Isteri pelakon popular, Datuk Adi Putra, Datin Aida Yusof akui reda dan percaya Allah sebaik-baik perancang untuknya dan suami dalam menantikan rezeki kehadiran cahaya mata walaupun sudah lebih 14 tahun berkahwin.
Aida berkongsi kisahnya yang sangat menyentuh hati itu menerusi video temu bualnya bersama majalah Nona baru-baru ini.
Video pendek yang dikongsi menerusi akaun Instagramnya itu memaparkan kisahnya yang sebelum ini pernah menjalani kaedah rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim atau in-vitro (IVF) sebanyak empat kali.
“Sepanjang 14 tahun berkahwin, jujurnya saya dah pernah buat IVF empat kali… Tiga kali mengandung kembar dan yang terakhir sekali triplet.
“Suami banyak beri semangat. Selagi belum ada rezeki kami akan terus cuba. Saya ambil semangat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Dia tunggu 11 tahun untuk dapatkan zuriat.
“Saya reda. Walaupun tak dikurniakan anak, saya sudah ada dua orang anak angkat,” kongsinya.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen, rata-rata pengikutnya mendoakan agar Aida dapat memperolehi zuriat seperti yang diidamkan selain memberikan kata-kata semangat.