Makan malam merupakan waktu makan utama dan sama penting seperti sarapan dan makan tengah hari.
Makan malam sering kali diabaikan oleh sesetengah daripada mereka yang ingin mengurangkan berat badan. Pada tanggapan mereka, makan malam boleh mengakibatkan mereka menambahkan berat badan. Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat. Ini kerana faktor-faktor lain seperti makan secara berlebihan, makan makanan yang berlemak, berminyak serta tinggi kalori dan gaya hidup yang sedentari boleh menyumbang kepada kegemukan.
Kepentingan makan malam
Makan malam penting untuk membekalkan tenaga dan nutrien untuk keperluan tubuh badan. Pengambilan makanan yang teratur penting untuk memastikan tubuh badan mendapat tenaga dan nutrien yang diperlukan untuk berfungsi dengan normal. Makan malam melengkapkan pengambilan makanan yang mungkin tidak mencukupi di siang hari seperti pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan susu.
Selain daripada kepentingan biologi, makan malam juga penting untuk memenuhi fungsi psikologi dan sosial. Sekiranya ibu bapa bekerja di siang hari, makan malam adalah penting untuk merapatkan kemesraan di antara ahli keluarga. Ini kerana waktu makan malam mungkin merupakan satu-satunya masa untuk bersama ahli keluarga yang lain.
Ads
Bagi fungsi psikologi pula, makan malam mungkin adalah salah satu cara untuk merehatkan fikiran selepas seharian berdepan dengan pelbagai masalah terutama bagi mereka yang bekerja.
Benarkah makan malam boleh mengakibatkan berlebihan berat badan?
Salah satu faktor yang menyumbang kepada berlebihan berat badan adalah pengambilan makanan yang melebihi keperluan. Pengambilan makanan harian boleh dibahagikan kepada beberapa hidangan dalam sehari termasuk makan malam.
Oleh itu, makan malam yang sihat dan tidak melebihi keperluan kalori harian tidak akan mengakibatkan berlebihan berat badan.
Ads
Apa yang penting adalah jumlah kalori yang diambil dalam sehari, tidak kira sama ada semasa sarapan, makan tengah hari ataupun makan malam.
Namun begitu, makan malam sering kali dikaitkan dengan masalah kegemukan disebabkan oleh beberapa faktor:
Makan malam biasanya masa untuk berkumpul bersama ahli keluarga. Kajian mendapati makan dalam kumpulan yang ramai mempengaruhi saiz hidangan. Kita akan makan lebih banyak semasa makan bersama orang lain daripada makan bersendirian.
Sesetengah orang, terutama wanita, suka melangkau(skipping) waktu makan semasa di siang hari. Melangkau sesuatu waktu makan boleh menyebabkan kelaparan yang tidak terkawal dan membuat seseorang itu makan berlebihan terutama semasa makan malam.
Makan malam juga mungkin dijadikan sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan selepas seharian berhadapan dengan pelbagai masalah. Bagi sesetengah orang, makanan dijadikan sebagai bahantara untuk melepaskan tekanan dan melupakan segala masalah yang dihadapi. Ini akan mengakibatkan pengambilan makanan secara berlebihan.
Ads
Waktu malam adalah waktu yang digunakan untuk berehat dan bersantai untuk melepaskan kepenatan setelah seharian bekerja. Masa rehat ini mungkin digunakan untuk menonton televisyen. Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan perkaitan antara menonton televisyen dengan masalah kegemukan.
Ini kerana semasa menonton, kita akan cenderung mengambil makanan yang tinggi lemak dan kalori seperti ais krim, coklat, kerepek, keropok dan sebagainya.
Kredit: Myhealth
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bahaya yang mendatang ditambah dengan penyebaran pelbagai virus membuatkan ramai mak ayah jarang membawa anak-anak keluar rumah. Alasannya kerana takut dengan virus yang bertebaran. Begitu juga dengan alasan kotor dan menyukarkan mak ayah untuk membersihkan anak-anak.
Kenyataan ini benar namun pilihlah tempat yang sesuai supaya anak-anak diberikan kebebasan untuk bergerak, selamat dan selesa serta paling penting dapat didedahkan dengan aktiviti luar sekaligus depat menyedut udara yang lebih segar.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, sekali-sekali dedahkanlah mereka dengan dunia luar. Aktiviti fizikal sebenarnya dapat meningkatkan ketahanan tubuh anak serta meningkatkan imun mereka.
Jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini, anak anak kini tidak banyak berpeluang bermain di luar. Hanya duduk di rumah dan langsung tidak terdedah dengan cahaya matahari.
Rasa takut terhadap kekotoran dan penyakit telah mendorong ibu bapa enggan mendedahkan anak dengan persekitaran di luar rumah.
Tidak dinafikan kebersihan adalah SANGAT PENTING, tetapi terlampau bersih juga tidak begitu baik untuk perkembangan ketahanan tubuh anak.
Ini mengehadkan atau membantutkan peluang anak untuk didedahkan kepada pelbagai jenis mikrob ‘baik’ untuk melatih sistem imunnnya untuk bertindak sewajarnya kepada rangsangan.
Oleh itu, jangan simpan anak dirumah, sekali sekala dedahkan mereka dengan dunia luar. Tapi jangan pula sampai mengabaikan kebersihan.
Ini yang disarankan oleh Public Health Malaysia.
Pendedahan kepada persekitaran luar akan merangsang ketahanan tubuh yang lebih kuat serta mengimbangi bakteria baik dan jahat.
Apa mak ayah patut lakukan?
1. Bawa anak nikmati alam, taman rekreasi, hutan dan bukit.
2. Biarkan anak bermain dan menyentuh binatang dan haiwan peliharaan.
3. Banyakkan buah dan sayuran dalam menu harian.
4. Kerap bermain di luar rumah.
5. Elakkan penggunaan antibiotik secara kerap.
6. Dedahkan dengan cahaya matahari.
7. Wajib vaksin!
8. Pilih prebiotik dan Probiotik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perasaan rindu pada anak syurga yang telah pergi buat selamanya sukar dipadam dari dalam hati seorang ibu yang tabah melalui dugaan. Puan Hamidah Tajuddin berkongsi pengalaman membesarkan anak Sindrom Downnya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser Leukimia.
Sepanjang kehamilan tiada sebarang masalah membuatkan dia dan suami menyangka segalanya berjalan lancar. Sehinggalah tiba hari melahirkan bayi, baru diketahui anaknya mengalami pelbagai komplikasi seperti jantung berlubang, jaundis yang teruk, jangkitan paru-paru dan yang paling terkejut disahkan Sindrown Down.
“Selepas melahirkan, suami hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu hal sebenar. Dia hanya cakap anak okey. Esoknya saya hairan kerana menunggu suami datang tetapi tak kunjung tiba. Lalu doktor yang bertugas memberitahu hal tersebut. Waktu itu sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata perasaan ketika itu. Bayangkan 13 tahun yang lalu, masalah Sindrom Down tidak terlalu ketara dibandingkan dengan sekarang.
Jadi saya rasa tak boleh nak hadapi dan uruskan anak ketika itu. Sampaikan darah tinggi saya naik dan ditahan di wad sedangkan sebelum ini saya tiada masalah darah tinggi dan kencing manis. Bukan kerana saya menolak takdir tetapi saya tidak tahu bagaimana nak uruskan anak istimewa ini.
Apabila petang baru suami sampai dan dia cakap memang dah tahu anak kami istimewa. Dulu waktu saya mengandung 7 bulan, suami ada mengerjakan umrah dan di depan Kaabah, terlintas bayangan anak. Tetapi suami tak ceritakan pada saya. Hanya selepas anak kami lahir baru dia cerita.
Dua hari saya tak pegang atau tengok anak ketika itu. Sehingga suami suruh ambil dan susukan anak. Dia nak saya rasakan apa perasaan sebagai seorang ibu. Terus saya menangis dan apabila memangku Muhammad Syukur, rasa kasih sayang seorang ibu tiba-tiba ada. Saya dakap dan cium dia dengan sepenuh hati,” ujar ibu kepada Muhamad Syafiq, Muhamad Syauqi, Muhamad Syaqir, Farah Shuhada, Farah Shahida dan Muhamad Syukur.
Umur 5 tahun sudah boleh membaca
Ketika dalam pantang tiada masalah menjaga bayi kerana anaknya sangat baik cuma Syukur lebih banyak tidur berbanding menyusu menyebabkan payu daranya bengkak.
“Saya tak pantang sangat sebab keluar masuk hospital kerana Syukur kena jaundis yang teruk. Satu hari kawan suami datang dan beritahu dia juga ada anak istimewa dan katanya tak ada masalah untuk menguruskan mereka.
Jadi saya tetapkan azam dalam masa 5 tahun saya nak all out dengan anak. Saya sekolahkan dia umur 6 bulan di Kiwanis Down Syndroem Foundation. Selepas 44 hari pantang, saya ke Kiwanis, dan ke IJN serta Persatuan Sindrom Down Malaysia. Di Kiwanis ramai anak-anak yang sama dengan anak saya. Daripada situ, semangat saya kian bertambah cuma saya sedih sebab anak orang lain hanya bermasalah Sindrown Down, anak saya siap ada jantung berlubang lagi.
Umur 1 tahun 7 bulan anak saya menjalani pembedahan dan nampak lubang di jantungnya membesar. Alhamdulillah pembedahan tersebut berjaya. Selain itu saya juga bawa anak ke sekolah khas. Anak-anak istimewa ini susah untuk bercakap dan ambil ambil masa, jadi saya tidak harapkan sekolah semata-mata.
Sebaliknya di rumah pun saya ajar anak. Anak-anak istimewa ini lebih mudah dan cepat tangkap kalau kita gunakan Bahasa Inggeris. Saya guna flash card kerana ia sangat membantu. Malah, waktu dalam pantang lagi saya sudah praktikkan. Umur 5 tahun anak saya sudah boleh membaca,” ujar Hamidah yang memberitahu tak perlu kos tinggi jika ibu bapa kreatif, sebaliknya dia menggunakan manila kad untuk buat sendiri flash card.
Anak didiagnos kanser
Reda dan mampu menerima anaknya Sindrown Down, sekali lagi ujian melanda pasangan ini bila mana Syukur didiagnos menghidap kanser .
“Waktu bersekolah di Putrajaya ketika umurnya 7 tahun, tiba-tiba Syukur demam. Waktu itu rasa sesuatu tak kena. Kami bawa ke hospital selepas nampak tanda bintik-bintik merah dan lepas ambil darah, doktor tengok keputusan darahnya rendah dan itu petanda ada kanser. Selepas keluar result doktor beritahu Syukur ada penyakit Leukimia.
Ketika di dalam ambulans nak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya bisik pada diri mulai hari ini, bermulalah episod anak saya sebagai pesakit kanser. Sudahlah dia sindrown down, sekarang bertambah penyakit lain. Bermula dari hari itu, Wad KK3, HKL ibarat rumah kedua kepada saya.
Di wad kanser, rupanya ramai kanak-kanak yang menghidapi pelbagai jenis kanser. Saya berkenalan dengan ramai ibu bapa pesakit kanser kanak-kanak dan kami seperti satu keluarga dan saling menyokong antara satu sama lain. Ramai juga dari ibu bapa ini yang berdepan dengan pelbagai masaalah semasa anak-anak mereka menerima rawatan di HKL.
Jadi, daripada situlah saya tubuhkan kumpulan sokongan kerana kasihan dengan ibu bapa yang masih muda dan tiada sumber kewangan. Dalam masa yang sama mahu beri mereka kekuatan dan tertubuhlah Kumpulan Ibu bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS)” ujar Hamidah sambil memberitahu sambutan diterima baik dan setakat ini sudah ada hampir 500 orang ahli di dalam kumpulan tersebut.
IQ tinggi
Setiap kali anaknya masuk wad, hati ibu gundah gulana dan sentiasa berdoa supaya Tuhan masih panjangkan umurnya dan beri kesempatan pada dirinya untuk membesarkan anak syurga itu.
Walaupun Syukur tidak bersekolah, tetapi tahap IQnya cukup tinggi. Tanyalah apa sahaja pasti Syukur boleh jawab. Malah, dia juga pandai Google sendiri tanpa perlu diajar. Waktu umurnya masuk 11 tahun, doktor beritahu kansernya sudah tiada dan sebagai ibu memang gembira dan bersyukur tak terkata.
“Tapi, kegembiraan itu tak panjang apabila Syukur lagi sekali diserang kanser pada usia 12 tahun. Tuhan mahu menduga kami lagi dan doktor cakap tiada harapan. Bayangkan kimo yang perlu Syukur lakukan 3 kali ganda lagi kuat dari sebelum ini.
Sekali buat kimo, Syukur terus dimasukkan ke ICU dengan ulser penuh di mulut, muntah darah dan sebagainya. Sedih hati sebagai ibu apabila melihat keadaan dia ketika itu. Tapi Syukur seorang yang kuat dan dia jugalah yang menjadi sumber kekuatan saya untuk melalui semua ini.
“Disebabkan dia tak boleh makan, jadi saya kisar bubur dan guna sringe suapkan dia. Bila dia tak boleh makan saya nangis dan terus dia cakap Mummy don’t cry Mami, I’m strong. Lepas tu dia sapu air mata di pipi saya,” cerita Hamidah.
Kanser Merebak Dalam Darah
“Arwah mula disahkan relapse pada bulan September tahun lalu di mana kansernya dapat di kesan dalam darah. Mula-mula kami pelik dia sakit pinggang. Tiga minggu lepas tu baru dapat tahu bila ambil darah yang kanser dia ada dalam darah sebanyak 50%. Dari mula dia sakit pinggang, dia tak boleh berjalan sehingga arwah meninggal.
Doktor beritahu kansernya tidak boleh dirawat lagi dengan kaedah kimoterapi kerana dia sudah banyak kali membuat rawatan tersebut. Ini kali kedua dia relapse. Dari situ kami rasa tertekan dan memang sedih sebab dia telah banyak melalui kimoterapi tapi masih tidak sihat. Tapi bila kami fikir, itu semua kuasa dari Allah.
Kami bangkit dan nekad akan buat yang terbaik untuk cari rawatan lain selain dari datang ke HKL untuk transfuse darah dan platelet. Dalam masa 3 bulan tu kami memang 100% uruskan dia. Alhamdulillah anak-anak lain beri sepenuh perhatian dan turut membantu menguruskan adik dengan penuh kasih sayang.
Semua adik-beradik rapat dengan adik mereka. Semua yang adik inginkan akan dituruti cuma masa 3 bulan tu kesihatan Syukur mula merosot. Setiap 3 hari blood count dia mesti drop dan akan ke HKL untuk masuk darah dan platelet. Kadang-kadang mulut keluar darah dan sentiasa sakit perut kerana hati dan limpa mula membengkak.”
Akhirnya Syukur pergi tinggalkan Mummy
Selesai rawatan tiba-tiba kanser Syukur menyerang kali ke-2 pada bulan September lalu sehingga dia meninggal dunia pada 26 November 2018 ketika berusia 13 tahun.
“Ketika itu kami sudah tak boleh buat apa lagi. Bila sakit, Syukur akan dibawa ke HKL. Pada dua minggu sebelum Syukur pergi buat selamanya, dia dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit.
Bermula dari situ berat badannya turun kerana tiada selera makan dan tak boleh nak makan solid food. Dia hanya minum air dan makan bubur sahaja. Semasa akhir hayatnya, langsung dia tidak menunjukkan tanda yang akan meninggalkan kami Cuma dia selalu cakap yang dia saying dan rindukan Mummy dan Ayah.
Di awal dia sakit dia selalu cakap terima kasih kerana lahirkannya. Tiga jam sebelum dia meninggal masih bercakap lagi dan panggil ayah dan cakap adik sayang Ayah, adik sayang Mummy,” cerita Hamidah dalam nada sayu.
Hamidah menganggap Syukur anak yang sangat menyenangkan hati dan tak banyak mengeluh bila sakit. Arwah selalu minta Mummy dan Ayah serta keluarga mendoakan dia cepat sembuh tapi perancangan Allah adalah yang terbaik.
“Kami nampak dan rasa dia kritikal hanya beberapa jam sahaja, Allah permudahkan dia pergi. Memang senang,” akhiri Hamidah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selebriti Terkenal, Neelofa mendedahkan bahawa dia dan suami, Hariz Ismail pada awalnya memilih nama anak pertamanya, Sulaiman sebelum menukar nama tersebut kepada Muhammad Bilal yang kini sudah berusia 11 bulan.
“Kalau nak tahu, nama pertama saya cadangkan pada suami untuk Bilal sebenarnya adalah Sulaiman”
“Saya sangat suka nama Sulaiman tu. Malah dah ada pun beberapa hadiah yang kakak saya bagi ada tulis Baby S (Sulaiman)”
“Akhirnya Kita tukar nama kepada Bilal”
Perkara tersebut dikongsi dalam salah satu episod program Next To Neelofa 2 yang menampilkan tetamu, Oki Sentiana Dewi, pelakon dari Indonesia.