Setiap Bulan Anak Demam Jangan Bertahan Dengan Ubat. Mesti Ada Tak Kena

Share

Demam dengan suhu antara 38 hingga 40 darjah Celcius adalah demam yang ketara. Ia merupakan gejala yang selalunya bermaksud terdapat sesuatu jangkitan pada sistem tubuh badan anak anda. Jangkitan itu mungkin dari jenis virus atau bakteria, dan boleh berlaku di mana-mana sistem atau organ anak.

Elak jangkitan

Oleh kerana kebanyakan ibu bapa bekerja dan menghantar anak-anak seusia ini ke taman asuhan, anak- anak sering terdedah kepada jangkitan virus dari kanak-kanak lain yang berada di taman asuhan yang sama. Ini kadang-kadang tidak dapat dielakkan kerana mereka berada dalam tempat yang sama dan dijaga oleh penjaga yang sama. Oleh yang demikian ibu bapa berperanan untuk elakkan dari menghantar anak yang kurang sihat ke taman asuhan dan penjaga/pengusaha taman asuhan harus peka dan tegas untuk menyaring kanak-kanak yang kurang sihat. Cara untuk mengurangkan risiko jangkitan yang utama juga adalah dengan mengamalkan tabiat cuci tangan dengan baik.

Ambil vaksin

Salah satu langkah untuk mengelakkan jangkitan yang serius adalah dengan memastikan anak anda mendapat vaksinasi/imunisasi dengan lengkap. Vaksinasi telah terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan serius dengan berkesan di seluruh dunia. Ambil vaksin seperti yang disyorkan dalam program imunisasi kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan. Lebih baik lagi sekiranya ibu bapa yang berkemampuan juga mengambil imunisasi tambahan seperti vaksin pneumococcal, rotavirus dan influenza.

Gaya hidup sihat

Gaya hidup yang sihat juga adalah antara faktor atau langkah pencegahan yang penting terhadap jangkitan penyakit. Ibu bapa haruslah sentiasa memastikan anak-anak mendapat makanan yang seimbang. Ini penting kerana makanan yang seimbang akan membekalkan nutrisi pemakanan yang secukupnya agar sistem imun anak anda sentiasa berada di tahap optimum. Mengamalkan pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya 1.2 hingga 1.5L sehari juga penting untuk membantu mengekalkan integriti tisu badan agar dapat melawan serangan jangkitan kuman.

Dapatkan nasihat doktor

Sekiranya anak demam ibu bapa disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor. Doktor akan memeriksa anak anda untuk memastikan  jenis jangkitan supaya ubat yang sesuai dapat diberikan agar jangkitan dapat dikawal dengan baik. Sekiranya anak anda memerlukan pemantauan dan rawatan yang lebih rapi, doktor akan mengesyorkan supaya anak anda dimasukkan ke wad.

Published by
Wan Amy