Sunat bayi lelaki sudah menjadi kewajipan dalam budaya masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia. Namun, amalan sunat anak lelaki ini tidak lebih daripada sekadar memenuhi tuntutan agama dan juga budaya.
Persoalannya, adakah amalan sunat bayi lelaki ini benar-benar bermanfaat?
Ini yang dimaksudkan dengan sunat bayi lelaki
Sunat atau khatan bermaksud satu prosedur yang dilakukan bagi membuang kulit kulup yang terdapat pada kepala zakar bayi lelaki.
Apabila kulit kulup ini dibuang, maka bahagian hujung kepala zakar akan terdedah.
Di negara-negara Amerika Selatan, kebanyakan bayi lelaki akan disunat dalam tempoh 10 hari pertama selepas kelahiran.
Biasanya, ia hanya akan dilakukan dalam masa 48 jam sahaja selepas dilahirkan.
Manakala dalam budaya masyarakat Melayu, amalan sunat bagi lelaki lebih kerap dilakukan apabila mereka sudah mula mencapai umur kanak-kanak.
Apakah hukum mengkhatankan bayi lelaki?
Dalam Islam, hukum sunat bayi lelaki ini sebenarnya bergantung kepada mazhab yang menjadi pegangan sesuatu masyarakat atau negara.
Majoriti penduduk Islam di Malaysia berpegang kepada Mazhab Syafie, oleh itu kita boleh melihat hukum mengkhatankan bayi lelaki ini dari sudut pandangan yang telah ditetapkan oleh mazhab ini.
Dalam Mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib bagi kedua-dua lelaki dan juga perempuan.
Disunatkan untuk mengkhatankan bayi pada hari ketujuh kelahirannya.
Namun, ia mestilah melihat kepada tubuh atau keadaan fizikal bayi tersebut sebelum dia disunatkan agar tidak menyebabkan sebarang kesan buruk akibat daripada prosedur bersunat.
Dalam budaya masyarakat Melayu, biasanya sesuatu kenduri atau majlis kecil-kecilan akan dilakukan bagi menyambut hari berkhatan anak mereka.
Kenduri yang dianjurkan ini lebih bersifat kepada kenduri kesyukuran.
Amalan melakukan kenduri ini hanyalah satu amalan budaya masyarakat sahaja, dan bukanlah satu kewajipan dalam Islam.
Walaupun bukan satu kewajipan, ia merupakan satu usaha yang agak baik kerana kita bersedekah dengan cara memberi makan kepada orang lain.
Umur yang sesuai untuk sunat bayi lelaki
Untuk pengetahuan anda, sunat anak lelaki ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Ads
Ini bermaksud, anak anda boleh disunatkan tanpa mengira tahap umur mereka.
Di negara-negara Amerika Selatan atau Latin, sunat bayi lelaki biasa dilakukan sejurus selepas kelahiran si manja.
Namun, memandangkan proses berkhatan ini sedikit menyakitkan, bayi akan diberikan dengan bius setempat (local anesthetic) untuk memberikan rasa kebas pada bahagian kulup yang akan dibuang.
Bayi masih berada dalam keadaan sedar kerana bius yang diberikan hanya diletakkan di kawasan yang hendak dibuang.
Jika anda mahu mengkhatankan anak anda apabila mereka sudah agak dewasa, ia juga boleh dilakukan.
Namun memandangkan anak anda sudah agak dewasa dan lebih sedar berkenaan alat kelamin mereka, maka mereka mungkin akan mengalami kesan psikologi berkenaan prosedur berkhatan yang menyebabkan mereka berasa agak takut untuk menjalaninya.
Kebaikan sunat anak lelaki
Tahukah anda, ada beberapa manfaat atau kebaikan jika anda mengkhatankan anak lelaki anda sewaktu mereka masih bayi.
Antara kelebihan tersebut ialah memudahkan proses pembersihan kemaluan bayi.
Ads
Apabila bayi lelaki anda telah disunatkan, zakar mereka akan menjadi lebih mudah untuk dibersihkan.
Ini boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.
Selain itu, amalan berkhatan bayi lelaki boleh mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing (UTI) sehingga 90%.
Amalan berkhatan bayi juga boleh mengurangkan kejadian balanitis, iaitu sejenis jangkitan pada kelenjar atau kepala zakar.
Risiko untuk mengalami jangkitan pada kulit kulup atau posthitis akan semakin berkurangan.
Jangan terkejut jika amalan bersunat bayi juga boleh mengelakkan kejadian phimosis, iaitu keadaan di mana kulup tidak boleh ditarik yang menyebabkan kepala zakar menjadi ‘tercekik’.
Selain itu, apabila bayi ini sudah semakin membesar dan meningkat dewasa, berkhatan juga boleh memberikan beberapa kebaikan lain.
Cara berpantang selepas sunat anak lelaki
Bayi atau kanak-kanak yang telah berkhatan masih perlu menjalani beberapa pantang untuk memastikan mereka cepat sembuh dan tidak mengalami masalah lain.
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa ialah:
Pastikan mereka berehat sepanjang tempoh berpantang. Elakkan anak anda terlibat dengan sebarang aktiviti fizikal yang bersifat kasar atau lasak seperti menaiki basikal atau membonceng motosikal
Pastikan hujung kepala zakar sentiasa berada dalam keadaan yang kering dan bersih.
Bengkak pada peringkat awal sejurus selepas prosedur bersunat akan kembali surut dalam beberapa hari. Jadi, ingat, bayi anda mungkin memerlukan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 hari untuk sembuh dengan baik
Berikan anak anda (kanak-kanak sahaja) ubat tahan sakit seperti paracetamol jika perlu
Secara umumnya, sunat anak lelaki memberikan banyak manfaat kepada si kecil anda. Sunat bayi lelaki merupakan satu perkara yang wajib dalam agama Islam. Oleh itu, anda sudah boleh mula merancang bilakah mahu mengkhatankan anak anda.
Dengan teknologi perubatan moden, ibu bapa tidak perlu berasa risau atau ragu-ragu untuk mengkhatankan bayi lelaki lebih awal daripada biasa.
Sekelip mata berubah! Sebelum ini dialah penghibur hati keluarga namun setelah kejadian yang berlaku baru-baru ini semuanya bagai tak percaya Allah uji dengan ujian yang begitu besar.
Bermula dengan hanya terhantuk di kerusi ketika bermain dan benjol biasa sahaja, kini adik Muhammad Iman Al Khausar Bin Ismail dah tak mampu bermain dan banyak berdiam diri serta sesekali merengek sakit.
Menurut ibunya, Nursasabila Kamarulzaman, anak sulungnya ini seorang kanak-kanak yang sangat riang dan petah berkata-kata. Namun ketentuan Allah sudah tertulis, Allah uji kami dengan ujian yang langsung tak pernah pun terlintas di fikiran.
“Mama dan papa reda akan ujian Allah ini. Kami terima ujian ini dan percaya ada hikmah disebalik dugaan yang diberi.
“Hanya dengan terhantuk biasa sahaja di kerusi dan bukanlah jatuh di tempat yang tinggi atau terhantuk yang menyebabkan dia luka, segalanya berubah dalam masa dua minggu,” katanya.
Buat X-Ray Tapi Tiada Kecederaan Serius
Tambah Nursasabila, selepas kejadian itu, mereka suami isteri telah bawa Iman ke hospital untuk periksa keadaan kepalanya. Selepas ujian x-ray dibuat menunjukkan memang ada kesan benjol jatuh tapi tiada kesan retak atau kecederaan serius.
“Kami pulang dengan perasaan tenang tapi selepas seminggu Iman demam on off dan bawanya ke klinik swasta untuk rawatan dan diberikan antibiotik. Seminggu makan antibiotik, keadaan Iman masih lagi tak baik. Demamnya masih lagi on off.
Buat CT Scan Kesan Hantukan Kena Saraf Darah
“Jadi kami ambil keputusan untuk bawa Iman ke hospital semula untuk follow up kes Iman jatuh tu. Dalam tempoh itu nampak benjol dikepalanya makin besar sedikit dari sebelum itu.
“Sampai di hospital Iman terus dibawa ke bahagian kecemasan dan diletakkan di zon kuning. Selepas diperiksa darah, HB iman rendah dan ct scan dibuat. Kesan hantukan yang dialami Iman terkena betul-betul di saraf darah di kepalanya, jelasnya.
Hasil CT scan Iman menunjukkan memang ada pendarahan di dalam kepala Iman. Luluh dan remuk hati mama mendengar ape yang pihak hospital katakan. Iman terus dimasukkan ke wad dan bantuan darah diberikan.
Doktor Jumpa Ketumbuhan Di Depan Kepala & Belakang Bola Mata
Kongsi Nursasabila lagi, semasa di wad doktor ada memanggil kami untuk memaklumkan hasil CT scan yang dibuat tu juga ada dijumpai ketumbuhan di kepala bahagian hadapan dan dibelakang bola mata Iman.
“Ketumbuhan itu terjadi dari kelenjar yang aktif dan semakin teruk bila Iman demam dan darah dijangkiti kuman. Seminggu Iman di wad diberi antibiotik untuk membunuh kuman yang ada. Tapi Iman tetap demam.
“Jadi doktor cadangkan untuk ambil air sum-sum tulang belakang. Tujuannya diambil untuk mengenalpasti jenis kuman dan penyakit yang dialami Iman. Kami akan menunggu keputusan dari pihak hospital walaupun ia pahit untuk ditelan.
“Mama dan papa berharap agar keputusan yang diterima adalah keputusan yang mengembirakan dan Iman akan dirawat dengan secepatnya,” katanya.
Mohon doa orang ramai
Sebagai ibu bapa, tiada apa yang kami harapkan. Hanya doa orang ramai diperlukan sekarang ini untuk beri kekuatan pada Iman melawan sakitnya dan sembuh seperti biasa.
Mungkin doa dari anda semua akan dimakbulkan dan urusan Iman juga dipermudahkan untuk kembali hidup normal seperti kanak-kanak lain.
Disaat kita dilanda dengan pelbagai musim penyakit yang membimbangkan kini, ada baiknya kita mengamalkan gaya hidup sihat bersama anak-anak dan keluarga.
Namun jangan dilupakan soal pemakanan yang sihat dan segar untuk anak dan keluarga kerana makanan yang baik memberikan khasiat berganda.
Salah satu amalan terbaik ketika anak tidak sihat seperti demam atau selesema adalah pengambilan Bone Broth khusus untuk menguatkan sistem tubuh anak.
Jika tak punya masa untuk memasak pada tempoh yang lama, apa kata sediakan singgang ikan atau sup ayam sahaja buat anak. Ikuti perkongsian Mizhana Padzi ini. Memang terbaik untuk anak.
Hari ni saya buat bone broth, seperiuk singgang ikan dan seperiuk sup ayam. Dulu saya tak kenal bone broth ni apa, apatah lagi manfaatnya untuk kesihatan sehinggalah bila belajar naturopati barulah tahu bahawa mat salleh kaki hirup bone broth bila sakit sebab demam dan virus yang sebabkan selsema dan batuk.
Ya sebenarnya bone broth ni macam sup tulang je pun. Kita orang Melayu ni ada bone broth hebat juga seperti kuah laksa, singgang dan resepi sup tulang kita pun sangat enak.
Masyarakat Barat punya style bone broth ialah, mereka akan reneh tulang ayam atau tulang daging hingga ke 8 jam sampai jadi jelly dan warna kekuningan.
Mereka masukkan dalam botol size mudah minum harian, bila sakit selsema batuk, mereka minum bone broth ni macam minum ubat batuk.
Rahsia penawarnya rupanya ada pada mineral dan vitamin dari tulang tulang haiwan serta rempah ratus semasa mereneh tulang.
Rahsia penawar bone broth juga ada pada bahan pemasam. Kalau mat salleh letak cuka epal, budaya resepi kita letak asam keping. Ejen pemasam ini sebenarnya yang akan boost khasiat vitamin dan mineral pada bone broth itu untuk tubuh kita
Khasiat apa? Khasiat utama bone broth adalah, ia kuatkan sistem pertahanan tubuh terutamanya anak-anak kecil yang kerap batuk demam dan selsema.
Sebaiknya bagi anak hirup renehan sup ayam atau singgang ikan yang ada kunyit hidup yang bagus untuk anti radang dan anti viral tu.
Gambar di bawah ni hasil renehan singgang ikan dan sup ayam yang dah sejuk yang saya akan tuang dalam thermos (isi atau tulang ayam dan isi atau tulang ikan saya asingkan buat rencah nasi goreng bila perlu) dan masukkan dalam peti bahagian chiller.
Saya akan panaskan dan bagi anak hirup setengah cawan setiap hari (anak saya sedang selsema).
Resepi singgang ikan mudah :
5 ulas bawang putih hiris halus 1 inci kunyit hidup hiris halus 1 inci lengkuas hiris halus 5 asam keping setengah jug air Sedikit garam himalaya
Reneh semua selama 10 ke 15 min api kecil.
(kalau ada ekzema tak digalakkan makan masakan yang direneh 30 min ke atas sebab ia menghasilkan natural msg)
Tulang ikan (saya asingkan isi dan tulang, isi saya guna buat fishball homemade, tulang saya simpan memang plan nak buat bone broth)
Ps : Jangan letak gula, MSG pak aji atau kiub pati ayam atau kiub pati ikan bilis pula dalam renehan sup dan singgang ya, sebab ia akan terus potong segala manfaat yang ada.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyakit tangan, kaki dan mulut juga dikenali sebagai Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD) adalah penyakit yang sering berjangkit dalam kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan virus daripada kumpulan enterovirus. Ia merebak melalui sentuhan secara langsung dengan air liur, cecair hidung, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan objek atau alatan permainan yang tercemar dengan virus ini.
Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja terutama kanak-kanak bawah umur lima tahun. Jangkitan ini biasanya disebabkan amalan kebersihan diri kurang baik dan pendedahan kepada tempat atau persekitaran sesak yang mungkin meningkatkan lagi risiko penyebaran virus ini. Virus mudah merebak terutama pada awal minggu pertama jangkitan.
Taska adalah tempat yang sering berlaku penyebaran penyakit HFMD. Aktiviti harian seperti sukaneka dan kerja berkumpulan menyebabkan mereka bergaul rapat dan mudah dijangkiti.
Simptom
Individu yang dijangkiti penyakit HFMD biasanya akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, ruam melepuh pada kaki, tangan atau ulser pada mulut dan lidah. Kanak-kanak juga mungkin mengalami muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.
Kebanyakan kejadian penyakit ini tidak serius. Namun, ada sesetengah kes membabitkan komplikasi teruk seperti masalah sistem saraf dan jantung. Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya timbul sebarang tanda dan gejala penyakit HFMD pada kanak-kanak agar rawatan yang sesuai dapat diberi.
Rawatan
Penyakit HFMD biasanya sembuh tanpa rawatan menggunakan ubat-ubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari. Bagaimanapun, ada keadaan jangkitan yang menyebabkan komplikasi teruk dan memerlukan rawatan intensif.
Ada juga kes kematian disebabkan oleh jangkitan penyakit HFMD, namun ia jarang berlaku.
Tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD. Bagaimanapun, rawatan untuk melegakan simptom boleh diberikan kepada pesakit. Ubat demam seperti Paracetamol boleh diberikan bagi mengurangkan suhu badan dan sebagai ubat tahan sakit sekiranya pesakit mempunyai simptom sakit-sakit badan dan sebagainya.
Selain itu, gel mulut juga boleh digunakan untuk mengurangkan rasa pedih yang disebabkan oleh kewujudan ulser di bahagian dalam mulut. Ruam di bahagian tapak tangan dan kaki lazimnya tidak gatal dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Seterusnya, pastikan kanak-kanak minum air yang secukupnya bagi mengelakkan gejala dehidrasi berlaku.
Pencegahan
Pada masa kini masih belum ada vaksin untuk mencegah jangkitan HFMD. Bagaimanapun, kita boleh mengawal penyebaran virus ini dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Ibu bapa dan penjaga seharusnya meningkatkan kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan tabiat mencuci tangan dengan betul guna air dan sabun sebelum menyentuh anak-anak, sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis anak. Ini adalah penting bagi mengelak penyebaran penyakit HFMD.
Bagi mengelakkan kanak-kanak yang dijangkiti menyebarkan penyakit ini, ibu bapa dan penjaga kepada pesakit HFMD dinasihatkan untuk elakkan daripada membawa pesakit HFMD ke tempat awam agar penyakit ini tidak merebak.
Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan untuk membawa anak yang disyaki menghidap jangkitan HFMD berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Penting untuk mengelakkan sentuhan secara langsung dan tidak langsung pesakit HFMD dan orang lain.
Anak juga harus diajar untuk menutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan apabila bersin dan batuk. Tingkatkan kawalan disinfeksi dengan mencuci alat permainan anak dengan agen pembasmi kuman serta elakkan perkongsian peralatan peribadi seperti tuala, sudu dan sebagainya kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.
Sumber: Nurul Nasrah Mohd Ariffin dan Pegawai Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar (Metro)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.