Selesai beraya pastinya mama dan papa mula memikirkan bagaimana cara untuk menyimpan duit raya anak. Simpan di bank atau menukar dengan barangan kesukaan anak seperti mainan dan sebagainya.
Bagi selebriti yang satu ini, Fizo Omar dan Mawar Karim mereka bertindak lebih bijak bila mana membuat tabungan paling bermakna ubat Maryam. Bukan menyimpan duit raya bahkan Fizo dan Mawar mewujudkan tabungan istimewa buat anak kesayangan mereka ini.
Uniknya mummy dan daddy Maryam ini bukan hanya sediakan tabungan biasa bahkan turut membuat tabungan berupa emas buat anak sulung mereka.
Simpan Emas Buat Maryam
Disebalik kisah emas, bukan sekadar saja-saja, rupanya Fizo mula menyimpan emas untuk dirinya sendiri sejak 10 tahun lalu. Dan kini amalan ini diteruskan buat isterinya dan juga Maryam sendiri sebagai tabungan kekalnya hingga dewasa kelak.
“Saya mula belikan dan kumpul emas untuk Mawar selepas kami berkahwin dan sekarang ni saya buat tabungan yang sama pada Maryam pula. Setiap bulan saya tak terlepas belikan Maryam barang kemas dan kemudiannya saya kumpul,” katanya sambil menunjukkan gambar bongkah emas yang tertulis namanya dan Mawar.
Bukan saja pada isteri dan anak-anak bahkan saya mula menyimpan emas sejak saya bujang lagi dan cara ini sebenarnya tip yang diajarkan oleh kedua ibu bapa saya. Kalau ada duit lebih setiap bulan, saya akan belikan emas untuk diri sendiri, dalam bentuk barang.
Saya akui ketika itu saya sama macam orang lain, terpaksa ikat perut dan berjimat cermat demi untuk masa depan. Tapi walau macam mana cara sekalipun, saya tak terlepas kumpul dan beli barang kemas demi memastikan misi tabungan saya berjaya.
Bukan simpan sahaja, kemudiannya saya kumpul dan leburkan semula menjadi ketulan emas. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi saya rasa tabungan emas adalah yang terbaik dan semua ibu bapa perlu wujudkan tabungan semacam ni buat anak-anak.
Bagi saya emas adalah aset yang terbaik berbanding simpanan lain yang ada dividen. Senang nak dicairkan semula dan kalau apa-apa kecemasan, boleh digunakan.
Capai Misi Jutawan Cilik
Kata Fizo lagi, semua ibu bapa perlu ada kesedaran untuk menyimpan emas sendiri, untuk tujuan kecemasan. Malah kata Fizo lagi, bukan hanya emas, bahkan ibu bapa perlu memperuntukkan tabungan buat anak-anak.
“Sebenarnya selepas saja anak lahir sebagai ibu bapa kita perlu wujudkan tak kira apa jenis tabungan pun, supaya bila anak sudah berusia 20 tahun, dia sudah punya tabungan pendidikannya sendiri. Inilah yang saya cuba buat untuk Maryam.
Tak kira berapa banyak pun, cuba peruntukkan sedikit wang ke dalam akaun anak kita. Ini penting untuk tujuan pendidikannya kelak malah tabungan untuknya membesar. Bila sampai umurnya 18 tahun, sekurang-kurangnya dia sudah ada tabungan dan dana sendiri untuk belajar. Jadi ibu bapa tak perlu pening kepala.
Saya sendiri sebenarnya turut berkongsi perihal tabungan dan simpanan di dalam kelas motivasi yang dikendalikan saya bersama pelajar-pelajar universiti. Dan sebenarnya dalam setiap wang gaji kita, separuh perlu dibahagikan kepada perbelanjaan wajib manakala 10 peratus lagi perlu diperuntukkan untuk simpanan, bukan dibelanjakan terlebih dahulu. Cara sebegini, anak-anak muda zaman sekarang harus belajar supaya bila sudah berkahwin nanti lebih bijak menguruskan kewangan keluarga.
Bukan itu sahaja bahkan kita juga perlu bijak dengan mengambil beberapa pelan dan pakej tabungan lain seperti insurans berupa tabungan untuk anak. Bila anak sudah mencapai usia 21 tahun, tabungan sudah boleh dikeluarkan dan ini satu tabungan yang menguntungkan,” katanya bersungguh.
Banyak benarnya kata-kata Fizo ini. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi dalam perjalanan hidup kita. Kalau ada kecemasan, emas dan tabungan ini pastinya dapat membantu. Duit raya anak biarpun jumlahnya tidaklah banyak tetapi boleh digandakan bila disimpan.
Malah emas juga boleh dicairkan apabila ada hal kecemasan. Bukan itu sahaja malah emas juga adalah simpanan terbaik berbanding dividen yang diperolehi daripada simpanan biasa.
Jadi ibu bapa di luar sana harus lebih peka dan mencontohi cara yang dikongsikan oleh selebriti muda ini. Tak salah untuk menyimpan di hari tua malah kesenangan untuk kita juga dalam merencanakan perancangan terbaik keluarga.
Kredit: @mawar_karim, @fizoomar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI