Biarpun pergolakan politik Malaysia belum reda, sebagai seorang isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap setia menjadi tulang belakang suaminya.
Beliau sempat memuat naik sebuah ucapan khas buat suaminya, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di akaun rasmi Twitter.
Ringkas tetapi sweet. Itulah gambaran kepada ucapan dari beliau kepada suaminya.
“Biar ribut dan badai datang melanda. Biar hujan dan panas namun kita tetap bersama.
Biar apa pun yang datang, setiaku hingga hujung nyawa,” tulis beliau di catatan akaun media sosial meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-40.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menitipkan ucapan selamat ulang tahun perkahwinan buat isterinya menerusi laman Facebook beserta gambar mereka berdua memotong kek dengan tanda pagar #duniaakhirat #tilljannah
Hantaran berkenaan menerima lebih 20,000 tanda suka dan menerima pelbagai komen netizen yang rata-ratanya mengucapkan tahniah serta mendoakan kesejahteraan pasangan itu.
Anwar dan Azizah berkahwin pada 26 Februari 1980 dan perkahwinan mereka diserikan dengan enam cahaya mata iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Ehsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana.
Sumber: Astro Awani