Setiap Anak Ada Rezekinya. Tak Perlu Banding Sampai Kita Stres. Asalkan Didikan Tu Bagus!

Share

“Kenapa anak saya tidak seperti anak dia?” Hari-hari anda ‘follow’ perkembangan anak comel itu di Instagram.

“Oh comelnya. Nak anak macam ni jugak nanti” – komen anda di Instagram tersebut.
Anda ‘tag’ pasangan anda.

Satu lagi komen di Instagram anak comel itu, “Nanti kita buat macam ini jugak dengan anak kita Ayang.”

Gambar Hiasan

Komen lagi “Semoga anak saya jadi macam ini. Amin.”

Komen lagi “Baiknya dia. Untungla ada anak macam ini.”

Komen dan pujian macam ni antara yang biasa kita cakap dan tulis tetapi tahu tak sebenarnya setiap ibu bapa tu ada cabarannya membesarkan anak. Ikuti perkongsian lebih lanjut lagi oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy.

Saya kira banyak juga ‘komen’ yang tidak ditulis di Instagram itu. Komen yang hanya disimpan di dalam hati.

Boleh dikatakan semua ibubapa berdoa dan menaruh harapan untuk mempunyai anak yang ‘perfect’ seperti yang dilihat di media sosial.

Apa yang kita tidak nampak dan tidak diberitahu adalah cabaran ayah dan ibu anak tersebut dalam membesarkan anak itu, sepertimana ayah dan ibu yang lain membesarkan anak mereka. Sepertimana kita juga.

Bolehkah anak kita menjadi seperti anak orang lain? Insya Allah boleh. Kita doakan. Tetapi bukanlah 100%.

Anak-anak dilahirkan dengan pembawaan yang unik. Jika anda mempunyai anak lebih dari seorang anda akan faham pembawaan ini. Anak comel dan baik yang anda lihat di Instagram itu juga mempunyai pembawaannya yang tersendiri yang mungkin berbeza dari anak anda.

APAKAH PEMBAWAAN (TEMPERAMENT)?

Pembawaan adalah kecenderungan semulajadi anak-anak. Ia merupakan cara anak bertindakbalas terhadap apa yang berlaku di persekitaran anak. Jika anda melihat anak di Instagram itu tenang dan ‘cool’ saja apabila tidak diberikan apa yang dia mahu, anak anda yang mudah mengamuk itu berkemungkinan besar mempunyai pembawaan yang berbeza.
Jika pembawaan berbeza, kaedah yang perlu kita gunakan untuk mendidik dan membentuk anak kita juga berbeza dari anak comel di Instagram itu.

Terdapat 3 pembawaan asas:

1) Pembawaan mudah (Easy temperament)
Anak dalam kategori ini tidak banyak kerenah. Merengek pun sekejap saja dan mudah dipujuk. Anak sentiasa kelihatan tenang dan gembira. Anak ini tidak mudah terganggu dengan bunyi bising, mudah menyesuaikan diri dengan tempat baru dan cepat berkawan.

2) Pembawaan lambat hingga sederhana (Slow to warm up)
Anak dalam kategori ini mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan tempat baru dan orang baru. Mereka selalu dilabel sebagai ‘pemalu’. Apabila berhadapan dengan situasi baru, mereka akan menyisihkan diri dan memerhati terlebih dahulu.

3) Pembawaan sukar (Feisty)
Biasanya anak dalam kategori ini adalah seorang yang cerewet, lasak dan kadangkala agresif. Anak menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan mudah terganggu atau tercuit oleh orang lain. Anak ini mengambil masa untuk ditenteramkan.

Walau bagaimanapun 35% kanak-kanak didapati mempunyai pembawaan bercampur dan tidak tergolong dalam satu kategori tertentu.

Tidak ada pembawaan yang tidak baik. Semuanya dijadikan Allah baik, lahir seumpama kain putih walaupun pembawaan berbeza-beza.

Sebagai ibu bapa, kita perlu faham pembawaan individu anak-anak kerana kita perlu mencari kaedah yang bersesuaian dengan pembawaannya (goodness of fit) untuk membimbing anak-anak.

Kata-kata seperti “Oh anak saya memang macam tu, suka melompat-lompat atas sofa sebab dia mempunyai pembawaan sukar. Saya kena faham dan sokong” adalah salah sama sekali. Jangan dijadikan sebagai alasan. Walaupun anak mempunyai pembawaan sukar, kita boleh menyalurkan tenaganya ke arah yang baik. Sediakan persekitaran yang sesuai untuk anak melompat-lompat. Mana tahu satu hari nanti dia menjadi jaguh acara lompat galah Sukan Olimpik.

Jika kita adalah seorang ayah atau ibu yang ekstrovert yakni suka dan senang bergaul dengan orang lain, anak yang mempunyai pembawaan lambat hingga sederhana mungkin memberi tekanan kepada kita.

“Kenapalah anak saya ini anti sosial sangat? Budak-budak lain senang saja bermain, berkawan. Dia terperok sorang-sorang di sudut itu saja.”

Kesesuaian antara pembawaan atau personaliti kita dan anak kita juga perlu dicari. Kita tidak boleh memaksa anak menjadi seperti kita jika pembawaan anak adalah berbeza.

Kita mungkin biasa mendengar ibubapa kita sendiri atau orang tua berkata, “Lain betul perangai anak kamu dengan kamu.”

Itu biasa. Walau bagaimanapun kita perlu membimbing anak supaya dia dapat membina akhlak, adab dan skil-skil penting dalam hidup tidak kira apa saja pembawaannya.

Kita tidak boleh menekan anak untuk menjadi seperti anak yang kita lihat di Instagram itu. Kadang-kadang teknik yang sama belum tentu membuahkan hasil yang sama. Fahami pembawaan anak dan cari kesesuaian antara anak dengan persekitaran dan anak dengan kita juga.

Banyak konflik berlaku antara ibubapa dan anak remaja kerana tidak dicari kesesuaian pembawaan.

Apakah pembawaan anak anda? Adakah pembawaan anak sama dengan pembawaan anda?

Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK).

Jom join Pa&Ma Gala Moms Reunion bersama selebriti yang juga penerima Anugerah Pa&Ma Gala Moms dan pakar pilihan dengan topik menarik untuk anda. Penyertaan adalah percuma dan terhad 50 orang. Boleh klik sini untuk pendaftaran https://toko.ideaktiv.com/product/pama-gala-moms-reunion/

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy