Saat melihat perkembangan anak, itulah detik indah yang akan menjadi kenangan buat kita sebagai ibu ayah. Alangkah seronoknya melihat anak membesar, apa lagi dengan pencapaian baru mereka setiap hari. Bermula dengan masa mereka mulai belajar meniarap, duduk, merangkak, berdiri, bertatih dan berjalan, semuanya membuatkan kita teruja.
Begitu juga dengan pasangan influencer media sosial, Ryzal Ibrahim dan Maryam apabila mereka berkongsi video si comel Rina mula berdiri dan belajar mengimbangkan tubuhnya. Dalam video tersebut, Rina dilihat dapat berdiri sendiri buat seketika sambil diperhatikan ayahnya.
Sekejap saja masa berlalu, anak pun cepat membesar. Terasa seperti baru semalam melahirkan tetapi hari ini dah macam-macam benda yang dia boleh buat. Memang seronok bila tengok anak membesar depan mata kan?
Jom, meriahkan Pa&Ma Gala 2022 Reunion X TYT dan anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik! Sharing istimewa dari Dayah Bakar & Tasha Manshahar tentang cara penjagaan anak serta demo urutan istimewa dari Aunty June (TYT).
Membekukan makanan bayi adalah tip mudah yang boleh menjimatkan masa ibu dalam menyediakan makanan untuk si manja.
Semua ibu ingin menyediakan sendiri makanan untuk bayi mereka. Jika boleh ibu mahu memberikan makanan yang dimasak sendiri berbanding makanan bayi segera.
Bagi ibu yang bergelar suri rumah tentu sahaja ia tidak menjadi masalah tetapi bagi ibu yang bekerja, kadangkala kekangan masa membataskan ibu untuk menyediakan makanan bayi setiap hari.
Jangan risau tentang hal tersebut, ada penyelesaiannya di mana ibu tetap boleh menyediakan makanan bayi setiap hari dan dalam masa yang sama boleh menjimatkan masa. Bagaimana?
Pernahkah anda terfikir untuk menyimpan stok makanan bayi seperti mana membekukan stok susu ibu perahan dalam peti sejuk? Bolehkah?
Tahukah anda, kita sebenarnya boleh menyejukbekukan makanan bayi sebagai stok yang boleh menjimatkan masa penyediaan. Tetapi sebelum membuat stok makanan bayi sejuk beku anda perlu tahu beberapa perkara penting.
Ini kerana perut bayi lebih sensitif berbanding orang dewasa, jadi kita perlu mementingkan kebersihan ketika menyediakan makanan bayi.
1. Apa jenis makanan boleh beku?
Ketahui jenis makanan yang boleh dibekukan. Antara buah-buahan yang boleh dibekukan adalah epal, pir, pisang, sayur-sayuran pula seperti brokoli, kacang peas, kentang, labu dan sebagainya lagi.
2. Penyimpanan
Biarkan dahulu makanan yang sudah dimasak itu sejuk, kemudian masukkan dalam bekas-bekas kecil yang berpenutup atau bekas khas untuk membekukan makanan bayi.
Jika menggunakan bekas ais batu, setelah makanan membeku, alihkan ia ke dalam freezer bags dan simpan kembali ke dalam peti ais bahagian sejuk beku. Jangan lupa keluarkan udara yang ada di dalam plastik tersebut sebelum ia dimeterai.
3. Proses membekukan makanan
Simpan puri makanan yang hendak dibekukan ke dalam bekas ais yang mempunyai tutup supaya tiada bakteria masuk ke dalamnya.
4. Pentingnya label
Labelkan tarikh makanan disediakan pada makanan beku bayi. Kaedah sejuk beku ini dapat bertahan sehingga empat ke enam bulan tetapi untuk makanan bahan berprotein seperti ayam, ikan dan daging ia hanya bertahan sehingga dua bulan. Bagaimanapun seeloknya habiskan dalam masa kurang sebulan.
5. Had masa
Makanan bayi yang belum dibekukan hanya boleh berada di dalam peti sejuk (bukan tempat dingin beku) maksimum selama 48 jam sahaja.
6. Tak lebih 2 jam
Sekiranya mahu sejukkan makanan bayi sebelum dikisar menjadi puri, pastikan tidak melebihi dua jam dalam suhu bilik kerana bimbang akan membiakkan bakteria ke dalam makanan.
7. Jangan beku semula
Jangan bekukan semula makanan yang sememangnya sudah beku. Ia dikecualikan bagi makanan mentah beku yang boleh dibekukan apabila sudah dimasak. Contohnya kacang pis beku yang sudah dimasak boleh dibekukan.
8. Panaskan tak lebih sekali
Jangan panaskan makanan lebih daripada sekali.
9. Cara memanaskan makanan beku
Untuk menghidangkan semula makanan yang disejuk beku, anda hanya perlu merendamnya ke dalam air suam atau air biasa atau biarkan sahaja berada pada suhu bilik selama beberapa ketika.
10. Tak habis, buang sahaja!
Jangan simpan semula sisa makanan beku yang sudah dipanaskan tetapi tidak habis dimakan oleh bayi anda.
Mudah bukan? Jika anda mengikut dengan betul langkah untuk membekukan makanan bayi, sudah tentu anda dapat menjimatkan masa menyediakan makanan sihat si manja. Paling penting anak tersayang dapat makan makanan berkhasiat air tangan ibu sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pentingnya belaian kasih sayang dari seorang ibu terhadap anak dari awal usia sehingga ia dikatakan mampu memberi kesan positif pada perkembangan bahagian otak si kecil.
Satu kajian yang dilakukan mendapati, pendidikan awal yang diterima oleh anak sejak awal usianya boleh membantu si kecil untuk membangunkan bahagian otak (hippocampus). Ia adalah bahagian otak yang penting untuk proses pembelajaran, daya ingatan dan tindak balas tekanan
Para penyelidik yang menjalankan kajian terhadap anak tikus mendapati belaian dan kasih sayang yang diberikan seawal usia anak, memberi kesan positif terhadap pertumbuhan hippocampal, penghasilan sel otak dan keupayaan untuk berurusan dengan stres.
Kajian terhadap anak manusia pula menemui perkaitan di antara pengalaman awal sosial dan jumlah amygdala, yang membantu mengawal pemprosesan dan ingatan reaksi emosi.
Banyak kajian juga mendapati kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang biasanya akan mempunyai prestasi yang baik ketika bersekolah dan mempunyai emosi yang baik.
Imej otak mendedahkan kasih sayang ibu secara fizikal memberi kesan kepada jumlah isipadu hippocampus (bahagian otak) anak.
Dalam kajian tersebut, kanak-kanak yang mendapat bimbingan ibu mempunyai isipadu hippocampal 10 peratus lebih besar berbanding kanak-kanak yang ibunya kurang memberi bimbingan.
Kajian telah mencadangkan satu hubungan antara hippocampus yang besar dengan daya ingatan yang lebih baik.
“Kami sekarang berkeyakinan memberitahu yang persekitaran psikososial mempunyai kesan material dalam pembangunan otak manusia,” kata Dr. Joan Luby, ketua penyelidik dan Pakar Psikiatris di Washington University School of Medicine di St. Louis, Mo.
“Sememangnya fakta betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak memberi kesan positif terhadap perkembangan mereka tidak boleh dipertikaikan lagi.”
Bagaimana Kasih Sayang Ibu Mengubah Otak Anak
Penyelidikan itu adalah sebahagian daripada projek berterusan untuk mengesan perkembangan kanak-kanak yang mempunyai kemurungan peringkat awal.
Luby dan para penyelidik mengukur sokongan keibuan yang anak – berusia antara 3 hingga 6 tahun dan mempunyai sama ada gejala kemurungan, gangguan psikiatri lain atau tiada masalah kesihatan mental – terima ketika itu yang dipanggil “waiting task.”
Penyelidik meletakkan ibu dan anak di dalam sebuah bilik bersama hadiah yang dibungkus menarik dan satu kaji selidik yang ibu perlu jawab. Kanak-kanak tidak dibenarkan membuka hadiah tersebut dalam tempoh lima minit – pada asasnya sehingga ibu mereka selesai menjawab soalan kaji selidik.
Sekumpulan pakar psikiatris, yang tidak tahu apa-apa tentang kesihatan kanak-kanak atau pembawaan ibu bapa, memberikan markah jumlah sokongan yang ibu berikan kepada anak masing-masing.
Seorang ibu yang betul-betul menolong akan memujuk si anak, menerangkan kepada anak yang mereka perlu menunggu beberapa minit untuk melihat hadiah tersebut dan dia faham situasi tersebut sangat mengecewakan anak.
“Tugasan itu menggambarkan situasi sebenar setiap hari,” beritahu Luby kepada LiveScience, bermakna ia memberikan gambaran kepada penyelidik berapa banyak sokongan yang diterima oleh anak di rumah.
Penyelidik Lihat Hasil Selepas 4 Tahun
Kini, selepas empat tahun berlalu, para penyelidik membuat imbasan MRI (magnetic resonance imaging) kepada 92 orang kanak-kanak yang melalui “waiting task” tersebut.
Dibandingkan antara kanak-kanak yang tiada kemurungan dengan sokongan keibuan yang tinggi, kanak-kanak tanpa kemurungan dengan sokongan keibuan yang rendah mempunyai 9.2 peratus jumlah hippocampal yang lebih kecil.
Sementara kanak-kanak yang kemurungan dengan sokongan keibuan yang tinggi dan rendah masing-masing mempunyai 6.0 dan 10.6 peratus jumlah hippocampal yang lebih kecil.
Walaupun 95 peratus ibu bapa dalam kajian itu adalah ibu kandung anak, penyelidik mengatakan bahawa kesan pendidikan di otak mungkin tetap sama untuk mana-mana penjaga utama kanak-kanak yang menerima rangsangan itu.
Luby dan pasukannya akan terus mengikuti perkembangan kanak-kanak tersebut sehingga mereka dewasa, dan bercadang untuk memerhatikan bagaimana bahagian otak lain turut terkesan oleh pendidikan ibu bapa semasa tahun pra sekolah mereka.
“Kini jelaslah, pendidikan awal yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bukan hanya baik untuk perkembangan anak, tetapi sebenarnya perubahan otak secara fizikal,” kata Luby.
Kajian ini telah diterbitkan secara online dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
Ibu ayah akan membeli apa sahaja yang ditawarkan di pasaranasalkan ia boleh melindungi anak. Termasukkan produk yang dikatakan anti HMFD.
Bagi memberikan penjelasan kepada pengguna, Kementerian Kesihatan memberikan penjelasan kepada tuntutan produk tersebut yang didakwa boleh membunuh serta merta 99.99% virus penyakit tangan, kaki dan mulutr (HMFD) sedangkan ia hanya digunakan pada bahagian luaran badan semata-mata.
Berikut kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini berkenaan penjelasan tentang produk itu.
Kenyataan Akhbar KPK 8 Ogos 2018 – Penjualan Produk Anti HFMD/Flu Spray Berjenama Thymos
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima aduan mengenai produk Anti HFMD/Flu Spray yang berada di pasaran iaitu produk penyahjangkitan atau pembunuh kuman (disinfectant) yang mendakwa dapat memberi pertahanan sepenuhnya daripada virus Hand Foot and Mouth Disease (HFMD) dan Influenza A.
Produk ini diperbuat daripada mineral yang diaktifkan (activated minerals) dan syarikat pengeluar telah dengan jelas melabelkan bahawa ianya boleh membunuh dengan serta merta 99.99% virus-virus HFMD dan Influenza A. Produk ini adalah untuk kegunaan luaran dan kaedah penggunaan adalah dengan menyembur produk ini pada baju, permukaan, permainan dan juga topeng (mask).
Buat masa ini, pihak syarikat didapati membuat tuntutan anti HFMD yang tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh menunjukkan tuntutan tersebut adalah berkesan seperti dilabelkan. Namun begitu, memandangkan produk ini tidak digunakan secara langsung pada manusia, maka produk ini bukanlah di bawah kawalan KKM dan tiada keperluan untuk pendaftaran di bawah agensi berkaitan di bawah KKM.
Atas keperluan untuk memastikan masyarakat tidak keliru terutama ketika penularan jangkitan HFMD yang melanda negara, pihak syarikat telah dinasihatkan untuk mengeluarkan tuntutan Anti HFMD/Flu bagi pasaran di Malaysia dan menggantikan dengan tuntutan yang lebih umum serta bersesuaian di label produk bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam.
KKM ingin mengingatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada produk ini. Orang awam disarankan untuk mengamalkan lima (5) perkara utama dalam pencegahan dan kawalan HFMD, iaitu:
Penjagaan kebersihan diri;
Amalan cuci tangan yang betul;
Penjagaan kebersihan persekitaran;
Pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) taska/tabika/tadika/pra-sekolah; dan
Disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar.
Cuti sekolah ini pasti ada yang mengambil kesempatan nak khatankan anak. Memang tak dinafikan kaedah sekarang buatkan luka pada tempat khatan sembuh dengan cepat, tapi untuk ibu yang pertama kali nak jaga anak berkhatan, tentu ada gusarnya.