Kesihatan

Sengkenit Bila ‘Melekat’ Pada Kulit Memang Bahaya, Boleh Sebabkan Muka Lumpuh & Hati Bengkak

Share

Awas bila sengkenit melekat pada tubuh. Bukan sahaja menyakitkan tetapi juga boleh mengundang bahaya. Mungkin anda pernah keluar berjalan-jalan di kebun dan bila balik ke rumah, anda rasa kurang selesa. Atau mungkin anda akan rasa lemah-lemah badan?

Jika ya, pastikan anda memeriksa bahagian anggota badan yang anda dan anak anda rasa kurang selesa. Anda perlu fahami fakta ini supaya anda tahu apa yang perlu dilakukan jika mengalaminya.

Berikut perkongsian daripada Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

“Doktor, telinga saya ada tumbuh benda hitam ni. Sakit dia, berdenyut-denyut. Rasa macam bisul.”

“Apabila saya periksa, rupanya ada sejenis kutu yang melekat di cuping telinganya.”

Kutu babi di cuping telinga.

Kutu ini dikenali sebagai kutu babi, sengkenit (cikenit), atau tempiras (pirah). Kutu ini adalah sejenis parasit luaran kecil. Ia menggigit kulit hos dan melekat di situ untuk jangka masa lama untuk menghisap darah. Setelah menghisap darah, saiznya berganda.

Parasit ini biasanya hidup pada tubuh haiwan liar dan peliharaan seperti burung, kucing, anjing, tikus, dan kemudiannya berpindah kepada manusia. Mungkin juga dari persekitaran.

Kutu babi di kelopak mata.

Sekiranya anda ada ke kawasan hutan, belukar, kebun, atau ada menyentuh haiwan, maka anda disarankan memeriksa tubuh anda.

Kutu babi lazimnya menggigit manusia di anggota berikut:

◾️kelopak mata
◾️kulit kepala
◾️cuping/lubang telinga
◾️ketiak/ kelengkang
◾️pusat

Kutu yang telah menghisap darah berupa buntil kelabu kehitaman, dan permukaannya berkilat. Kadang kala, di sekitar kutu itu melekat, terdapat butir-butir hitam yang kecil. Itu adalah najis kutu berkenaan.

Kutu babi di kulit kepala.

Apabila kutu babi ini menggigit serta melekat pada anggota tubuh, maka kulit di kawasan itu akan terasa sakit, merah dan bengkak. Kadang kala menyebabkan demam, lesu dan ruam.

Jika tidak dibuang dengan segera, beberapa komplikasi serius boleh berlaku kerana air liur kutu ini kadang kala mengandungi kuman-kuman berbahaya.
Perbezaan saiz sebelum dan selepas menghisap darah.

Perbezaan saiz sebelum dan selepas menghisap darah.

Antara komplikasinya:

◾️Lyme disease
◾️facial palsy (lumpuh muka)
◾️hepatomegaly(bengkak hati)
◾️kematian

Kutu babi di dalam telinga. Bintik hitam adalah najis. Sumber: Klinik Aafiyah Batu Berendam

Kutu babi di dalam telinga. Bintik hitam adalah najis. Sumber: Klinik Aafiyah Batu Berendam

Bahaya bukan? Oleh itu, kita perlu kenali kutu ini, periksa tubuh setelah lakukan aktiviti di kawasan belukar serta melibatkan haiwan. Berjumpalah dengan doktor jika digigit kutu babi. Semoga bermanfaat!

Sumber kredit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Published by
Has