Sesiapa Pernah Terkena Cacar Air Atau Kayap Ada Potensi Untuk Mendapat Sindrom Ramsay Hunt.

Share

Sindrom Ramsay Hunt adalah gejala yang disebabkan oleh herpes zoster yang menjejaskan saraf muka.

Sindrom ini juga mempunyai nama lain, seperti geniculate zoster, herpes zoster oticus, dan herpes geniculate ganglionitis.

Selain ruam, Ramsay Hunt boleh menyebabkan kelumpuhan muka dan kehilangan pendengaran pada telinga yang dijangkiti.

Sindrom Ramsay Hunt disebabkan oleh varicella-zoster, virus yang sama yang menyebabkan cacar air dan kayap.

Punca kepada sindrom ini adalah Varicella Zoster. Virus yang menyebabkan radang pada saraf muka (Facial nerve).

Sebab itu muka pesakit jadi tidak simetri, sukar untuk senyum dan tak boleh tutup mata.

Ada berbagai lagi komplikasi buruk yang boleh berlaku seperti hilang pendengaran, Ulser kornea, hilang penglihatan, tindak balas saraf yang tidak normal, contohnya apabila anda tersenyum mata menjadi tertutup, kesakitan berterusan.

Rawatan terdiri daripada:

1. Steroid yang boleh mengurangkan radang pada saraf tersebut
2. Antivirus

Dengan rawatan awal peluang untuk sembuh adalah sangat tinggi.

Punca Ramsay Hunt

Menurut Pertubuhan Kebangsaan untuk Penyakit Jarang (NORD), punca utama sindrom ini ialah varicella-zoster, virus yang sama yang menyebabkan cacar air dan kayap.

Varicella-zoster dipercayai menjangkiti saraf muka yang berdekatan dengan telinga. Seseorang yang telah menghidap cacar air dan pulih, mungkin masih mempunyai sisa virus dalam saraf muka.

Gejala Sindrom Ramsay Hunt

Menurut laman Mayo Clinic, sindrom Ramsay Hunt mempunyai dua simptom utama.

Pertama, ruam merah yang menyakitkan dengan benjolan berisi cecair di dalam dan di sekeliling telinga.

Kedua, lumpuh di bahagian muka yang dekat dengan telinga yang dijangkiti.

Biasanya, ruam dan lumpuh muka berlaku serentak. Bagaimanapun, salah satu gejala juga boleh muncul terlebih dahulu.

Manakala dalam kes lain, ruam mungkin tidak berlaku. Sebagai tambahan kepada dua gejala utama, mereka yang mengalami Ramsay Hunt juga mungkin mengalami perkara berikut:

  • Sakit telinga
  • Gangguan pendengaran
  • Telinga berdengung (tinnitus)
  • Sukar menutup sebelah mata
  • Sensasi berputar atau bergerak (vertigo)
  • Perubahan dalam deria rasa atau kehilangan keupayaan untuk merasa makanan
  • Mulut dan mata kering

Sindrom Ramsay Hunt memberi kesan kepada lelaki dan wanita dalam kuantiti yang sama. Menurut NORD, 5 daripada setiap 100,000 orang di Amerika Syarikat mengalami sindrom ini setiap tahun.


Sesiapa yang pernah menghidap cacar air atau kayap mempunyai potensi untuk mendapat sindrom Ramsay Hunt.

Walau bagaimanapun, setakat ini, majoriti kes telah berlaku pada orang dewasa yang berumur lebih dari 60 tahun. Sindrom ini juga diperhatikan jarang menyerang kanak-kanak.

Kredit: Dr Tengku, Pakar Bedah Telinga Tekak, Surgeri Kepala & Leher, Mayo Clinic

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa