama.
2. Layani anak-anak dengan penuh kemesraan. Bila dah ramai anak, biasalah ragam mereka juga berbagai-bagai. Seorang macam ini, seorang macam itu. Yang pertama ajak main, yang kedua ajak makan, yang paling kecil ajak tidur. Serentak semuanya. Kahkah.
Ini normal. Santuni anak-anak elok-elok. Banyakkan bercakap dengan mereka. Bagi logik supaya mereka belajar untuk berfikir.
“Adik tu dah lama jaga, lama juga dia main tadi. Adik dah penat tu bagi ayah tidurkan adik dulu ya. Abang Ngah baru bangun tidur ada tenaga banyak lagi. Pergi tolong mak sekejap. Adik tidur nanti ayah tolong abang Ngah buat kerja tu.”
Kena sangat-sangat sabar. Mereka tak tahu apa lagi.
3. Beri panggilan yang baik untuk suami dan isteri. Dalam situasi apa sekali pun, tenang atau pun konflik. Kemesraan panggilan kena kekalkan.
Dan bila isteri panggil, suami jawablah elok-elok. Pandang muka isteri dan senyum. Hah, begitu.
4. Beri isteri duit belanja sekali pun isteri ada pekerjaan dan ada gaji sendiri. Benar zaman ini zaman suami isteri bekerja. Suami ada pendapatan, isteri juga sama. Banyak juga berlaku gaji isteri lebih besar.
Tak kesah hal itu, ambil berkat beri isteri sedikit duit belanja. Sekali pun cuma RM10.
Yang isteri bila dapat duit daripada suami ucapkan terima kasih. Ambil cara elok dan senyum juga. Iya sama, sekali pun cuma RM10. Huhu.
5. Selalu tenangkan hati pasangan ketika resah. Seorang suami pasti faham dan tahu emosi isteri yang sedang resah. Begitu juga bagi seorang isteri.
Rupa kerut dahi yang mencantumkan kening suami itu pasti dia tahu sebab apa. Punyalah hebat isteri ini. Maka, tenangkan. Ajak bersembang dan mungkin berjalan.
Kalian, semua ini adalah perkara yang merapatkan lagi kasih sayang antara suami isteri. Dan memang itulah rahsianya. Kalau kalian nak rumah tangga kalian murah rezeki, kena tingkatkan kasih sayang antara tonggak utama rumah tangga itu.
Suami dan isteri kena sangat menzahirkan kasih sayang. Maka dengan itu rezeki akan datang sebanyak-banyaknya.
Namun ingat juga ya, rezeki bukan soal duit semata-mata. Anak yang baik, mertua yang memahami, jiran yang selalu membantu, kereta yang tak pernah rosak, dapat solat jemaah sama-sama, makan yang tak pernah putus dan paling tidak masih dapat melihat suami dan isteri itu hidup bersama juga adalah rezeki.
Melenting dan marah memang tidak dapat lari bila berhadapan dengan anak-anak yang membuat kesalahan berulang kali. Tapi apakah perkara ini betul untuk dilakukan kepada anak kecil yang masih sedang mempelajari tentang dunia ini menerusi bermain dan mencuba?
Perkongsian daripada kaunselor Puan Farhan ini benar-benar membuka mata supaya tidak terlalu bersangka negatif kepada si kecil. Siasat dan tanya dulu sebelum marah!
Sebagai manusia yang normal, kita suka bersangka sangka. Kadang kadang sangkaan kita itu menyebabkan kita selalu melihat perkara negatif dalam diri anak anak.
Kita sangka apa yang kita lihat dan fikir itu selalu benar, walaupun hakikatnya tidak semua sangkaan kita itu benar.
BANYAK KERENAH TAPI PERLU BERSANGKA BAIK
Setiap hari, dalam berhadapan dengan anak anak, terlalu banyak kerenah mereka yang kita harus hadapi. Sampai satu tahap kita susah mahu bersangka baik dengan anak anak.
PERISTIWA 1: BUKA PINTU PETI SEJUK LAMA
Pada suatu hari saya sedang sibuk memasak di dapur. Kemudian melihat anak saya membuka peti ais dan berdiri lama di depan pintu.
Kemudian, apa yang terjadi, saya marah dia kerana sangkaan saya dia mahu bermain main sahaja.
“Kakak, jangan main dalam peti ais, nanti rosak peti ais tu!”
Saya menegur dia dengan suara yang agak tinggi. Kemudian, anak saya pandang muka saya dan dengan muka yang sayu. Dia berkata
“Kakak lapar lah ibu, nak makan”
Alahai, rupanya lapar nak makan.
Saya sudah bersangka yang buruk kepada anak saya, rupa rupanya dia lapar. Mungkin sudah tidak faham sangat menunggu makanannya disediakan.
PERISTIWA 2: CURAH MAKANAN IKAN BANYAK & IKAN MATI
Saya teringat juga satu peristiwa di mana anak saya telah memasukkan makanan ikan dengan banyaknya ke dalam akuarium.
Perbuatan itu telah menyebabkan air keruh dan ada ikan yang mati.
Sangka saya, dia buat itu suka suka dan memang ada niat yang tidak baik pada ikan ikan tersebut. Saat itu saya rasa sangka kecewa dan marah. Namun, ketika itu saya sabar dan bertanya kenapa dia melakukan perbuatan itu.
Kata anak saya, dia sebenarnya mahu beri ikan makan. Ikan nampak lapar, tetapi entah bagaimana penutup makanan ikan itu terbuka dan tumpah lah makanan ikan dengan banyak.
Ketika saya dengar penjelasan dia saya terdiam. Begitu banyak sangkaan buruk kepada perbuatannya itu. Sedang hakikatnya dia sebenarnya ingin memberi ikan makan dan bukannya sengaja ingin membuat ikan tersebut mati.
IBU AYAH PERLU BERSANGKA BAIK SUPAYA DIDIKAN LEBIH BERHIKMAH
Dalam mendidik anak, kita perlu banyak meletakkan sangkaan baik kepada mereka.
Anak kacau kita solat sebenarnya dia nak solat bersama, tapi belum tahu bagaimana untuk melakukannya.
Anak suka lawan kita mungkin kerana kita selalu berkasar pada mereka.
Bermula dengan sangkaan yang baik lah kita akan semakin rajin memberi nasihat dengan lembut dan berhikmah dalam mendidik anak-anak.
TANPA SANGKA BAIK, KITA AKAN SELALU NAMPAK BURUK ANAK
Tanpa sangka baik kita akan sentiasa nampak keburukan pada anak anak. Walau kita berdoa, kita selitkan kemarahan kita, nasihat pun selalu diberi dengan bebelan yang menyakitkan.
Selalu selitkan dalam doa kita:
“Ya Allah, aku tahu anak aku baik, anak aku soleh solehah. Jika dia berbuat silap atau salah mungkin dia tidak sengaja atau dia belum mampu untuk mengawal dirinya, berilah kekuatan untuk aku melihat kebaikan dalam setiap perbuatan anak anak”
SANGKA BAIK & SABAR AKAN DIBERI GANJARAN BESAR, BERLAPANG DADALAH IBU AYAH
Saya faham nak bersangka baik dengan anak bukan mudah. Kita akan selalu rasa anak kita nakal, menyusahkan, menyakitkan hati, tak dengar kata.?
Namun, ingatlah satu perkara, Ibu bapa yang sentiasa memandang kebaikan pada anaknya, bersangka baik dan bersabar atas setiap perbuatan anak anak akan diberi ganjaran yang cukup besar.
TIADA ADA ANAK YANG NAKAL, YANG ADA HANYA ORANG TUA YANG TIDAK SABAR
“Tidak ada anak yang nakal, yang ada hanyalah anak yang belum tahu. Tidak ada anak yang nakal, yang ada hanyalah orang tua yang tak sabar. Tidak ada anak yang nakal, yang ada hanyalah pendidik yang terburu-buru melihat hasil.”
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai ibu ayah tanpa sedar buat kesilapan beri nama anak baru lahir. Pelbagai nama dipilih untuk diberi pada anak tersayang yang bakal lahir tapi jangan sampai buat kesilapan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh anak tersebut.
Selama ini mungkin kita fikir pemilihan nama untuk anak sudah menepati ciri-ciri yang digariskan dalam Islam. Asalkan nama ada pangkal Nur, Siti atau Muhammad maka dah baguslah nama anak. Tak pun asalkan nama ada bunyi macam Arab, kita fikir ia sudah membawa makna yang bagus.
Sebenarnya ada banyak perkara yang kita mungkin terlepas pandang dan seeloknya kita ambil kira selepas membaca info yang ditulis oleh Puan Dhuha Rashidi, penulis khat wanita terkenal ini di laman facebook beliau.
Semoga ia boleh menjadi panduan berguna kepada semua yang bakal bergelar ibu ayah dalam membuat pemilihan nama untuk anak yang bakal lahir.
Kat sini saya kongsikan tujuh kesilapan awal yang perlu kita tahu. Hah, bila kita dah tahu , mestilah kena share pada orang pulak kan.
#1. Letak nama panjang sangat.
Aduh, sentap mak nak. Orang dulu kasi nama senang je sebut. Latifah. Aminah. Rohani. Gitu kan.
Zaman canggih ni nama anak pun canggih. Takpe je canggih asalkan ada makna yang baik. Dirujuki. Bukan ikut sedap.
Memadailah satu perkataan je. Ataupun dua perkataan. Elakkan memberati nama anak panjang sampai 4 ke 5 perkataan. Yang anehnya, akhirnya nama panggilannya pendek sahaja. Bila panjang-panjang ni maksudnya pun boleh bercampur-campur. Allahu.
#2. Letak nama dalam isim fa’eil atau memberi erti ‘nama pekerjaan’.
#3. Nama macam ada makna tapi rupanya… tak ada makna. Sebab ejaan sepatutnya lain. Tapi dieja lain.
Contoh : Zaleha , tiada makna. Mungkin asalnya adalah Zulaikha. Kata info yang dibaca, Zulaikha ni juga asal nama Israelliyyat.
#4. Dah bagi nama panjang , panggil pendek pulak.
Tak salah tapi boleh silap jika… haaa, dah panggil pendek , makna nya pulak jadi tak elok. Katalah namanya Ezani . Dipanggil Zani je. Nak senang sebut. Padahal maknanya ‘lelaki zina’ . Nauzubillahiminzalik.
#5. ‘NUR’ bukan untuk perempuan.
Fuh, ni sentap terus menusuk jantung mak. Kita selalu letak nama anak ada Nur kat depan untuk perempuan. Rupanya, Nur ni untuk lelaki. Yelah kalau ikut Bahasa nya begitulah hukumnya. Kalau perempuan apa patutnya? ‘Naurah’ atau ‘Munawirah’ . Gitu ke pak ustaz.
#6. Letak nama yang tak lengkap.
Nama tak lengkap ni contohnya seperti Syamsul. Khairul. Badrul. Fakhrul.
Ada nama yang diidhafatkan (maksud idhafat ni salah satu dari dua proses binaan frasa nama dalam B.Arab)
Bila dah bubuh Syamsul je, jadi tak lengkap la. Huruf L (alif lam dalam arabnya) kat belakang tu tidak bersandar kepada apa-apa perkataan selepasnya. Kalau ikut Bahasa Arab memang tak betul lah.
Yang betulnya Syamsul Arif. Fakhrur Radhi. Gitu ha.
#7. Sekadar nak bunyi macam Arab padahal…
Ayoookk, hati-hati sangat. Ada segelintir ibu bapa yang asalkan ada bunyi Arab kira dah sedap dan islamik. Tak melihat pada apa maknanya.
Contoh nama Faiq Al Khannas . Makna AlKhannas tu bermaksud Syaitan.
Contoh lain Al Marid ,juga bermaksud Syaitan.
Memang kena hati-hati dalam pemilihan nama.
Ini la dia tujuh point awal yang saya nak kongsi. Ada banyak lagi point penting kesilapan yang kita tak sedar, kita perlu tahu sama-sama okey.
Kalau dah takde nak berbaby lagi pun, satu masa akan bercucu. Jadi, penting juga untuk tahu.
Nama ni kan DOA. Beri nama maksid baik InshaAllah membentuk identiti dan sifat untuk anak berdasarkan nama yang diberi.
Kenapa nama yang baik itu penting. pada hari kiamat nanti ,kita akan dipanggil guna nama kita dan bapa kita.
#8 . Nama yang memberi makna tak elok.
Dikongsikan, Nabi s.a.w pernah menukar nama sahabatnya Zaham yang bermaksud menyibuk atau menganggu kepada Basyir (bermaksud berita gembira)
Ini contoh nama yang punyai makna tidak elok.
a) Hazan (kesedihan)
b) Hazin (seorang lelaki yang sedih)
c) Zani (lelaki penzina)
d) Zaniah (perempuan penzina)
e) ‘Asiah ( wanita penderhaka)
f) Wati (persetubuhan)
g) Azli (celaanku)
h) Azlan (celaan)
#9 . Letak nama dari Asmaul Husna.
Disebabkan kurang pengetahuan, terjadilah kesilapan pada sesetengah orang. Beranggapan bubuh nama-nama Allah moga anak jadi baik. Eh, ada tau yang berfikiran macamni.
Sedangkan, ia adalah Asma’Nya yang tidak layak dijadikan ‘tanda’ kepada makhluk.
Contohnya : Azali , Muhaimin
#10 . Makna yang terlalu sempurna.
Contohnya pada nama : Khairunnisa’ bermaksud sebaik-baik wanita.
Khairur Rijal (sebaik-baik lelaki)
Kesudahannya, akan menjadi satu bentuk pemikiran, orang selalu menyebut “nama punya lah cantik, sebaik-baik, tapi perangai macam hantu” . Ini kerana orang dah menganggap nama itu adalah ‘kesempurnaan’ pada empunya nama.
#11 . Nama yang mengangkat diri sendiri.
Bila baca point ni, macam tak percayakan? Ada ke nama yang mengangkat diri sendiri? Rupanya ada akak abang sekalian.
Nabi s.a.w sendiri ada menukar nama seseorang dari Barrah (yang sangat baik) kepada Zainab.
Kiranya itu bermakna nama yang macam ‘mengaku’ diri sangat baik.
#12 . Ada unsur syirik
Lagi seram ! Mohon hati-hati para ibubapa bila nak bubuh nama anak. Ditakuti ada unsur syirik.
Contoh seperti : Abdul Manaf : Hamba berhala Manaf
Ghulam ‘Ali : Hamba Ali.
#13 . Nama yang dipengaruhi budaya barat.
Contoh :
Isaac – asalnya Ishak je weh ! (Nama Nabi)
Harry – asalnya Khairi (kebaikanku)
#14 . Maksud yang tidak jelas
Contoh :
a) Syamsul Bahri (matahari lautan)
b) Atan (keldai betina)
c) Haikal (rumah berhala, kerangka, lembaga)
d) Jamalullail (keindahan malam)
#15 . Tak beri apa-apa makna disebabkan salah sebut atau ejaan.
Contoh :
a) Sukri (kemabukanku) sepatutnya : Syukri (kesyukuranku)
b) Sya’ari (buluku) sepatutnya : Asy’ari
c) Nordin (tiada makna) sepatutnya :Nuruddin (Cahaya Agama)
d) Kadir (keruh) sepatutnya Abdul Qadir (hamba kepada yang Maha Berkuasa)
#16. Gabungan nama yang salah.
Orang sekarang (kita ni lah) suka beri nama anak sampai 4-5 perkataan tapi gabungannya salah atau tak kena pada tempatnya.
Contoh : Nurhafizah (tidak membawa apa-apa maksud dari segi Bahasa Arab)
Contoh gabungan betul :
Nur hayati : Cahaya Hidupku
Nur ‘Aini : Cahaya Mataku
#17 . Nama yang diambil dari kisah yang tidak pasti kebenaran.
Contoh : Zulaikha.
‘Zulaikha’ yang kononnya menjadi simbolik percintaan dan kasih sayang yang kekal berpanjangan bersama Nabi Yusof yang terkenal dengan ketampanannya.
Kata Maulana Asri Yusoff lagi, inilah kekarutan yang direka. Ia memberi kesan kepada masyarakat hingga ramai ibubapa menamakan anak dengan nama ini. Juga dijadikan doa dalam kad perkahwinan.
Lagi haru, ada ibubapa berpemikiran, moga dengan memberi nama itu, anaknya si ‘Zulaikha’ dapat bertemu lelaki kacak tampan beragama satu masa nanti.
Inilah dia sepuluh point yang Dhuha mahu ramai tahu, dikongsikan oleh Sheikhul Hadith Maulana Asri bin Yusoff.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa je yang tak nak hubungan suami isteri sentiasa bahagia, penuh kasih sayang dan rasa dihargai, kan? Setiap pasangan pasti impikan rumahtangga yang penuh...