Apabila berlakunya kematian suami pastinya ramai tertanya-tanya, bagaimana dengan nafkah anak-anak si mati? Siapakah yang wajib bertanggungjawab (dari segi nafkah) ke atas anak-anak yang kematian bapa? ibu pula masih ada tetapi kurang kemampuan?
Menurut perkongsian daripada Laman Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, ada beberapa pendapat mengenai perkara ini. Ikuti perkongsian ini.
Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,
Dalam surah al-Baqarah (ayat 233) Allah menegaskan; “Dan kewajipan bapa ialah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang berpatutan…Ahli waris pun (berkewajipan) seperti itu juga”.
Berdasarkan ayat ini para ulamak menyimpulkan bahawa; kewajipan nafkah asalnya tertanggung di atas bahu bapa. Jika bapa tidak mampu atau mati, nafkah si anak ditanggung oleh waris-waris si anak (iaitu kerabat-kerabatnya yang akan mewarisi darinya) merangkumi ibunya sendiri, datuknya, neneknya, saudaranya, bapa saudaranya dan sebagainya lagi yang dapat mewarisi darinya. Jika waris ramai, tanggungan nafkah wajib dikongsi mengikut kadar pewarisan masing-masing. Sebagai contohnya; jika si anak hanya mempunyai nenek dan saudara lelaki sahaja, maka nenek wajib menanggung 1/6 nafkahnya dan saudara lelaki pula nafkah selebihnya iaitu mengikut kadar pewarisan mereka. Ini merupakan pandangan mazhab Hanbali berdalilkan ayat di atas.
Menurut mazhab Syafiie; nafkah anak wajib di tanggung oleh usul-usulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga ke atas) dengan didahulukan usul lelaki ke atas usul perempuan. Selama masih ada usul lelaki (bapa, datuk hingga seterusnya), nafkah tidak ditanggung oleh usul perempuan (ibu, nenek hingga seterusnya). Bagi anak yang kematian bapa atau bapanya tidak mampu, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuknya, diikuti oleh bapa kepada datuknya hinggalah seterusnya ke atas. Yang lebih dekat didahulukan dari yang jauh. Jika si anak mempunyai datuk dan juga bapa kepada datuknya, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuk kerana ia lebih dekat. Jika sama-sama dekat (seperti si anak mempunyai datuk sebelah bapa (iaitu bapa kepada bapanya) dan juga datuk sebelah ibu (iaitu bapa kepada ibunya), kewajipan nafkah dikongsi bersama. Apabila tidak ada lansung datuk atau datuk yang ada tidak mampu, barulah kewajipan nafkah berpindah kepada usul-usul perempuan (iaitu ibu atau nenek atau yang lebih atas).
Perlu disebutkan; kewajipan menanggung nafkah orang lain tertakluk kepada kemampuan. Jika tidak mampu, tidaklah seseorang itu dibebani oleh Syarak untuk menanggung nafkah orang lain sedang nafkahnya sendiri tidak tertanggung. Hal ini telah disepakati ulamak. Maksud kemampuan itu ialah mempunyai lebihan setelah ditolak keperluan diri sendiri sama ada dari hartanya sedia ada atau dari pendapatannya. Sabda Nabi SAW; ““Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk ahli kerabat kamu. Jika ada suatu lebihan lagi setelah itu, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Soheh Muslim; 997, dari Jabir RA).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 41/79, 41/81 (perkataan ‘nafaqah’).
2. Hasyiyah al-Baijuri ‘Ala Ibnu Qasim, 2/192.
3. Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 8/56-57.
Kredit: Laman Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Jom daftar sekarang, klik https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-detik-indah-bersama-si-manja/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI