Setelah Sekian Lama Jadi “Anak Tunggal” Tiba-Tiba Dapat Adik, Memang Susah Dia Nak Terima

Share

“Husna taknak adik!!!”, pastinya merupakan antara ungkapan daripada anak sulung yang mendatangkan debaran kepada setiap ibu bapa. Apatah lagi memikirkan tentang anak kedua yang bakal lahir dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Anugerah terindah
Mempunyai adik-beradik merupakan satu nikmat yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Ia merupakan anugerah yang tidak boleh ditukar ganti. Anda mungkin bergaduh dengan kakak, abang ataupun dengan si adik, tetapi akhirnya anda tetap akan berbaik kembali kerana ikatan pertalian darah itu tidak akan terputus sampai bila-bila.

Namun, sudah tentu perkara itu hanya disedari tatkala anda sudah meningkat dewasa. Pastinya ketika zaman kanak-kanak, apatah lagi jika anda merupakan anak sulung, akan wujud sedikit kesukaran untuk menerima kehadiran individu baru dalam keluarga anda, bukan?

Begitu jugalah dengan apa yang dialami oleh anak anda. Setelah sekian lama menjadi ‘anak tunggal’, tiba-tiba mendapat perkhabaran akan menjadi abang ataupun kakak. Perasaan yang dirasai itu sudah tentulah bercampur-baur.

Jadi bagaimana anda sebagai ibu bapa berdepan dengan situasi ini? Umumnya, anda bukan sahaja perlu melakukan persediaan untuk menerima kehadiran cahaya mata baru, tetapi anda juga perlu membantu cahaya mata pertama anda untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

Persediaan buat anak sulung
Berkomunikasi dengan anak sulung anda merupakan cara yang paling terbaik dalam memberikannya kefahaman mengenai anak/adik yang bakal dilahirkan. Terangkan kepadanya bagaimana bayi makan, tidur dan akan menangis pada kebanyakan masanya.

Tetapi adakah itu sahaja yang perlu anda katakan kepadanya? Tidak. Ini kerana proses penerimaan anak pertama anda sudah pastinya akan memakan masa. Mustahil anak anda akan terus menerima apa yang anda kongsikan kepadanya.

Jadi berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan dan sampaikan kepada anak sulung anda supaya mereka akan dapat membina satu ikatan baik dengan bayi yang akan dilahirkan.

1. Kepentingan berkongsi
Sebagai anak pertama dan satu-satunya anak dalam sesebuah keluarga sudah tentu segala perhatian menjadi miliknya, tanpa perlu berkongsi dengan individu lain. Jadi apabila mereka akan menerima adik, anda perlu mendidik mereka untuk belajar berkongsi.

Keadaan ini penting untuk mengelakkan sebarang pergaduhan kerana tidak mahu berkongsi mainan atau barangan miliknya dengan si adik. Bantu anak pertama anda cara untuk berkongsi bersama individu lain dan berkompromi.

2. Bagaimana untuk menjadi baik dan penyabar
Anak sulung anda perlu belajar mengenai banyak perkara sebelum kelahiran anak kedua. Tidak dinafikan ada sesetengah anak akan menjadi gembira menerima perkhabaran bahawa mereka akan menjadi abang atau kakak. Ini sudah tentu satu berita baik.

Tetapi anda sebagai ibu bapa masih tetap perlu mengajar mereka untuk menjadi baik dan bersabar. Ini kerana apabila anak anda terlalu excited untuk mendapat adik, mereka mungkin menyangka bahawa adik atau bayi yang akan dilahirkan untuk sudah cukup dewasa untuk bermain bersama mereka.

Nampak macam perkara yang remeh, bukan? Namun, jika anda mengabaikan perkara ini, anda mungkin akan berdepan situasi di mana anak pertama anda akan menjadi marah apabila terpaksa berdepan dengan bayi yang hanya tahu menangis dan tidur tanpa ingin bermain dengan mereka.

3. Sentiasa ada ruang
Ini merupakan satu situasi normal apabila anak pertama anda tidak mahu menerima kedatangan ahli keluarga baru. Mengapa? Kerana mereka berasakan, kehidupan anda sekeluarga; ayah, ibu dan dirinya, adalah sudah mencukupi.

Jangan berputus asa, sentiasa ungkapkan kepadanya bahawa lebih besar keluarga ini, pasti akan lebih meriah. Yakinkan kepadanya bahawa dia pasti akan menjadi abang atau kakak yang baik.

4. Kasih sayang tidak akan berkurangan
Sudah tentu perkara yang paling menjadi kebimbangan dan ketakutan bagi seorang anak sulung adalah mereka tidak lagi akan disayangi oleh ibu bapa mereka, kerana perhatian dan kasih sayang akan lebih terarah kepada bayi yang baru lahir.

Anda memainkan peranan penting di sini untuk meyakinkan kepada mereka bahawa anda tetap akan mengasihi mereka dan kasih sayang tidak akan berkurangan. Jika tidak, ia akan menimbulkan rasa cemburu yang akhirnya akan menimbulkan dendam.

5. Belajar berdikari
Jika sebelum ini mereka sentiasa mengharapkan bantuan anda untuk melakukan sesuatu perkara. Latih mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada anda. Ungkapkan kata-kata berunsur pujian seperti, “Mama yakin Husna boleh buat sendiri, sebab anak mama ini hebat”.

Kata-kata pujian yang diberikan dipercayai dapat membantu menaikkan lagi keyakinan diri mereka untuk melakukan sesuatu tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Namun ia tidak bermakna anda boleh lepas tangan. Walaupun anda mahukan mereka untuk berdikari, pastikan anda tetap memantau mereka. Ini sudah tentu untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

6. Bermain bersama
Sekiranya anak sulung anda jarang bermain bersama dengan rakan seusianya yang lain, maka anda perlu membiasanya diri mereka untuk belajar bermain bersama. Ajarkan kepada mereka cara betul bermain dengan individu lain.

Didik mereka untuk tidak bermain secara kasar atau mementingkan diri sendiri. Pupuk dalam diri mereka semangat berpasukan, ini sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang pergaduhan ketika bermain.

7. Membantu
Bayi yang baru lahir sememangnya memerlukan bantuan untuk melakukan segala-galanya. Melatih anak sulung anda untuk mudah memberikan bantuan pastinya akan membuatkan mereka memahami bahawa bayi yang baru dilahirkan sentiasa perlu dibantu.

Berikan peluang kepada mereka untuk memberikan bantuan kepada bayi yang baru dilahirkan itu. Keadaan ini dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara anak pertama dan adik mereka.

8. Mengendalikan si kecil
Anda sedang dalam usaha untuk mengeratkan hubungan antara anak pertama dengan adiknya. Dalam masa yang sama anda harus memastikan mereka mengetahui cara untuk melakukannya.

Ajari mereka untuk melakukan segalanya dengan lembut dan perlahan. Jika tidak, mereka mungkin akan menyakiti bayi yang baru lahir itu walaupun pada hakikatnya mereka tidak berniat untuk melakukannya.

9. Kepentingan menjaga ahli keluarga
Sebagai anak sulung, mereka perlu mengetahui bahawa kehadiran anak kedua atau adik merupakan sebahagian daripada ahli keluarga. Oleh yang demikian, mereka tetap perlu disayangi dan dijaga sama seperti ahli keluarga yang lain.

Sekiranya mereka boleh menerima kenyataan ini, secara tidak langsung akan membuatkan mereka menjadi pelindung kepada adik mereka. Bukankah ini yang diharapkan oleh semua ibu bapa?

10. Meluahkan perasaan
Apabila wujud ahli keluarga baru, anak pertama anda mungkin akan lebih banyak memendam perasaan. Maka perkara penting yang perlu anda ajarkan kepada mereka adalah untuk meluahkan apa yang dirasakan.

Sentiasa pastikan mereka sedar bahawa anda sentiasa ada untuk mereka jika mereka ingin meluahkan perasaan walaupun dengan kehadiran adik baru mereka. Ini sudah tentu jalan yang terbaik daripada membiarkan anak pertama anda memendam apa yang dirasakan dan meluahkannya dengan cara membaling mainan atau melakukan sesuatu yang mungkin boleh membahayakan bayi.

Kesimpulan
Keseronokan untuk menerima kehadiran cahaya mata kedua seharusnya tidak menyebabkan anda mengabaikan keperluan anak sulung anda. Jangan biarkan mereka berasakan bahawa anda sudah tidak menyayangi mereka lagi.

Menerima kehadiran ahli keluarga baru bukanlah perkara yang mudah, khususnya jika mereka sudah lama menjadi ‘anak tunggal’ dalam keluarga. Jangan ambil mudah, okay?

Published by
NuFa