Setiap Hari Ibu Tak Putus Doa! Derita Kulit Rapuh, Pergerakan Faris Terhad Seumur Hidup

Share

Seawal lahir, adik Muhammad Faris Amsyar Mohd Zurairi,5, dah tiada kulit di bahagian sebelah kanan kakinya dari paras lutut hingga tapak kaki.

Dilahirkan cukup bulan tetapi terpaksa czer kerana kedudukannya yang songsang, keadaan Faris mengejutkan ibunya, Norazilawani binti Zi kerana sewaktu buat scan semuanya normal. Paling sedih sewaktu dalam wad selepas lahir, doktor mendapati kaki sebelah kirinya juga turut terkesan dan mengalami luka akibat geseran.

Dari situ doktor mengesahkan Faris mengalami Epidermolysis Bullosa iaitu keadaan kulit rapuh dan alah pada geseran ataupun jika terjatuh boleh mendatangkan kecederaan.

Menurut ibunya, disebabkan keadaan itu segala aktiviti Faris terhad. Dia pun tak boleh keluar rumah dan hanya bermain dalam rumahnya. Kawan-kawan atau sepupu yang sebaya dengannya pun dah faham. Jika keluar rumah pun kerana ada temujanji hospital.

“Sekarang Faris menjalani terapi sebulan sekali di bahagian Cara Kerja Hospital Raja Perempuan Zainab II sebulan sekali untuk uji mindanya, berikan pendedahan aspek fizikal dan keyakinan diri.

“Menjaga Faris kena jadi cerewet.  Tak boleh biarkan dia main sesuka hati kerana kasihan lihatnya menangis bila terjatuh atau terkena geseran. Jika tak diperhatikan keadaan kulitnya akan cepat terkoyak atau boleh berlaku lepuhan besar.

“Setakat ini kos rawatan sebulan mencecah RM2,000 untuk mencuci lukanya dan menjaga dari tidak menjadi teruk,” katanya.

Masih makan bubur

Bab makan juga Faris tak boleh makan makanan yang keras kerana takut lidahnya luka. Kalau makan biskut atau keropok ikan pun tak boleh. Nasi biji pun masih tak boleh makan dengan sempurna lagi.

Kini Faris hanya sesuai makan bubur nasi yang dikisar lembut dan makanan laut pun kena elak. Jika salah makan, kesannya Faris akan mula merengek gatal dan asyik nak menggaru.

Jika waktu malam dia gatal memang sangat kasihan kerana dia tak boleh nak menggaru disebabkan tiada kuku di jari tangan dan kaki. Nak tak nak ibunya akan bantu untuk gosok bagi dia rasa tenang.

Bagi yang ingin membantu rawatan adik Faris bolehlah hulurkan sumbangan di akaun Maybank 153104196259 atas nama ibunya Norazilawani

 

IKLAN